Saya merasakan langkah yang pernah saya mulakan tahun lalu, semestinya diteruskan lagi dan lagi kerana ada rindu yang bersisa dan terus mekar dalam jiwa ini. Syukur, setelah merancang masa yang ada, saya berkesempatan untuk menyertai sayembara deklamasi puisi kali ini di negeri tanah tumpah darah sendiri. Lain rasa yang menyelimuti perasaan ini.
Tahun lepas saya direzekikan untuk membawa nama negeri lain
ke peringkat kebangsaan. Namun, saya tetap gembira dengan peluang tersebut
kerana percubaan pertama yang berjaya dan saya akhirnya layak berpijak ke
pentas yang paling tinggi untuk beradu jiwa seni itu. Saya dipertemukan dengan
pengalaman, kenalan, malah ilmu yang tidak mungkin saya peroleh jika saya tidak
ke sana.
Saya tahu, untuk meletakkan harapan yang terlalu tinggi itu
tidak bagus dan kadang-kala mengecewakan. Tetapi, saya tetap berharap kiranya
saya boleh mewakili negeri sendiri, membawa lencana kebanggaan dan berbakti
sebagai anak negeri. Dengan ilmu yang terlalu dangkal, pengalaman yang lompong,
bakat yang haus, kemahiran yang tumpul, saya tidak berhasil melangkah membawa harapan
yang saya gantungkan itu. Pastilah saya terkilan, tetapi tidak bermakna saya
diruntun kekecewaan.
Setidak-tidaknya saya telah mencuba dan kepuasan untuk usaha
saya itu bukan terletak pada kemenangan semata-mata. Saya telah berjumpa dengan
ramai kenalan baharu – malah ada yang cuba membuka pintu rezeki buat saya. Tahun
depan, pasti saya akan cuba lagi. Pesan seorang kenalan, buatlah persiapan
sedari sekarang. Setahun tempoh untuk saya perbaiki apa-apa yang kurang. Saya
sahut cabaran itu!
Insya-Allah. Perjuangan ini akan diteruskan biarpun panjang
garis masa yang perlu saya tempuhi untuk menebus rindu yang berbaki itu. Saya
mahu, saya akan berusaha untuk itu. Minat dan kerjaya, dua elemen yang tidak
boleh digabungkan. Maka, minat akan saya perjuangkan dan kerjaya akan saya
kukuhkan.