Saya telah melalui hari-hari yang rutinnya sama sahaja saban hari. Tidak banyak yang berbeza daripada hari-hari sebelumnya. Mungkin juga saya yang gagal mencari pembaharuan dalam diri dan kehidupan, atau saya yang sengaja menidakkan pembaharuan. Walaupun begitu, saya perlu akur. Perasaan dalam diri ini setiap hari berubah-ubah, berbolak balik dan penuh dengan kerisauan dan kegusaran. Padahal boleh sahaja saya memilih untuk terus berbahagia, tidak menghiraukan apa-apa sahaja yang mengganggu jiwa dan memasakkan keangkuhan pada tubuh ini. Namun, saya bukan begitu. Saya seorang pemerhati yang memerhati dan terlalu mudah tewas dengan perubahan sekeliling yang menyesakkan.
Dalam menghadapi hari-hari yang telah berlalu, saya dihantui dengan prasangka yang pada intuisi saya sangat kuat dan keyakinan saya cukup tinggi. Prasangka itu, sifat asalnya hanyalah perasaan yang mendahului tindakan sebenar ataupun sebagai satu bentuk jangkaan. Maka tidak salah untuk berprasangka bukan? Jika prasangka saya itu buruk, semoga Allah simpangkan sejauh-jauhnya daripada menjadi kenyataan. Sebaliknya jika prasangka itu benar, semoga Allah melembutkan hati dan melapangkan dada saya untuk memaafkan. Juga titiskanlah kesedaran yang sewajarnya terhadap dia, atau seharusnya saya yang dilemparkan kesedaran itu!
Kurang seminggu, ada peristiwa penting yang bakal berlangsung. Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal melibatkan diri saya sebagai pemilih kali pertama seumur hidup saya. Lima tahun yang lalu, umur saya belum cukup. Sekadar melihat dan merasai persekitaran mengundi yang meriah dan penuh dengan isu serta drama politik. Lima tahun akan datang, belum tentu lagi saya masih hidup. Rahsia Tuhan tentang hidup dan mati. Mungkin juga saya tidak akan berkesempatan lagi menjadi pemilih atas sebab-sebab yang tidak terfikir.
Kurang sebulan, ada tetamu yang bakal hadir. Ramadan – bulan untuk umat Islam berpuasa dan beribadat sepuas-puasnya. Bulan yang pernah membuatkan saya rasa hampir berputus asa, pada masa yang saya melimpahi jiwa saya dengan ketenangan yang jika dicari lagi, tidak akan dijumpai. Bulan yang pernah mengubah kehidupan saya seratus peratus atas kehendak dan takdir yang tertinta. Saya tidak pasti. Ramadan itu ialah tetamu yang dinantikan, atau saya yang sebenarnya akan menjadi tetamu kepada Ramadan.
Kurang dua bulan, ada penghabisan yang akan dilalui. Perpisahan yang akan terjadi lagi. Saya seharusnya bersedia untuk semua itu dan tentunya perlu benar-benar mempersiapkan diri dengan perancangan dan usaha yang bertalu-talu.
Doakan saya. Semoga kita bertemu lagi dalam coretan yang seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan