Selasa, 18 Jun 2019

KELIRU

Apalah daya kita untuk mengetahui hal akan datang yang ghaib melainkan percaya dan yakin dengan rahsia Allah. Sehebat manapun kita, batas yang ditetapkan-Nya mengatasi segala-galanya. Cukuplah untuk bersyukur saat bangun pagi, masih hidup lagi dan insan-insan tersayang terus dipinjamkan di sisi. Memasuki hari ke-14 Syawal, suasana raya kian pudar. Rutin harian sudah kembali seperti sedia kala. Beruntung juga, semusim lagi Ramadan dapat dinikmati sehingga ke penghujungnya.

Setiap hari ketika saya ke tempat kerja, langit akan menemani saya dengan pelbagai rupa. Ada masanya cerah, ada masanya mendung dan redup sahaja. Kadang-kadang, matahari menyelit dan membuatkan saya begitu silau. Saya akan bertembung dengan ramai manusia lain yang turut berpusu-pusu ke tempat kerja dengan pakaian seragam yang tersendiri. Saya yakin, semuanya sedang berjuang untuk terus mendapatkan rezeki demi keluarga dan diri sendiri.

Sesekali, saya berasa begitu keliru. Keliru dengan hala tuju yang sedang saya lalui. Keliru dengan kehidupan yang sedang saya bina. Saya menjadi semakin keliru apabila melihat rakan-rakan lain yang seperti tiada masalah dan gembira dengan kerjaya mereka. Walhal saya tahu, yang terlihat itu ialah pembohongan mata yang menutupi segala realiti.

Zon-zon yang saya singgahi kini entah apa namanya. Bukan lagi zon selesa, bukan juga zon kritikal. Ini ialah zon kerunsingan yang penuh dengan kekeliruan. Saya seperti hilang hala tuju, tidak membangun dan terus terbantut begitu sahaja. Saya memujuk diri, agar bersabar dan carilah hikmahnya dengan bertahan. Tetapi apa yang saya mahu pertahankan? Saya bersabar daripada apa? Apa yang perlu saya hadapi sebenarnya? Ruang ini seolah-olah kotak putih yang kosong dan tidak berpenjuru. Tak mengapalah. Hujung bulan ini, saya mengharapkan sesuatu yang lebih mencelikkan, memberi nafas baru dan mencergaskan semula diri saya yang lesu. Haraplah!

Tempoh hari saya terbaca perkongsian seorang teman tentang konsep doa. Berdoa, bukan pasaknya pada tangan yang menadah semata-mata, tetapi memerlukan sokongan usaha yang jitu. Doa sekadar doa, sama sahaja seperti mengharapkan keajaiban dan magik datang secara tiba-tiba. Sebaliknya berusahalah untuk apa yang didoakan, carilah jalan penyelesaian, buatlah apa yang diharapkan, kemudian perindahkan usaha dengan doa. Insya-Allah, makbullah doa itu dengan kemanisan yang lebih magik dan tidak terjangka. Namun kita tetap perlu yakin, doa itu kunci dan jalan paling dekat untuk kita berbicara dengan Allah. 

Doakan saya bahagia ya teman-teman! (Selebihnya saya akan berusaha untuk mencipta kebahagiaan.)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan