JUDUL BUKU:
KUMPULAN CERPEN REMAJA : GADIS DAN CERMIN MASA DEPAN
PENGARANG:
MOHD HELMI AHMAD
NO. ISBN:
978 - 967 - 460 - 767 - 8
HARGA:
RM 25 (SM) / RM30 (SS)
1.0 PENGENALAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “remaja” didefinisikan sebagai
mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan muda.
Setiap orang akan melalui dan menghadapi fasa menjadi remaja yang cukup
mencabar sebelum mencapai usia dewasa. Dalam Islam, “remaja” itu lebih menjurus
kepada pendefinisian akil baligh iaitu cukup umur – peralihan daripada alam
kanak-kanak kepada alam remaja. Kanak-kanak yang sudah akil baligh
bertanggungjawab untuk menanggung dosa dan pahala sendiri, boleh membezakan
antara yang baik dengan yang buruk serta mampu berfikiran secara matang dan
rasional dalam membuat sesuatu keputusan. Selalunya tempoh akil baligh bagi
seorang kanak-kanak perempuan adalah dari usia 10 hingga 12 tahun manakala bagi
kanak-kanak lelaki pula, tempoh mencapai akil baligh adalah dari usia 12 hingga
15 tahun.
Dari sudut perundangan berdasarkan Akta Umur Dewasa 1971 (Age
of Majority 1971), ukuran umur dewasa telah ditetapkan pada usia 18 tahun.
Pada usia ini seseorang individu itu akan tertakluk kepada peruntukan
undang-undang serta boleh dan layak dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut
akta dan peruntukan yang telah ditetapkan di Malaysia. Hal ini bermaksud bahawa
sebaik sahaja seseorang kanak-kanak lelaki mahupun perempuan itu mencapai umur
akil baligh, mereka akan dikategorikan sebagai remaja sehinggalah mereka
mencapai umur dewasa iaitu 18 tahun.
Semasa fasa awal keremajaan, banyak perubahan ketara yang akan
berlaku sama ada pada fizikal mahupun mental kanak-kanak tersebut. Sebagai
contoh pertumbuhan bulu-bulu pada tubuh badan dan perubahan saiz anggota badan
akibat pertambahan hormon-hormon kedewasaan di dalam tubuh. Pendedahan yang
terperinci berkenaan perkara ini oleh para penjaga khususnya ibu bapa amatlah
penting untuk memastikan kanak-kanak melalui alam remaja yang lebih baik dan
tidak terdedah dengan persekitaran yang boleh mengganggu emosi dan fikiran
mereka. Perkongsian maklumat dan perhatian ibu bapa juga dapat memberikan
mereka pengetahuan sebagai persediaan menjadi dewasa.
Oleh itu, menjadi remaja bukan suatu pilihan tetapi suatu perjalanan
yang perlu ditempuh dengan sebaiknya. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Begitulah perumpamaan yang selalu didengari dan digunakan oleh masyarakat kita
pada hari ini dalam membentuk generasi yang lebih berwawasan dan bertatasusila.
Maka, remaja menjadi aset yang umpama mutiara berharga kepada negara dalam
mencapai kesejahteraan kehidupan masa depan. Kata-kata daripada Soekarno ini
memperlihatkan peri pentingnya anak muda dalam mendepani sebuah perjuangan
kerana semangat dan kekuatan jiwa anak muda amatlah murni dan luar biasa.
“Beri aku
10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia.”
“Berikan
aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia.”
2.0 GADIS DI JENDELA
JINGGA
“Don’t
judge book by its cover.”
“Jangan
menilai buku daripada kulitnya.”
Peribahasa Inggeris ini begitu popular apabila memperkatakan
tentang penilaian awal (first impression) terhadap sesuatu
perkara atau lebih tepat prasangka – membuat penilaian tanpa menyelidiki
keseluruhannya terlebih dahulu. Tidak dinafikan kebenaran tentang peribahasa
ini apabila selalunya penilaian awal yang dilakukan adalah silap dan tidak
tepat. Sama sahaja seperti buku. Kulitnya sahaja belum boleh menggambarkan keseluruhan
isi kandungannya. Maka, wajarlah peribahasa itu sendiri meletakkan buku dan
kulit sebagai objeknya.
Namun, masih relevankah peribahasa ini? Ya, masih relevan tetapi,
perlulah dilakukan penyesuaian kepada keadaan dan persekitaran moden yang serba
canggih ini. Sudah menjadi fitrah manusia untuk menyukai sesuatu yang cantik,
menarik, jelita, menawan dan apa-apa sahaja yang enak dipandang. Keserlahan
pada sesuatu perkara itu mampu menambah daya tarikan dan perhatian orang ramai.
Hal ini penting, lebih-lebih lagi dalam bidang perniagaan dan jualan yang memerlukan
pemasaran produk secara efisen supaya dibeli oleh pelanggan. Oleh sebab itu,
kulit buku sudah menjadi antara keutamaan yang perlu dititikberatkan di samping
isi kandungan yang mantap dan berkesan.
Gadis dan Cermin Masa Depan (GDCMD) telah diangkat
menjuduli buku kumpulan cerpen ini. Buku perseorangan keempat daripada
pengarang prolifik yang kian melonjak namanya, Mohd Helmi Ahmad, seorang guru
kelahiran jati negeri Kedah menjadi buah tangan terbaharu kepada penggiat
sastera yang sentiasa mengikuti perkembangan beliau. Sebagai rujukan, buku
pertama beliau, Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa telah
diiktiraf sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (HSPM 2014)
manakala buku kedua beliau, Kumpulan Puisi Remaja : Madu di Tangan pula
diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 (HSPM
2015/2016). Melihatkan kepada ketelitian pengarang dalam menyusun dan
menerbitkan buku-bukunya serta kekuatan mesej yang terkandung dalam setiap
karyanya, tidak mustahil jika buku terbaharunya juga bakal diangkat
menerima anugerah sastera yang berprestij di Malaysia pada masa akan datang.
Selain daripada faktor nama penulis yang terkenal, kualiti dan keunggulan karya
itu sendiri adalah perlu dalam menjamin keberhasilan karya bermutu yang akan
menerangi landskap sastera di tanah air kita.
Selain itu, judul buku kumpulan cerpen ini cukup menarik dan
menggambarkan gadis itu sebagai seorang remaja. Pastinya ada keistimewaan dalam
cerpen GDCMD sehingga dipilih sebagai judul buku oleh pengarang. Ilustrasi
gadis sebagai penyambut tetamu di jendela mula buku ini amatlah bertepatan
dengan konsep buku kumpulan cerpen remaja. Gadis, wanita, perempuan, puspa dan
srikandi, semuanya membawa pengertian jantina yang serupa. Namun, yang paling
tepat dan bersesuaian dengan kriteria remaja ialah gadis. Sungguhpun begitu, judul
buku ini tidak boleh menjadi kayu pengukur kepada keseluruhan cerpen yang ada.
Hal ini demikian kerana terdapat 15 buah cerpen dalam GDCMD yang tentunya telah
diolah dan digarap daripada pelbagai perspektif dan kisah oleh pengarang.
Kesemua cerpen yang dimuatkan dalam GDCMD merupakan cerpen eceran yang pernah
disiarkan dalam media arus perdana seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa, dan
sebagainya bermula dari tahun 2011 hingga 2015.
Campuran warna asas antara kuning dengan merah akan menghasilkan
warna jingga sebagai warna sekunder. Warna inilah yang digunakan sebagai latar
kulit buku GDCMD dengan dua tona warna iaitu jingga gelap dan jingga terang
yang menyerlah. Warnanya pula tidak sekadar sekata, tetapi seperti dihiasi
renjisan jingga gelap yang mempunyai corak seakan-akan tompokan kecil yang
menghasilkan kesan menarik pada kulit buku. Tona warna yang ada telah
menyeimbangkan latar kulit buku GDCMD daripada terlihat bosan dan sekata.
Secara konseptualnya, jingga itu merupakan suatu warna garang yang boleh
diertikan sebagai semangat dan kesungguhan pada seseorang. Warnanya kelihatan
berani dan menyala walaupun dilihat dari jauh. Begitulah jiwa dan semangat
pembaca apabila melihat kulit buku ini, jiwanya membara dan membuak-buak untuk
mengetahui kisah di sebalik kulit jingga berkenaan. Walau bagaimanapun,
pembahagian antara jingga gelap dengan jingga terang yang dipisahkan dengan garisan
lurus seperti menjadi satu gangguan. Mungkin sekiranya kedua-dua tona warna itu
di gabungkan tanpa pembahagian garisan atau hanya salah satu tona warna
dikekalkan dengan rekaan corak abstrak, GDCMD akan kelihatan lebih menarik.
Beralih pula kepada ilustrasi GDCMD yang memaparkan bayangan hitam
seorang gadis berpayung warna ungu gelap dan telah menjadikannya cukup kontra
kepada latar kulit jingganya. Jika diteliti, terlihat tudung atau selendang
dengan corak bunga-bunga kecil pada ilustrasi tersebut. Bayangan gadis yang
seolah-olah memakai baju kurung juga sudah cukup menarik perhatian. Jelas
terpancar kesopanan dan kepatuhan gadis berkenaan kepada agama apabila pakaian
yang dikenakan menepati syarak dan tuntutan cara berpakaian dalam Islam. Gadis
yang digambarkan melalui ilustrasi itu boleh dianggap sebagai seorang yang
anggun, baik dari segi penampilan mahupun sahsiahnya. Walau bagaimanapun,
pemilihan warna ungu gelap pada payung tidak banyak membantu daya tarikan kulit
buku GDCMD. Sebaliknya apabila dilihat dari jauh, warnanya kelihatan hitam
sahaja dan ilustrasi gadis berkenaan sukar dikenal pasti. Mungkin dengan
pemilihan warna kontra yang lebih terang seperti biru atau hijau dapat
menyerlahkan lagi ilustrasi gadis berkenaan apabila dilihat. Hal ini amat perlu
diberikan perhatian kerana pembaca akan lebih tertarik dengan ilustrasi yang
cantik dan jelas serta berkaitan dengan judul buku yang tertinta.
Kedudukan judul buku pada bahagian atas, ilustrasi di
tengah-tengah dan nama pengarang di bahagian bawah merupakan reka letak yang
klise dan terlalu biasa. Namun, tidak bagi GDCMD. Reka letak dan susun atur
judul buku, nama pengarang serta ilustrasi dilihat unik dan kreatif. Frasa
“Kumpulan Cerpen Remaja” dengan tulisan hitam yang lebih kecil dapat difahami
bahawa itu bukanlah judul buku, sebaliknya jenis buku tersebut. Perkataan
“Gadis” yang ditekankan dengan saiz besar serta kedudukan yang sedikit senget
berjaya menonjolkan perkataan tersebut. Pemilihan warna putih dengan sedikit
bayangan di belakangnya pada keseluruhan judul “Gadis dan Cermin Masa Depan”
pula dilihat bersesuaian dan membantu dalam mempamerkan judul buku kepada umum.
Nama pengarang pada bahagian bawah sebelah kiri buku juga dapat dilihat dengan
jelas. Ilustrasi gadis yang menghiasi tepi judul buku pula menjadi pemangkin
kepada daya tarikan sedia ada yang akan membantu pembaca mengaitkan judul dan
ilustrasi dengan cepat. Perkara ini tentunya dapat memikat hati para pembaca
untuk membeli buku GDCMD tanpa berfikir panjang.
Berkenaan saiz buku GDCMD pula, sudah memadai saiz kecil biasa
yang mudah untuk dibawa ke mana-mana dan senang pula apabila hendak dipegang
semasa dibaca. Saiz tulisan (topografi) yang sederhana besar serta jenis
tulisan (font) yang jelas amatlah baik bagi
membantu pembacaan yang lebih lancar dan tidak mengganggu fokus pembaca semasa
membaca. Jika tulisan terlalu kecil, pembaca akan terganggu kerana sukar untuk dibaca
sehingga boleh membantutkan proses pembacaan. Lama-kelamaan minat dan keinginan
untuk membaca buku tersebut juga boleh terhakis dan menjadi kian pudar. Jenis
kertas ringan yang digunakan juga adalah baik, namun tidak dinafikan dengan
kertas yang kurang berkualiti, buku akan lebih cepat kelihatan usang dan buruk,
kertasnya juga akan kekuningan dan bertompok-tompok setelah suatu tempoh yang
lama lebih-lebih lagi apabila tidak disimpan secara elok (tidak bersampul / rak
terbuka yang mudah berhabuk).
Penyediaan prakata adalah satu kemestian. Prakata yang baik
bukanlah dengan sekadar mencoretkan kata penghargaan semata-mata, tetapi
dimasukkan mesej yang menjadi medium komunikasi antara pengarang dengan
pembaca. Dalam GDCMD, prakata yang disediakan oleh pengarang dapat memberikan
gambaran awal kepada pembaca sebelum memulakan pembacaan. Dapatlah difahami
tujuan, kehendak dan harapan sebenar pengarang apabila terhasil dan terbitnya
sesebuah buku yang beliau karangi. Lebih menyeronokkan sekiranya dimasukkan
juga proses kreatif yang dikongsikan oleh pengarang dalam prakata yang
disediakan. Berkenaan biodata pengarang pula, perkara ini menjadi satu bonus
yang harus dibanggakan. Usaha penerbit dalam menyediakan ruang berkenaan secara
tidak langsung dapat memperkenalkan pengarang dengan lebih rapat kepada pembaca
serta mempromosikan nama pengarang melalui pencapaian dan penglibatannya dalam
bidang-bidang yang diceburi.
Selain daripada kulit buku hadapan, kulit buku belakang juga perlu
dimanfaatkan sebaiknya. Meletakkan rangsang sari (blurb) merupakan
satu bentuk promosi awal kepada pembaca. Hal ini demikian kerana dalam ruangan rangsang
sarilah menjadi tempat untuk mengangkat keistimewaan buku yang dijual dalam
susunan kata-kata yang paling ringkas, tepat dan berkesan malah lebih baik jika
rangsang sari berkenaan merangkumkan tema buku secara keseluruhan. Rangsang
sari GDCMD dilihat sebagai rumusan kepada keseluruhan buku dan berupaya menarik
minat pembaca yang membacanya. Ruangan ini memainkan peranan yang tidak kurang
pentingnya untuk mempromosikan GDCMD kepada para pembaca.
Harga GDCMD sebanyak RM25 untuk Semenanjung Malaysia dan RM30
untuk Sabah dan Sarawak bagi sebuah buku dengan ketebalan 158 muka surat
dirasakan bukanlah harga mampu milik terutama sekali apabila sasaran pembacanya
ialah golongan remaja. Walaupun harga tidak boleh dijadikan sebagai alasan
untuk membeli dan membaca buku yang bagus, namun ada kalanya kuasa beli pembaca
juga perlu diambil kira demi memastikan buku yang diterbitkan terjual dan mampu
menembusi pasaran secara meluas. Tentunya pihak penerbit mempunyai garis
panduan tersendiri dalam menentukan harga sesebuah buku yang diterbitkan. Namun
begitu, sekiranya harga yang ditetapkan ialah RM20 untuk Semenanjung Malaysia
dan RM25 untuk Sabah dan Sarawak tentunya berupaya menarik lebih banyak pembeli
dan pembaca khususnya golongan remaja.
3.0 REMAJA SEBAGAI ENTITI
PEMBUDAYAAN ILMU
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Pantun ini sentiasa basah pada bibir sesiapa sahaja yang melalui
proses pendidikan di Malaysia. Bahkan dalam lagu kanak-kanak berjudul “Rasa
Sayang” yang selalu dinyanyikan juga turut diselang-selikan antara lirik lagu
dengan pantun-pantun Melayu yang penuh dengan hikmah dan pedoman. Pantun buah
cempedak ini menjadi satu tanda, menunjukkan kerendahan hati seseorang yang
jujur dalam menimba ilmu. Keinginan untuk mempelajari sesuatu yang baharu
sentiasa akan tumbuh dalam diri setiap manusia. Walau bagaimanapun, tidak dapat
pula dielakkan daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Maka asbab itulah
perlunya menjadi orang yang berilmu dan tahu beradab. Carilah guru yang akan
membantu mengajar erti kehidupan, bukannya menjadi kera sumbang yang angkuh
dengan ilmu dan kehebatan diri. Bak kata peribahasa, malu bertanya sesat jalan.
Ilmu yang ada hanyalah setitis sahaja berbanding ilmu Tuhan yang selautan.
Dalam usia meniti remaja, pelbagai perkara baharu ingin dicuba dan
diteroka. Ada kalanya baik, namun ada juga yang menyalahi lumrah kehidupan.
Oleh sebab itu, GDCMD ini sewajarnya ditujukan kepada golongan remaja untuk dijadikan
sebagai panduan. Banyak perkara baharu yang perlu diamati dan boleh dipelajari.
Remaja akan sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu dan mereka mahukan kebebasan
dalam mendalami ilmu. Remaja tidak suka dikongkong, juga tidak gemar terikat
dengan sistem yang susah dan merumitkan. Kecenderungan remaja dalam menekuni
ilmu baharu menjadikan mereka sebagai satu entiti yang boleh menyumbangkan
kepada pembudayaan ilmu kerana ilmu itu sendiri luas, malah tidak pernah habis
untuk dipelajari.
Sikap kecintaan remaja kepada ilmu boleh dilihat dalam
cerpen Pinang nan Sebatang. Adin seorang remaja berusia 16 tahun
yang sedar akan kepentingan menuntut ilmu telah menggores hati neneknya, Nek
Pah apabila dia mahu menebang pokok pinang neneknya bagi menggantikan titi lama
yang telah roboh. Adin tetap menaruh harapan dan berusaha untuk membina titi
baharu supaya dapat menghubungkan semula antara dua kawasan yang menjadi laluan
utama anak-anak di kampung itu untuk ke sekolah. Nilai bertolak ansur demi
kepentingan ilmu sangat jelas ditonjolkan oleh pengarang apabila Nek Pah
akhirnya membenarkan Adin untuk menebang pokok pinangnya yang satu. Dalam
cerpen ini, semangat dan jati diri Adin terhadap pegangannya kepada kepentingan
ilmu telah membudayakan ilmu secara tidak langsung dalam kalangan anak-anak
kampung di situ dan menyedarkan pembaca bahawa tiada sebarang alasan untuk
tidak pergi menuntut ilmu.
Melalui cerpen Samad Menulis Surat Cinta pula
memaparkan watak Samad yang berhasrat mahu menulis cerpen. Pengarang dengan
cukup bertanggungjawab turut memperkenalkan beberapa nama penulis mapan
tempatan seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron, Salina Ibrahim dan A. Samad Said.
Secara tidak langsung, pengarang mengajar para pembaca untuk mengenali
sebahagian penulis tempatan yang ada di negara kita tanpa perlu
mengagung-agungkan penulis dari luar negara. Oleh sebab keinginan Samad yang
membuak-buak mahu menulis, akhirnya usaha Samad membuahkan hasil apabila cerpen
yang dihantarnya berjaya menembusi majalah Dewan Siswa dan tersiar buat kali
pertama. Disebabkan kejayaannya itu, guru Samad telah menjadikan dirinya
sebagai contoh teladan kepada rakan-rakannya sekali gus mengangkat dirinya
sebagai satu entiti kepada pembudayaan ilmu dalam bidang penulisan di
sekolahnya.
Cerpen Melakar Cinta di Dada Watan tampak lebih
patriotik melalui judulnya. Walau bagaimanapun, plot penceritaan dan isu yang
dibawa sebenarnya lebih berat apabila polemik berkaitan novel Interlok karya
Abdullah Hussain dijadikan tema utama yang diketengahkan oleh pengarang. Novel
tersebut dikatakan mempunyai unsur perkauman yang melampau dan telah
menyebabkan berlaku banyak pertikaian. Pembaziran juga turut berlaku terutama
sekali dalam aspek pencetakan dan masa para pelajar yang terlibat bagi mengkaji
novel tersebut sebagai Komponen Sastera (KOMSAS) di sekolah khususnya
pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2011 dan 2012 di zon
tengah iaitu di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri
Sembilan. Dalam cerpen ini, Hasrul telah menjadi entiti yang membudayakan ilmu
apabila dia cuba mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berdasarkan
perkongsian yang dilakukan oleh pensyarahnya. Walaupun Hasrul hanya menyiapkan
sebuah tugasan, namun semangat dan kesungguhannya dalam menyediakan tugasan
berkualiti patut dicontohi oleh golongan remaja pada masa kini. Ketelitiannya
dalam mendengar penjelasan daripada pensyarahnya turut memaparkan kepekaan
Hasrul terhadap perkara yang dibincangkan kerana padanya, setiap maklumat yang
dikongsikan itu sangat bermakna dan berharga.
4.0 REMAJA PEWARIS
KEPEMIMPIN MASA HADAPAN
“Waspada
Jangan
mudah terpedaya
Oleh
hasutan dunia
Yang bisa
merosakkan hidupmu”
(Petikan
lirik lagu “Remaja” nyanyian UNIC)
Remaja akan selalu memberontak dan penuh dengan ketidaktentuan
emosi dalam menjalani kehidupan seharian. Melalui petikan lirik lagu di atas,
sebenarnya remaja ini perlu sentiasa diingatkan, dinasihati dan dipantau
perlakuan mereka agar tidak tergelincir ke lembah yang memusnahkan. Remaja
merupakan generasi yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan masa hadapan.
Remajalah yang akan memegang tampuk kepimpinan tanah air suatu hari nanti
setelah perginya tokoh-tokoh ternama kelak. Jika remaja hari ini tidak dibentuk
dengan sempurna, bagaimanalah mereka hendak mentadbir negara apabila mereka
dewasa nanti.
Cerpen Usain Bolt dari Kampung Kami cuba
mengetengahkan remaja yang sanggup memilih jalan hitam demi kepentingan dirinya
untuk bergelar juara. Yusop yang bergelora jiwanya akibat sering diejek dek
perbezaan fizikalnya menjadi tidak tentu arah. Dia mahu membuktikan bahawa dia
juga mampu berjaya sehingga sanggup meminum air ketum sebelum meneruskan acara
olahraga yang disertainya. Akhirnya dia bergelar juara, namun tidak semudah
itu. Jiwanya didesak dengan dongkolan rasa bersalah atas ketidakjujuran itu.
Mujur sahaja tindakannya telah dipatahkan lebih awal oleh gurunya yang begitu
peduli terhadap prestasi Yusop. Yusof ialah watak remaja yang kerap kali tersilap
langkah. Hanya dengan melakukan kesilapan, remaja mendapatkan pedoman,
menginsafi diri atas kekhilafan dan mendalami pengajaran yang dihadirkan kepada
diri mereka dalam setiap pengalaman. Seharusnya remaja ini perlu diperkukuhkan
jiwanya dengan ketelusan dan integriti kerana menjadi pemimpin bukan sekadar
untuk bermegah dengan nama sebagai ketua, tetapi perlunya kefahaman dan
kebijaksanaan dalam menguruskan serta mengendalikan sesuatu perkara.
Azizi dalam cerpen Kekabu Mimpi pula sentiasa
mengharapkan keseronokan setiap kali ayahnya mendapat pulangan daripada hasil
jualan bantal kekabu. Permintaan Azizi yang mahukan itu dan ini telah membuatkan
ayahnya sentiasa berusaha keras bagi memenuhi hasrat anaknya itu. Suatu hari permintaan
dan tempahan bantal kekabunya menjadi semakin banyak sehingga dia tidak perlu
menjualnya secara sendiri lagi, sebaliknya hanya dijual kepada Tauke Leman
sebagai orang perantara. Namun, pasti ada sahaja orang yang cuba mengambil
kesempatan terhadap orang lain. Sungguhpun begitu, ayah Azizi seorang yang kuat pegangannya.
Dia sanggup menghampakan hasrat Azizi yang mahu melancong dan lebih rela
kerugian apabila dia membawa bantal-bantalnya ke balai polis sebagai bahan
bukti kepada kerja jahat Tauke Leman. Daripada cerpen ini, Azizi diajarkan
supaya bersikap jujur, tetap dengan pendirian dan tidak memandang harta
sehingga sanggup menggadaikan maruah diri dan keluarganya. Jika sedari awal
lagi nilai-nilai sebegini sudah dipupuk dalam diri remaja, pasti suatu hari
nanti mereka akan menjadi dewasa dalam integriti dan kehidupan yang bermoral.
Keresahan jiwa remaja yang terkesan dek kesibukan ibunya setelah
berjaya dapat dilihat dalam diri Gadis melalui cerpen Gadis dan Cermin
Masa Depan. Gadis ialah watak yang penuh dengan harapan, watak yang
terpaksa akur kepada perubahan kehidupan dan watak yang turut tewas dengan kekecewaan.
Dia cekal dalam menutupi segala kekesalan terhadap ibunya, malah tidak pula dia
bersikap dingin atau menderhakai ibunya. Pergelutan jiwa yang hampir serupa
turut boleh dilihat dalam cerpen Sepucuk Rindu di Aidilfitri apabila
Shamsul tidak menerima ibu tirinya dan sentiasa menghamburkan rasa benci dan
dendam seolah-olah wanita itu memang sengaja merancang mahu menggantikan
gemulah ibu kandungnya. Shamsul ialah watak yang lemah dengan ujian kehidupan
sehingga dikuasai oleh pemikiran negatif yang tersemat dalam jiwanya walhal ibu
tirinya itu sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik demi mengambil hati
Shamsul, anak tirinya.
Hafis dalam cerpen Lelaki di Atas Kuburan pula
merupakan watak remaja yang memberontak dan tidak berfikir panjang sebelum membuat
sebarang keputusan. Akibat kelemahan jati dirinya dalam mendepani masyarakat
yang asyik mencemuh dirinya kerana penyakit HIV yang dihidapi oleh ahli
keluarganya, dia memilih untuk membawa diri dengan melarikan diri jauh dari
tempat tinggalnya sedangkan dia tidak sedar bahawa dunia ini penuh dengan
pancaroba. Thomas juga hampir serupa nasibnya dalam cerpen Pulang
Tanggang Memuliakan Cinta. Thomas telah dijaga oleh ibu angkatnya setelah
dibuang semasa kecil. Kehadiran ibu kandungnya menemui dirinya setelah dia
mencapai usia remaja seperti satu peluang untuk dia membalas perbuatan ibu
kandungnya itu. Dia tidak dapat menerima ibu kandungnya kerana telah dikuasai
oleh rasa marah dan dendam. Sebenarnya, pergelutan jiwa seperti empat cerpen ini
akan mengajar remaja untuk menjadi lebih matang, bersedia dengan kemungkinan
masalah yang bakal melanda dan bertindak secara rasional dan waras tanpa
dikawal oleh emosi. Segala pengalaman yang diperoleh akan menjadikan remaja
lebih berani, lebih kental jiwanya dan lebih memahami liku-liku kehidupan untuk
menjadi pemimpin yang akan disegani pada suatu masa nanti. Sebenarnya, jiwa remaja
ini lembut dan penuh dengan kebaikan. Namun, mereka memerlukan kasih sayang,
perhatian dan keadaan persekitaran yang sihat untuk mereka terus membesar
menjadi manusia yang besar jiwanya.
5.0 REMAJA CERMINAN
BAHASA, ADAT DAN BUDAYA
Cerpen Dengarkan Bahasa Gadis Tionghua mendatangkan
watak persahabatan antara Jefri dengan Kam Jie Yan melalui persilangan bahasa,
adat dan budaya. Jefri ialah cerminan remaja yang dahagakan ilmu apabila dia bersungguh-sungguh
mempelajari bahasa Mandarin, setia kepada bahasa Melayu dan berkemahiran juga dalam
bahasa Inggeris. Manakala Kam Jie Yan pula merupakan watak yang gemarkan
cabaran. Dia mahu mempelajari cara mendeklamasikan sajak untuk dipersembahkan
semasa majlis perpisahan guru mereka. Persilangan bahasa, adat dan budaya ini
bukan diwujudkan untuk menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semata-mata,
tetapi sebagai teguran halus pengarang kepada pembaca bahawa bahasa itu penting walau berbeza-beza lenggok dan bunyinya. Lebih menarik, cerpen ini
merupakan cerpen yang dihasilkan oleh pengarang dengan menjadikan puisi Pemuda
dan Gadis Tionghoa karya Usman Awang sebagai tulang belakang yang
menjadi tonggak perjalanan cerita yang unik. Hanya dengan menggunakan watak
remaja, bahasa, adat dan budaya antara dua kaum boleh dikongsi dan diraikan
bersama-sama.
Persilangan adat dan budaya yang seterusnya dalam cerpen Kolam
boleh dikaitkan dengan adat dan budaya Islam dengan Hindu. Pelita dan cahaya
menjadi objek yang sama, tetapi digunakan dalam dua agama yang berbeza bagi
tujuan dan makna tertentu. Pengarang meletakkan Kolam sebagai elemen utama yang menjadi penyebab kepada penantian Auntie Renuga terhadap anaknya, Rama
yang telah dipenjarakan tanpa dapat dibela kerana faktor ketiadaan duit. Salwa pula ialah watak remaja yang menjadi
penghubung dalam menjalinkan ukhwah dua kaum yang berbeza agama dan amalannya.
Turut digambarkan dalam cerpen ini ialah keharmonian masyarakat majmuk yang
sudah lazim dengan perkongsian perayaan di Malaysia seperti “Kongsi Raya” dan
“Deepa Raya”.
Kudrat Sanai pula menampilkan watak Aku dan Tat Seng
yang cuba menjernihkan kembali persahabatan ayah mereka yang berselisih faham
suatu ketika dahulu akibat masing-masing mempertahankan ego dan tidak mahu
mengalah. Perbezaan agama dan bangsa tidak pernah menghalang Aku dan Tat Seng
bersahabat, malah menjadikan mereka lebih matang dalam membantu menyatukan ayah
mereka menjadi sahabat semula. Watak-watak yang dicipta oleh pengarang ini
cukup bijak sifatnya. Setiap seorang mewakili kaum tersendiri. Maka merekalah
wakil dan duta kepada kaum mereka. Walaupun pengarang mewujudkan perang dingin
antara ayah-ayah mereka, tetapi dipulihkan semula dengan keakraban anak-anak
mereka yang berusaha mencari penyelesaian terbaik kepada konflik yang berlaku.
Maka benarlah, remaja itu cerminan bahasa, adat dan budaya yang begitu tinggi
nilainya.
6.0 REMAJA DAN PILIHAN
Menjadi remaja juga sentiasa perlu membuat pilihan secara tepat.
Tersilap membuat pilihan, meranalah hidup sampai bila-bila. Cerpen Sayur
Keladi di Atas Bukit memberikan pilihan kepada Mulya sama ada mahu
meneruskan hasrat ibunya memberikan sayur keladi kepada Tuan Muslim atau mahu
berterus terang sahaja kepada ibunya bahawa pemberiannya itu tidak dihargai,
malah dihebahkan pula di media sosial dengan penghinaan yang menyakitkan. Mulya
juga memilih untuk berdepan dengan Tuan Muslim dan meluahkan segala-galanya
yang terbuku di hatinya tanpa berselindung lagi. Sebenarnya, pengarang cuba
untuk mengangkat isu penggunaan media sosial dalam kalangan remaja sama ada
digunakan untuk kebaikan ataupun sebaliknya. Dalam cerpen ini, penyalahgunaan
media sosial telah melukakan hati Mulya sehingga menyebabkan dia berprasangka
terhadap Tuan Muslim. Pilihan-pilihan yang dibuat oleh Mulya sebenarnya
menggambarkan bahawa dirinya mempunyai pendirian yang teguh. Dia tidak
teragak-agak dalam membuat keputusan dan sentiasa yakin dengan apa-apa yang
dilakukannya.
Begitu juga dengan cerpen Pekasam Siti Rubaiyah Terbang ke
London. Watak Zarif dan Munirah ialah dua remaja yang saling berselisih
faham. Namun Zarif telah cuba merendahkan ego demi kepentingan tugasan tentang
ikan pekasam yang perlu disiapkan olehnya. Zarif boleh memilih sama ada dia
mahu terus dengan egonya atau dia terus berusaha untuk mendapatkan maklumat
tanpa mengambil mudah tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya. Pilihan-pilihan
yang ada membuatkan Zarif terpaksa memberanikan diri untuk membuat keputusan
dengan tepat dan bersedia dengan apa jua kemungkinan yang berlaku kelak. Dek
kerana kesungguhannya, dia akhirnya berjaya mendapatkan maklumat yang tepat dan
sahih untuk dimuatkan dalam tugasannya nanti.
Akhir sekali, cerpen Cikgu menampilkan watak Aziz
dan bapanya yang tidak sehaluan walaupun pekerjaan mereka adalah bawah bidang
yang serupa. Pengarang tidak pernah terlepas daripada menjadikan profesyen
kerjayanya sebagai guru menjadi latar dan perencah untuk cerpen-cerpen beliau.
Hanya cerpen ini yang tidak menghadirkan watak remaja sebagai penggerak utama
jalan cerita. Aziz, mungkin sudah dewasa kerana dia sudah bekerjaya dan menjadi
seorang guru. Namun, keangkuhan memiliki pendidikan dan kelayakan menjadi
seorang guru telah menyebabkan dia memandang rendah ayahnya yang hanya sekadar
menjadi guru mengaji. Aziz ini bukanlah contoh remaja masa kini, tetapi dia
ialah gambaran anak muda yang sudah terhakis luhur budinya, kian pudar adab
sopannya malah semakin luntur budi bahasanya. Menjadi anak yang baik juga
merupakan satu pilihan. Tidak berguna jika berjaya tetapi tiada restu dan
keredaan.
7.0 KEKUATAN GDCMD
GDCMD ialah sebuah kumpulan cerpen yang jauh lebih matang dengan
isu dan persoalan yang lebih berat untuk dihadami oleh para pembaca. Perkara
ini turut dinyatakan sendiri oleh pengarang dalam prakata GDCMD.
“Gadis dan
Cermin Masa Depan yang mengemukakan 15 cerpen remaja yang saya sifatkan lebih
matang garapannya berbanding cerpen yang termuat dalam Tetamu Istimewa.”
Maka wajarlah sekiranya GDCMD dibandingbezakan dengan Tetamu
Istimewa (TI) memandangkan kedua-duanya ialah buku kumpulan cerpen remaja yang
dihasilkan oleh pengarang yang sama. Kekuatan GDCMD terletak pada kepelbagaian
isu dalaman remaja yang cuba diangkat oleh pengarang untuk tatapan para
pembaca. Sentuhan-sentuhan jiwa remaja yang begitu dekat dengan pembaca telah menjadikan
kisah dan penceritaannya mudah difahami dan tidak terlalu kompleks. Namun,
untuk mengeluarkan mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarang, pembaca perlulah
meluangkan lebih banyak masa untuk meneliti dan memperhalusi setiap bait kata
yang dicoretkan oleh pengarang.
Pengarang merupakan seorang yang cukup teliti dalam memerihalkan
setiap objek yang dijadikan elemen dalam cerpen beliau. Sebagai contoh perihal
pinang dalam cerpen Pinang nan Sebatang.
“Tangan
kirinya memegang kuat batang gobek. Tangan kanannya pula sedia menggobek pinang
yang telah dikacip halus bersama sepiak sireh yang dicaliti kapur putih,
sedikit kapur merah dan sekutil gambir.”
Hal sebegini juga dapat dilihat dalam cerpen Kolam.
“Itu bukan
lukisan Salwa. Itu Kolam. Kebiasaannya pada pintu masuk rumah penganut agama Hindu terdapat hiasan Kolam – hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas
lantai yang lazimnya dibuat daripada bijirin pelbagai warna.”
Jika diteliti dan diamati TI dan Bila Ayah Berkaca Mata Hitam
(BABMH), kedua-dua buku ini juga pasti ada terkandung pemerihalan elemen-elemen
sebegini yang dimasukkan oleh pengarang. Kebijaksanaan pengarang ini mampu
membuatkan pembaca faham akan gambaran perihal pekerjaan yang sedang dilakukan,
atau objek yang sedang ditunjukkan. Begitulah hebatnya kuasa penulisan,
menjadikan sesuatu yang tiada secara nyata, tetapi boleh wujud dalam ilusi.
Kesepaduan yang ditonjolkan dalam GDCMD ialah watak utama yang
pastinya dilantik dalam kalangan remaja mahupun anak muda. Perkara ini
menjadikan pembaca terus kekal menjiwai semangat remaja dari awal pembacaan
sehinggalah ke akhirnya. Apabila pembaca sudah memasuki zon selesa semasa
membaca, apa-apa sahaja mesej dan pengajaran yang dibawakan oleh pengarang akan
dirasakan begitu dekat dengan diri masing-masing khususnya apabila remaja yang
membaca GDCMD. Hal ini dapat membuatkan pembaca fokus dan memahami keseluruhan
buku dengan lebih cepat dan mendalam.
Pengarang juga amat mementingkan semangat perpaduan dalam setiap
karya beliau. Hal ini jelas terlihat dalam GDCMD apabila watak yang ditonjolkan
terdiri daripada watak pelbagai kaum dan latar suasana perayaan berbilang
bangsa. Cerpen yang dihasilkan akan digabungjalinkan dengan kepelbagaian adat
dan budaya yang menampilkan keharmonian dalam plot dan penceritaannya sekali gus
menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejahtera. Unsur-unsur
keagamaan juga turut diselitkan dengan berhikmah dalam kebanyakan cerpen yang
digarap agar tidak menyentuh sensitiviti sesiapa. Misalnya dalam cerpen Pulang
Tanggang Memuliakan Cinta, pengarang meletakkan cinta itu sebagai cinta
kepada Tuhan untuk kembali kepada fitrah sebagai seorang Islam. Hal ini digarap
melalui watak Thomas yang mahu pergi ke surau kerana hendak bertemu Allah SWT demi
mendoakan kesejahteraan ibunya. Kewujudan ungkapan-ungkapan seperti “Alhamdulillah”
dan “Astagfirullahal’azim” serta kata-kata yang menggambarkan Islam
seperti nama “Tuan Muslim”, “muqaddam”, “al-Quran”, “Aidilfitri” dan
“Allah SWT” juga banyak dimasukkan oleh pengarang sekali gus memperlihatkan
bahawa karya-karya pengarang ialah karya yang cukup rencahnya. Sastera ada,
ilmu kehidupan ada, ilmu akhirat juga ada.
Penggunaan bahasa yang baik dengan laras bahasa yang mudah serta
ringkas menyebabkan plot cerita bergerak dengan lancar. Tiada kesalahan ejaan
dan bahasa yang ketara menggambarkan buku ini telah ditukangi dengan
cermat oleh pengarang dan editor. Pengarang memang cukup dikenali sebagai seorang
yang mempunyai lenggok bahasa yang baik dan mudah difahami. Tidak ada
perkataan-perkataan bombastik yang tidak difahami melainkan bait-bait kata yang
mudah dihadam oleh pembaca khususnya golongan remaja. Penguasaan bahasa yang
baik turut membantu pengarang dalam penjudulan setiap cerpen beliau sehingga
dilihat “catchy” dan mampu menarik minat pembaca untuk membacanya.
Sebagai contoh judul cerpen yang menarik ialah Dengarkan Bahasa Gadis
Tionghua, Kekabu Mimpi dan Pulang Tanggang Memuliakan Cinta.
Sejumlah 15 buah cerpen yang dimuatkan dalam GDCMD pula merupakan
satu jumlah yang cukup ideal. Sudah memadai jumlah yang tidak terlalu banyak
dan tidak pula terlalu sedikit. Jumlah tersebut dapat mempengaruhi psikologi
pembaca apabila hendak membaca. Masa yang diambil untuk membaca pula tidak akan
menjadi terlalu lama kerana pembaca boleh menghabiskan cerpen yang ada satu per
satu sebelum berhenti dan berehat jika sudah terlalu penat membaca. Para
pembaca pastinya tidak akan berhenti membaca di sekerat jalan seperti membaca
novel, sebaliknya akan dihabiskan pembacaan sebuah cerpen sebelum disambung
cerpen yang berikutnya. Kesemua 15 cerpen tersebut dirasakan telah disusun
dengan cukup rapi dan teliti. Isu-isu yang diketengahkan dapat dibahagikan
kepada tiga pembahagian iaitu ringan-sederhana-berat. Pengarang berjaya
memanipulasikan minda pembaca apabila cerpen-cerpen awal dalam GDCMD bersifat
lebih mudah dan ringan. Diikuti pula cerpen-cerpen yang menuntut ketelitian di
pertengahan buku. Seterusnya, cerpen-cerpen pada bahagian akhir buku bukan
sahaja memerlukan pembaca berfikir, malah ada kalanya perlu dibaca ulang
berkali-kali untuk memahami mesej sebenar yang cuba disampaikan. Maka susunan
cerpen yang sebegini sebenarnya amat membantu pembaca untuk meneruskan
pembacaan secara lancar tanpa halangan yang mengganggu.
8.0 CADANGAN
PENAMBAHBAIKAN
Sungguhpun GDCMD bersifat lebih matang, namun masih ada beberapa
perkara yang boleh ditambahbaik untuk menghasilkan karya pada masa akan datang,
lebih-lebih lagi sekiranya ada manuskrip untuk buku baharu yang sedang disusun
bagi tujuan penerbitan. Kebanyakan cerpen pengarang seolah-olah begitu
statik dengan format permulaan-konflik-peleraian dan kurangnya kepelbagaian
dalam olahan plot cerpen. Teknik seperti imbas kembali dan monolog dalaman
begitu kurang dalam cerpen-cerpen yang ada malah ada cerpen yang hampir sama
bentuk ceritanya. Sebagai contoh cerpen Sepucuk Rindu di
Aildilfitri dan cerpen Kolam membawa pengakhiran yang
hampir serupa iaitu kepulangan ke dakapan keluarga tersayang. Walaupun isu dan ceritanya
berbeza, namun kesan pembacaan yang seolah-olah sama boleh mendatangkan rasa bosan
dan mendatar kepada pembaca. Perihal kepulangan ini juga boleh dilihat dalam TI
melalui cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin. Oleh itu, dapat
disimpulkan bahawa cerpen-cerpen yang berlatarkan perayaan akan menjadikan
kepulangan sebagai peleraian kepada konflik yang berlaku.
GDCMD juga lebih banyak dimuatkan dengan konflik individu yang
berkaitan dengan pergelutan jiwa dan perasaan remaja. Hal ini boleh dilihat
dalam cerpen Usain Bolt dari Kampung Kami, cerpen Gadis
dan Cermin Masa Depan, cerpen Sayur Keladi di Atas Bukit dan Lelaki
di Atas Kuburan. Konflik individu dengan peleraian dalam skop yang kecil
tidak akan memberikan impak yang begitu berkesan kepada pembaca. Mungkin lebih
menarik jika pengarang boleh memasukkan fungsi masyarakat sebagai peleraian
kepada sesuatu konflik atau masalah yang melanda.
Cerpen-cerpen yang berlatarkan ‘pesta kampung’ seperti hampir tiada
dalam GDCMD berbanding TI. Jika dilihat dalam TI, cerpen-cerpen sebegini begitu
menarik dan seronok untuk dibaca. Sebagai contoh cerpen Bunga Telur
Kenduri Kahwin dan Rombongan Masuk Jawi. Begitu juga
cerpen yang berbentuk serupa dalam BABMH seperti cerpen Pesta Bendang dan
cerpen Kenduri di Kampung Pisang.
Terdapat juga tema cerpen-cerpen remaja yang jarang disentuh oleh
kebanyakan pengarang pada hari ini. Antara temanya ialah tema yang berkaitan
dengan perhubungan adik-beradik, remaja yang menjadi yatim piatu, percintaan
golongan remaja, kecelaruan identiti remaja dan teknologi maklumat seperti
penggunaan gajet dan media sosial yang membawa kesan positif kepada remaja.
Dengan mempelbagaikan lagi tema-tema yang lebih dekat dengan proses tumbesaran remaja, tentunya boleh menarik lebih banyak pembaca untuk membaca sesebuah buku
itu.
Sungguhpun demikian, kekurangan-kekurangan ini tidak sedikit pun
menjejaskan kekuatan sebenar GDCMD sebaliknya hanyalah sebagai suatu pandangan
penambahbaikan yang boleh diambil kira sebagai rujukan dalam
penerbitan-penerbitan seterusnya.
9.0 PENUTUP
Trouble
will find you no mater where you go, oh oh
No Matter
if you're fast no matter if you're slow, oh oh
The eye of
the storm and the cry in the morn, oh oh
Your fine
for a while but then start to loose control
(Petikan
lirik lagu “Trouble is a Friend” nyanyian Lenka)
Menjadi remaja ialah cabaran yang perlu ditempuhi dengan
keintelektualan akal dan fikiran serta kekuatan dan kecekalan emosi yang
tinggi. Masalah tidak akan pernah hilang dan lesap begitu sahaja. Namun dengan
kepandaian memanipulasikan masalah dan kepintaran menukarkannya kepada
penyelesaian pastinya akan membentuk sebuah kehidupan yang lebih bahagia.
Petikan lirik lagu “Trouble is Friend” nyanyian Lenka menunjukkan bahawa
masalah itu seperti kawan-kawan. Sentiasa ada, sentiasa hadir di sisi kita.
Masalah yang tidak pernah sudah selagi mana manusia itu bernyawa dan hidup di
atas muka bumi ini.
Mencelikkan remaja yang sedang lena. Begitulah hasrat pengarang
dalam GDCMD yang sebenarnya cuba mencungkil seberapa banyak konflik dan masalah
dalam diri remaja untuk digubah menjadi cerpen-cerpen dengan plot yang
mendatangkan kesan positif serta pedoman kepada pembaca. Apabila membaca
melalui hati, pasti akan ditemui pelbagai pengajaran yang benar-benar mampu
memupuk kefahaman dalam menjadi seorang insan yang berakhlak mulia dan juga baik
budi pekertinya.
Membaca GDCMD memberikan kesan yang cukup mendalam. Selain
daripada dapat mengenali sikap dan perwatakan remaja, pembaca juga dapat
mengetahui sebahagian besar konflik dan permasalahan yang selalu membelenggu kehidupan
remaja. Remaja selalunya akan merahsiakan dan memendam sahaja masalah yang
melanda diri mereka. Namun, melalui GDCMD pengarang telah memberikan gambaran
bagaimana remaja berhadapan dengan sesuatu konflik dan bagaimana pula mereka
mencari jalan penyelesaian yang akan mendatangkan kesan positif kepada diri
mereka.
Oleh itu, sangatlah wajar jika GDCMD dijadikan bahan bacaan untuk
semua peringkat umur tanpa mengira agama dan bangsa. Buku ini sesuai dijadikan
sebagai rujukan untuk menambah ilmu tentang cara penghasilan cerpen yang baik
dan berkesan. GDCMD patut dipromosikan kepada kawan-kawan untuk dibaca dan boleh
dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah dalam tugasan-tugasan di universiti
kerana buku ini mengadunkan resipi kehidupan yang secukup rasa, bervariasi
kisah dan isunya, menggunakan bahasa yang baik, memaparkan watak dalam
kehidupan majmuk yang saling menghormati dan penuh dengan pengajaran serta
pedoman.
Sebagai kesimpulan, Gadis dan Cermin Masa Depan ialah cabaran dan
harapan remaja yang hidup dengan rencam masalah, dibelenggu dengan konflik
dalaman diri serta diuji dengan persekitaran yang cukup mencabar. Maka, warga
di sekeliling yang ada perlulah memainkan peranan menjalankan tanggungjawab
yang sewajarnya dalam membantu para remaja membentuk jati diri yang utuh dan
kukuh pada pasak keluhuran budi demi menjadi generasi remaja yang berilmu,
beradab dan elok pekertinya.
10.0 RUJUKAN
BUKU
Kamus
Dewan. (4th
Ed.). (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Mohd
Helmi Ahmad. (2014). Kumpulan Cerpen
Remaja : Tetamu Istimewa. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan & Buku
Malaysia
Mohd
Helmi Ahmad. (2016). Kumpulan Cerpen :
Bila Ayah Berkaca Mata Hitam. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan & Buku
Malaysia
Mohd
Helmi Ahmad. (2018). Kumpulan Cerpen
Remaja: Gadis dan Cermin Masa Depan. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan
& Buku Malaysia
ORANG
SUMBER
Mohd
Helmi bin Ahmad,
Pengarang
Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa, Kumpulan Cerpen : Bila Ayah Berkaca
Mata Hitam dan Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis dan Cermin Masa Depan
INTERNET
Akta Umur Dewasa (2006). Diambil daripada http://www.agc.gov.my/agcportal/uplo
ads/files/ Publications/LOM/MY/Akta%2021.pdf
Muhammad
Sabran. (2012). Psikologi remaja dalam
Islam. Diambil daripada http://www. muhammad-sabran.com/2012/10/psikologi-remaja-menurut-islam.html
LIRIK
LAGU
Mike
Elizondo. (2008). Trouble is a Friend
dalam Lenka Album diambil daripada https://www.azlyrics.com/lyrics/lenka/troubleisafriend.html
UNIC.
(2004). Remaja dalam See U D IPT
diambil daripada https://www.azlyrics. com/lyrics/lenka/troubleisafriend.html
(Ulasan dan kritikan
ini adalah sebagai penyertaan dalam Peraduan Jom Kritik Buku ITBM anjuran
Institut Terjemahan & Buku Malaysia 2018)
menarik
BalasPadam