Sabtu, 23 November 2019

SETAHUN PASCAKONVOKESYEN

Dalam tidak sedar, hampir tiga bulan saya membiarkan laman ini sepi. Saya kira tempoh itu juga sebenarnya satu tempoh yang cukup mencabar. Pelbagai perkara yang terjadi baik yang menggembirakan ataupun yang mendukacitakan. Dari sehari ke sehari saya merencanakan sesuatu untuk ditulis, tetapi masa tidak berpihak kepada saya. Maka, saya akan sekadar mencoretkan rangkuman ringkas untuk setiap bulan yang telah ditinggalkan yang kini menjadi sejarah. Jalur cerita ini, hanyalah sebagai ingatan kepada diri saya sendiri. 

Ogos - kelapangan masa yang ada memberikan saya peluang yang amat saya syukuri. Saya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam melakukan latihan untuk sayembara deklamasi puisi yang akan saya sertai. Apa-apa sahaja ilmu yang dikongsikan, saya pegang dan hadamkan. Terima kasih buat insan-insan yang banyak membantu. Natijahnya, rezeki menjadi milik saya. Dinobatkan sebagai johan dalam sayembara tersebut - secara automatik akan mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.

September - persiapan rapi dilakukan. Busana dicari. Teks sajak dihafal semampunya. Lalu berentaplah kami kami di bumi Melaka. Satu impian yang amat saya dambakan, cuma sayangnya belum dapat bertemu dengan insan-insan yang saya rindukan. Sungguhpun begitu, kali ini saya mempelajari erti penerimaan. Perlunya menghormati sesama sendiri dan lebih penting berlapang dadalah. 

Bulan kemerdekaan yang masih rancak disambut di sana sini memberi saya rezeki untuk dijemput ke beberapa buah sekolah bagi mendeklamasikan sajak. Saya amat menghargai jemputan-jemputan tersebut. Cukup dua bulan saya rasa terperangkap dalam satu momentum pertandingan yang amat mendebarkan.

Oktober - awalnya dirasakan begitu mendung. Saya amat kabur dengan hala tuju kerjaya saya. Kami semua seolah-olah menanti perkara yang tak akan kunjung tiba. Kerisauan saya ada benarnya. Suatu pagi yang tawar, kami menerima notis pemberhentian kerja serta-merta. Semuanya, seluruh negara, tak ada yang terkecuali. Detik hitam yang perit dan pedih. Tiada jaminan hatta sekecil-kecil biji sawi. Akur semuanya.

Dalam urusan akhir bekerja, takdir saya kehilangan telefon bimbit  akibat kecuaian dalam kesibukan. Tercicir dan dalam tempoh 15 minit sudah tiada - tidak dapat dihubungi. Waktu itu jugalah ada terlalu banyak urusan penting perlu diselesaikan dalam masa terdekat. Setelah empat tahun digunakan, kini saya memiliki sebuah telefon bimbit baharu. Rezeki juga. 

Sisa Oktober dihabiskan dengan penuh tanda tanya. Entah apa nasib kami. Hari ini bekerja, esoknya tak ada kerja. Setiap hari menjadi penantian tanpa jawapan. Runsing, amat runsing.

November - kami dikejutkan dengan kemalangan maut yang melihatkan seorang ayah saudara saya. Cukup menghibakan. Cuma yang akan saya ingat sampai bila-bila ialah buat pertama kami saya terlibat dalam pengurusan jenazah dari awal sehingga selesai dikebumikan. Satu ilmu yang amat bermakna dan Insya-Allah bermanfaat suatu hari nanti. Setiap kali berlaku kematian ahli keluarga, selalunya saya berada jauh di negeri orang.

Baru-baru ini pula, saya diuji apabila pitam di tempat awam. Mujurlah sudah sempat menghentikan motosikal. Mungkin saya hanya pitam beberapa saat kerana saat saya tersedar, saya sudah terbaring di tepi motosikal dan ada orang awam yang cuba membantu saya. Lalu saya bangun dan berehat dalam ruang pasar raya di situ sebelum ahli keluarga sampai dan membawa saya pulang. Luka di mulut dan kesakitan gigi akibat terhantuk masih belum sembuh sepenuhnya. Sungguh Allah menjaga saya. Alhamdulillah.

Hari ini sudah masuk minggu ketiga saya berkhidmat di tempat kerja baharu. Alhamdulillah. Banyak yang perlu saya pelajari lagi terutama sekali apabila memegang jawatan yang agak besar tanggungjawabnya. Untuk membiasakan diri di tempat kerja baharu, tentunya satu cabaran yang sentiasa menghantui diri setiap hari. Tetapi, alah bisa tegal biasa. Sedikit masa lagi, pasti saya akan okay semula. 

Saya tidak pernah menyangkakan permulaan karier saya begini. Mencabar dan penuh dengan liku-liku. Sungguh, semua ini menjadi pengalaman yang amat berharga buat diri saya. Tidak semua perkara yang kita mahu, kita akan dapat. Malah ada masanya, yang kita tidak minta pula yang hadir menyapa. Inilah fasa pengajaran terbesar untuk saya setakat ini - perlu berlapang dada selapang-lapangnya, perlu menerima seadanya. Ya, seadanya! 

Buat teman-teman lain, saya sentiasa mendoakan ada rezeki kerja juga buat kalian - atau paling tidak pun dipermudahkan urusan kehidupan mendatang kalian. Dalam kesempitan yang saya rasai, saya pasti teman-teman lain juga jauh lebih sempit dan terhimpit. Cuma, ingatlah jangan pernah berputus asa. Allah mendengar apa sahaja, mintalah.

Cukup dahulu setakat ini. Entah bila pula saya akan kembali. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tidak, tahun depan kita bersua semula jika Allah izinkan pinjaman hayat senafas dua lagi. Amin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan