Sabtu, 29 Disember 2018

PULUT KUNING DAN TANDA KESYUKURAN

Sebenarnya sudah lebih sebulan sejak saya menghadiri majlis konvokesyen yang berlangsung pada 13 November 2018 yang lalu. Mungkin itulah majlis pertama dan terakhir saya yang seumpama itu. Hatta semasa zaman persekolahan pun, saya tidak pernah merasa memakai jubah, mortar dan sebagainya. Mengapa terakhir? Asbab saya belum pernah terfikir untuk meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi (lagipun pembelajaran sepanjang hayat itu tidak semestinya hanya diukur melalui peringkat pengajian sahaja kan). Malah saya turut percaya, belajar itu juga memerlukan 'passion'. Cukuplah untuk saya mengharungi sebuah jalan kehidupan yang 'diaturkan'. Kini masanya untuk saya membina kehidupan. Saya yakin, saya akan turut belajar lebih banyak perkara baharu dalam fasa kedewasaan sebenar ini.

Alhamdulillah, semuanya sudah selesai walaupun banyak juga cabaran dan halangan yang perlu dihadapi. Mungkin suatu hari nanti, saya akan coretkan tentang kisah tersebut kerana saya masih belum pasti, apakah yang saya mahu kongsikan sebenarnya. Terlalu banyak yang berlegar-legar dalam kepala, tentang perjalanan ke sana, tentang insan yang berhati mulia, tentang sahabat yang besar jiwanya, tentang air mata yang tumpah sentiasa, tentang pilihan, tentang pengakhiran dan macam-macam lagi. Entahlah. Boleh jadi juga, semuanya hanya tersimpan kemas dalam memori ingatan tanpa penzahiran kepada bentuk kata-kata dan tulisan.

Berbalik kepada tajuk entri ini. Pulut kuning dan tanda kesyukuran. Kali terakhir Umi membuat pulut kuning sebagai tanda kesyukuran adalah pada sekitar tahun 2013. Hampir lima tahun yang lalu, selepas saya menerima keputusan peperiksaan SPM. (Maksud saya yang dibuat untuk diagih-agihkan. Kalau yang dibuat untuk makan, banyak kali.) Waktu itu, keputusan yang saya peroleh tidaklah begitu baik. Namun Umi tetap mahu membuat pulut kuning sebagai tanda kesyukuran. Saya turutkan sahaja. Malah saya sendiri perlu memupuk diri untuk belajar bersyukur dengan apa sahaja yang telah saya perolehi. Baik atau tidak, cemerlang atau tidak, meraikan usaha itu adalah perlu kerana kita sendiri tahu tahap dan kemampuan diri kita.

Kali ini, saya pula yang meminta Umi untuk menyediakan pulut kuning sebagai tanda kesyukuran setelah berakhirnya perjalanan panjang saya dalam mendapatkan segulung ijazah dan adik saya yang kebetulan menamatkan diplomanya pada masa yang hampir sama. Sesi konvoksyen kami juga hanya berselang beberapa hari sahaja. Syukur tidak bertembung. Saya berikan sebahagian duit gaji yang memang saya peruntukan untuk tujuan ini bagi membeli segala bahan mentah yang diperlukan. Kami bersama-sama menyediakan pulut, rendang dan membungkus semuanya sebelum diagihkan. Menjelang petang, kami bersama-sama ke rumah jiran-jiran dan saudara-mara untuk diberikan pulut kuning tersebut. Insyaallah, niatnya sebagai meraikan kami adik beradik dan sebagai sedekah agar kegembiraan itu boleh disebarluaskan kepada orang lain.

Mungkin bagi sesetengah orang lain, tidak ada yang istimewa pada pulut kuning itu. Mungkin juga orang sekarang memandang pulut kuning sebagai sekadar juadah untuk dimakan. Benar, saya tidak menafikan. Pulut kuning itu hanyalah makanan. Bukanlah simbol atau lambang kepada apa-apa upacara pun. Malah kalau digantikan pulut kuning itu dengan juadah lain seperti nasi minyak ataupun bihun goreng misalnya, tidak ada masalah pun. Boleh sahaja. Keberkatan itu bukannya terletak pada pulut kuning tetapi pada niat dan keredaan Allah.

Kami sekadar mengusahakan sedikit peluang bersedekah dengan cara pemberian pulut kuning. Harapan kami, semoga Allah kurniakan keberkatan dalam tindakan kami dan memberikan rahmat buat seluruh umat manusia yang sentiasa mendoakan kebaikan buat saudara seagama mereka. Ya, lain orang lain caranya. Ada yang tidak melakukan apa-apa. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran. Ada yang mengadakan majlis doa selamat. Terpulanglah. Tiada kewajipan dan tiada pula pengharaman untuk melakukannya.

Semoga langkah seterusnya nanti sentiasa dipermudahkan walaupun ujian akan hadir sebagai tanda peringatan kepada hamba-hamba-Nya. Oh ya, pulut kuning dan rendang ayam yang Umi buat tidaklah setaraf chef terkemuka, tetapi sudah cukup istimewa dan ekslusif untuk kami sekeluarga.

Ahad, 28 Oktober 2018

KEJUTAN DALAM KESABARAN

Hari-hari yang saya lalui terus berlalu pergi. Tidak pernah mahu menoleh apatah lagi berpatah kembali. Membilang hari-hari itu, akhirnya saya telah melepasi tiga bulan pertama tempoh percubaan yang mendidik saya erti kesabaran dan penerimaan. Sekejap rasanya, macam baru semalam saya memulakan langkah dalam arena kehidupan sebenar ini. Beberapa hari lagi, genaplah pula empat bulan tempoh itu.

Jujur, pada mulanya saya juga didesak rasa ketidaktentuan dalam pilihan saya. Saya tidak pasti dengan jalan yang saya pilih sedari awal saya memulakan pekerjaan.  Saya dihantui gundah, resah dan pelbagai rasa yang membuak-buak. Seboleh-bolehnya, saya mahukan sesuatu yang lebih baik - walaupun belum tentu saya mendapat yang lebih baik. Namun, saya pasakkan dalam hati. Saya mahukan pengalaman dan pasti ada ilmu dalam setiap perkara yang saya lakukan. Ternyata, Tuhan benar-benar Maha Mengetahui dan mendahului segala perancangan saya, hamba yang naif ini. Saya dilorongkan kepada sesuatu yang saya tidak pernah jangka. 

Saya telah mendapat satu tawaran yang lebih baik sebaik sahaja tempoh percubaan saya tamat. Pastinya, tawaran itu seiring dengan tanggungjawab yang lebih besar dan lebih berat. Saya terima seadanya kerana saya tahu, peluang hanya hadir sekali. Kalau sudah dilepaskan, tidak akan datang semula peluang yang serupa. Syukur, Alhamdulillah. Perjalanan saya tampak mudah, tetapi payah - percayalah. Saya yakin, semua ini juga adalah doa Abah dan Umi buat saya. Tidak mungkin saya boleh mengecapi setiap kejayaan tanpa restu mereka, sungguh!

Insyaallah, saya akan terus melihat peluang dan akan merebut apa sahaja peluang yang hadir nanti. Tentunya, apa-apa yang saya peroleh ini bukanlah pencapaian terbaik. Usia saya masih muda. Kalau Allah izinkan saya bernafas lebih lama, lagi panjang perjalanan yang perlu saya tempuhi. Tidak ada noktah sampai mati. Maka, selagi itulah saya perlu terus berlari dan mengejar impian kebahagiaan yang Allah janjikan di dunia ini. Lumrah manusia, tidak akan puas dengan apa yang sudah dikecapi. Jadi, terus sahaja bersyukur dan berusaha untuk mencari peluang yang lebih baik. Ada kalanya, kita tidak boleh terlalu mempersoalkan ketentuan Allah ini. Lebih baik adalah untuk tidak langsung mempersoalkan, sebaliknya bermuhasabah dan mencari penyelesaian dan hikmah yang terkandung. Yakinlah dengan Allah, sentiasa berbuat baik dan janganlah memandang rendah kepada orang lain. Pasti dipermudahkan perjalanan nanti.

"Kalau rasa kesempitan dalam rezeki, amalkan tiga ni - al-Waqiah, Dhuha dan sedekah."
Sahabat I

"Just be yourself, be who you are and yes, be super duper good towards your parents because there's a lot of bless coming from them."
Sahabat II

"Bersangka baik dengan Allah itu penting. Mungkin ada yang Allah nak bagi kita, bukan sekarang tapi nanti sebab Allah tangguhkan, bukan menafikan."
Sahabat III

"Kita kena sentiasa ingat, keep private on these three things - relationship, income, next move."
Sabahat IV

"Kerja elok-elok, laksanakan tanggungjawab dunia sebaik mungkin."
Sahabat V

Saya letakkan juga beberapa perbualan saya dengan sahabat-sahabat yang semestinya bermakna untuk saya jadikan pedoman. Siapa tahu, nanti apabila saya terlupa dan lalai dengan dunia, saya boleh membacanya semula untuk mencari motivasi. Al-maklumlah, manusia ini pelupa. Lebih-lebih lagi saya.

Isnin, 17 September 2018

ADA SISA RINDU TERSELIT DI CELAHAN KALBU

Saya merasakan langkah yang pernah saya mulakan tahun lalu, semestinya diteruskan lagi dan lagi kerana ada rindu yang bersisa dan terus mekar dalam jiwa ini. Syukur, setelah merancang masa yang ada, saya berkesempatan untuk menyertai sayembara deklamasi puisi kali ini di negeri tanah tumpah darah sendiri. Lain rasa yang menyelimuti perasaan ini.

Tahun lepas saya direzekikan untuk membawa nama negeri lain ke peringkat kebangsaan. Namun, saya tetap gembira dengan peluang tersebut kerana percubaan pertama yang berjaya dan saya akhirnya layak berpijak ke pentas yang paling tinggi untuk beradu jiwa seni itu. Saya dipertemukan dengan pengalaman, kenalan, malah ilmu yang tidak mungkin saya peroleh jika saya tidak ke sana.

Saya tahu, untuk meletakkan harapan yang terlalu tinggi itu tidak bagus dan kadang-kala mengecewakan. Tetapi, saya tetap berharap kiranya saya boleh mewakili negeri sendiri, membawa lencana kebanggaan dan berbakti sebagai anak negeri. Dengan ilmu yang terlalu dangkal, pengalaman yang lompong, bakat yang haus, kemahiran yang tumpul, saya tidak berhasil melangkah membawa harapan yang saya gantungkan itu. Pastilah saya terkilan, tetapi tidak bermakna saya diruntun kekecewaan.

Setidak-tidaknya saya telah mencuba dan kepuasan untuk usaha saya itu bukan terletak pada kemenangan semata-mata. Saya telah berjumpa dengan ramai kenalan baharu – malah ada yang cuba membuka pintu rezeki buat saya. Tahun depan, pasti saya akan cuba lagi. Pesan seorang kenalan, buatlah persiapan sedari sekarang. Setahun tempoh untuk saya perbaiki apa-apa yang kurang. Saya sahut cabaran itu!

Insya-Allah. Perjuangan ini akan diteruskan biarpun panjang garis masa yang perlu saya tempuhi untuk menebus rindu yang berbaki itu. Saya mahu, saya akan berusaha untuk itu. Minat dan kerjaya, dua elemen yang tidak boleh digabungkan. Maka, minat akan saya perjuangkan dan kerjaya akan saya kukuhkan.


Selasa, 17 Julai 2018

MENCARI PENGALAMAN ATAU MENCARI REZEKI

“Awak kerja sini sebenarnya sebab nak cari pengalaman atau cari rezeki?” tiba-tiba saya ditujah dengan soalan itu semasa saya sedang ralit menyusun beberapa helaian dokumen ke dalam fail. Urusan saya terhenti. Soalan itu menjentik kuat perhatian saya. Terkelu saya seketika. Saya tidak dapat menjawab secara terus kerana saya tiada jawapan untuk soalan yang tidak diduga itu. 

“Kenapa?” saya cuba memancingnya dengan persoalan lain supaya saya mendapat sedikit gambaran tentang tujuannya bertanyakan soalan itu kepada saya. 

“Tak adalah. Kalau awak sekadar nak cari pengalaman, oklah. Kerja dulu, kumpul pengalaman. Tapi kalau awak betul-betul nak cari rezeki, Insyaallah kerja ni ok je. Awak boleh kerja lama sampailah dapat peluang yang lagi baik,” jawabnya panjang.

Ligat saya mencari jawapan yang sesuai untuk dijawab. Sebenarnya bukan untuk memuaskan hatinya yang bertanyakan soalan, tetapi cuba mencari jawapan untuk diri saya sendiri. Mungkin kerana asyik melayankan emosi yang tidak stabil, rasa syukur yang tidak sedalam-dalamnya, reda yang sekadar pada ucapan, lalu Allah ketuk hati saya pada hari ini. 

Dalam kegelisahan mendapatkan kerja seusai menghabiskan latihan industri tempoh hari, saya terlalu berpegang kepada pasak pencarian pengalaman. Tidak dinafikan, pastinya saya mengharapkan rezeki yang terbaik semasa melalui proses yang cukup mencabar itu. Namun, rupa-rupanya saya terlalai jua. Mengharapkan rezeki jatuh ke riba, kemudian terlupa tentang rezeki-rezeki lain. Sepatutnya rezeki itu dicari dengan kesungguhan dan keredaan yang tulus dari hati. Benar, saya mendapat rezeki bekerja tanpa sempat menganggur, tetapi saya terlupa mencari rezeki dalam pekerjaan yang sedang saya lakukan ini. Allah. Betapa manusia ini lalai dan pelupa. 

Kadang-kala sengaja dipujuk hati, “Tak apalah, cari pengalaman je ni. Nanti dapat kerja lain, berhentilah”. Semudah itu pemikiran yang ada. Walhal dalam Islam ini mengajarkan kita erti kesyukuran, keredaan dan kepasrahan yang menjanjikan keberkatan sebagai hikmahnya. Malah saya berkali-kali diingatkan oleh rakan sekerja yang lain tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap jalan yang Allah tentukan sekarang. Mereka sentiasa menyokong, tidak sekalipun mereka merendahkan saya, apatah lagi menggalakkan saya untuk mengikut kata hati yang memberontak dengan takdir. 

Saya cuba, malah sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tidak riak, tidak memandang rendah kepada orang lain, tidak berasa iri hati dengan rezeki yang orang lain terima, juga mendoakan kebaikan dan kemudahan buat teman-teman yang masih bertungkus-lumus mencari kehidupan. Juga, saya pupuk diri ini untuk yakin, yakin dan terus yakin dengan haluan berliku yang tersurat dalam sebahagian halaman kehidupan saya. Insyaallah, saya akan ingat setiap bait nasihat dan kata-kata semangat yang ditaburkan kepada saya walau dalam apa jua bentuknya. 

Betullah, saya mencari pengalaman malah saya juga mencari rezeki yang diharapkan suatu hari nanti memungkinkan rezeki yang lebih baik hendaknya. Semuanya dengan izin Allah dan berkat doa serta usaha yang berterusan.


Isnin, 9 Julai 2018

MEMBINA KEHIDUPAN

Rupa-rupanya, melangkah ke fasa pembinaan kehidupan nyata ini cukup berat. Kaki seperti dirantai dengan ketulan dan bongkah besi yang menghadkan perjalanan untuk ke sana dan ke sini. Dilema yang melanda pula lebih parah rasanya. Tidak seperti dahulu lagi. Kalau sebelum ini, saya sudah tahu permulaan dan penamatnya. Saya sudah ada garis masa yang tetap dan jelas. Kini tidak lagi. Garis masa itu kabur dan persinggahannya seperti hampir tiada. Saya tidak tahu di mana noktah seterusnya, di mana pula lompong yang perlu saya elakkan supaya saya boleh terus menuju ke hadapan. 

Sebenarnya, ketika ada hati yang sedang digoncang kuat dengan ketidakpastian, ada pula hati yang sudah remuk berkecai dek kedukaan, malah tetap dicantum lagi walau darah mengalir terhiris tajamnya serpihan itu. Lalu syukur itu bagaimana? Tahap kesyukuran itu berbeza-beza bentuknya. Benar, kadang-kala kita sendiri tidak terlepas daripada berasa cemburu, iri hati dan tergugat dengan apa sahaja yang terlihat dek mata. Tambah-tambah lagi apabila media sosial menjadi medium terpantas dalam perkongsian setiap helaian kehidupan, setiap cebisan perlakuan dan tindakan. 

Hari ini, sudah masuk minggu kedua saya memulakan kehidupan yang baharu. Rentaknya cukup kontra dengan yang pernah saya alami sebelum-sebelum ini. Zon yang saya sedang diami ini bukanlah zon selesa, tetapi hanya sebagai satu ruang untuk saya bertapak sebagai pendatang baharu sebagai manusia bekerjaya. Tidak mudah untuk membina kehidupan kalau tiada tapak yang kukuh. Namun, kalau sudah dikurniakan kehidupan yang sempurna, itu rezeki dan anugerah yang perlu disyukuri sedalam-dalamnya. 

“Let’s take it as a challenge. Mana tahu future job kita nanti perlukan skill yang kita tengah belajar ni. Kira jangan underestimate peluang yang kita ada sekarang sebab kita tak tahu kalau peluang tu sebenarnya boleh bawa kita lebih tinggi.” 
Sahabat 1 

“When we learn in a hard way, it will mould us to be a better us. Allah letak kita dekat tempat atau situasi yang kita paling tak mahu, sebab dia tahu tempat tu paling baik untuk kita. Shine, Shine brighter. But if you can’t cope anymore, the choice is yours.” 
Sahabat 2 

“Mula dari bawah dan jadikan diri ada kelebihan ilmu. Mana tahu nanti ada jalan lain.” 
Sahabat 3 

Begitulah antara perkongsian sahabat-sahabat saya apabila saya cuba mendapatkan pandangan dan pendapat tentang permulaan kehidupan yang tidak seperti yang diharapkan. Benar juga kata-kata mereka, ada kelegaan apabila membacanya. Namun, keputusan itu tetap berada pada diri saya sendiri. Kehidupan itu, kehidupan saya. Mereka tidak dapat menentukan apa-apa melainkan sekadar membantu dan berkongsi pengalaman demi penambahbaikan. 

Untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik, pengorbanan itu perlu. Maka, saya memilih untuk mengorbankan sesuatu yang lebih baik itu demi kebaikan yang mungkin sukar diperolehi lagi suatu masa nanti. Semoga Allah memberkati pilihan saya ini dan melorongkan saya ke destinasi yang indah dan bercahaya. Amin.


Khamis, 21 Jun 2018

MELIHAT CERMIN KEHIDUPAN

Syukur. Ramadan akhirnya berjaya dilalui dengan satu pengalaman dan suasana baharu. Tentu sahaja kita semua, malah saya sendiri mengharapkan Ramadan itulah yang terbaik berbanding yang sebelum-sebelum ini. Bahkan mengimpikan perubahan dan kebaikan yang berpanjangan, istiqamah sampai bila-bila. Biarlah walau ada naik turunnya iman, asalkan Tuhan kurniakan kesedaran dan jiwa yang kekal berpasak pada jalan-Nya, cinta yang tulus kepada-Nya, sudah menjadi nikmat yang sangat berharga. Insya-Allah. 

Raya juga sudah masuk hari ketujuh. Banyak kegembiraan yang hadir, berpadananlah dengan makna kemenangan Syawal yang seharusnya diraikan. Sempatlah saya berhari raya bersama-sama saudara-mara, kenalan-kenalan dan para guru. Kalau masih ada kelapangan, akan diusahakan ziarah yang seterusnya ke rumah yang lain. Besarlah hajat saya mahu bertemu dengan lebih ramai kenalan. Mungkin ada rindu yang terbit, yang perlu dilunaskan sehabis-habisnya. 

Dalam perbualan dengan teman-teman tempoh hari, saya begitu terkesan dengan satu topik yang begitu dekat dengan diri saya – atau lebih tepat yang segenerasi dengan saya. Golongan muda, para siswazah yang baru sahaja mahu melangkah ke dunia luar memulakan sebuah kehidupan penuh pancaroba. 

“Ramai yang demand nak kerja yang setaraf dengan ijazah.” 
“Graduan tidak boleh memilih kerja. Kerja je dulu, ambil pengalaman.” 
“Aku tak kisah kerja apa, asalkan kerja.” 
“Aku tak nak la kerja tu, gaji kecil sangat.” 
“Kerja tu langsung tak ada kaitan dengan bidang yang aku belajar.” 

Dialog begini atau yang hampir serupa, kerap kali kita dengar. Malah mungkin kita juga ada mengungkapkan yang sedemikian rupa. Paling tidak pun, terdetik juga dalam hati kita tentang semua ini. Sangat mudah untuk kita ucapkan. Namun begitu sukar untuk kita menghadapinya. Sebenarnya susunan dialog di atas seperti satu turutan yang perlu kita teliti. 

Dialog ketiga menjadi ungkapan penyedap hati yang paling kerap disebut. Ada yang benar-benar memaksudkannya, tetapi ada yang sekadar mahu menunjukkan kononnya dia tidak memilih, dia boleh berhadapan dengan cabaran alam pekerjaan nanti. Padahal dia bukan begitu. Cabaran sebenar bukan semasa kita masih duduk menulis resume, atau berborak dengan kawan-kawan tetapi ketika kita mahu mencari kerja dan setelah mendapat tawaran mana-mana kerja yang bukan pilihan. 

Apabila memiliki ijazah (walaupun belum bergraduasi), kita pasti sahaja akan mencari kerja yang setaraf, gajinya besar, skop kerjanya dalam bidang yang kita pelajari. Mahukah kita memilih kerja yang gajinya sekadar gaji minimum di Malaysia? Mahukah kita memilih kerja yang tidak berada dalam bidang ijazah kita? Mahukah kita bekerja sebagai pekerja di pasar raya? Atau bekerja sebagai pekerja di restoran makanan segera? 

Fikir sahaja sendiri. Jawablah sendiri. Kalau benar tidak kisah dengan sebarang kerja, mengapa tidak mahu memilih kerja-kerja sebegitu? Mengapa sanggup membiarkan diri menganggur untuk tempoh yang lama sehingga mendapat kerja yang benar-benar dimahukan sahaja? Mengapa tidak cuba untuk bekerja walaupun dengan pendapatan yang paling minimum? 

Setidak-tidaknya, tiadalah kita membuang masa. Tidaklah kita menganggur sahaja. Pendapatan juga akan diperoleh untuk digunakan sehari-harian. Tetapi tidak bermakna kita perlu terus bekerja di tempat yang sama sampai bila-bila. Perlulah menjadi proaktif. Dalam masa bekerja, carilah peluang dan kesempatan untuk mendapatkan kerja lain yang lebih baik. Bukankah itu lebih elok? Maknanya, usaha mencari itu tidak terhenti sebaliknya berterusan sehingga berjaya. Jika sudah berusaha begini, tidak ada masalah untuk memilih kerja yang dimahukan. Asalkan berusaha sehabis daya. Lalu barulah boleh berpegang kepada ungkapan “tidak memilih kerja”. 

Kalau dari awal sudah menolak kerja-kerja orang bawahan, hanya mahu kerja dengan darjat pelajaran, maka kamu memang generasi graduan yang manja. Oh ya. Cermin ini bukan untuk orang lain sahaja, tetapi untuk diri saya juga. Doakan yang baik-baik hendaknya. Insya-Allah.


Isnin, 11 Jun 2018

PULANGLAH RINDU


Oleh: Wan Hanif Wan Hamid

AWAL pagi lagi Rosnah sudah keluar dari rumah, berbaju kurung Kedah, berkain batik dan berselendang putih yang dililitkan pada kepala. Sebuah bakul rotan coklat yang dibuatnya sendiri dijinjing pada tangan. Rosnah hendak ke pasar membeli bahan keperluan untuk memasak juadah Hari Raya Aidilfitri esok. Jarak pasar dari rumahnya tidaklah jauh, lebih kurang satu kilometer. Rosnah akan berjalan kaki sahaja ke sana. Lagipun, memang begitulah rutin harian Rosnah. Walaupun sudah menginjak usia emas, dia masih bertenaga untuk ke sana ke mari. Dia masih kuat untuk melakukan tugasan rencam di rumah secara sendiri.
Selalunya pada pagi hari raya, Rosnah hanya menyediakan ketupat dan rendang ayam kampung. Tidak perlu dimasak banyak-banyak, sekadar untuk dijamah dan menjamu tetamu yang datang. Lagipun Rosnah tinggal seorang sahaja. Tidak ada orang lain di rumahnya. Gemulah suaminya, Akob sudah lama bertemu Tuhan. Akob pergi tidak bertanda. Tidak juga meninggalkan sebarang pesan buatnya.
Sudah seharian dia menanti kepulangan Akob, namun tidak juga kelihatan. Pada malam pemergian Akob itulah dia melahirnya satu-satunya zuriat mereka, Ahmad. Kelahiran Ahmad hanya bertemankan gemulah bidan Timah yang memang terkenal di Kampung Pindang sebagai penyambut kelahiran bayi. Berhari-hari Akob tidak pulang, sehinggalah akhirnya Samad datang ke rumahnya memberitahu sampan kolek Akob ditemui di pinggiran pantai.
Nafasnya seolah-olah terhenti mendengar khabar itu, jantungnya bagi terjatuh dan berkecai di tanah, mulutnya terkunci rapat tidak bersuara, mengalir laju air mata syahdunya. Dia tidak menyangka, Akob akhirnya pergi tanpa sempat melihat dan mengazankan Ahmad. Tidak sempat meraikan kegembiraan mereka mendapat cahaya mata dan lebih memilukan, lautan tempat Akob mencari rezeki akhirnya menjadi pusaranya. Rosnah merenung tubuh kecil Ahmad yang nyenyak tidur, tidak banyak meragam. Mungkin dia faham, ayahnya sudah tiada. Mungkin juga Ahmad sudah bertemu ayahnya dalam setiap mimpi yang hadir ketika lenanya.
Jasad gemulah suaminya tidak pernah dijumpai sehingga kini. Bersemadi di dalam laut dalam bersama-sama ikan-ikan dan seluruh makhluk lautan. Mujurlah ada ihsan dan belas gemulah bidan Timah. Rosnah dijaga sebaiknya sepanjang tempoh berpantang. Gemulah bidan Timah tahu, emosi dan kesihatan Rosnah perlu dijaga serapi yang mungkin bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, meroyan misalnya.
Rosnah ke belakang rumah untuk memotong beberapa batang serai, mengambil beberapa helai daun kunyit dan mengupas kelapa tua yang gugur. Semuanya diambil sahaja daripada hasil tanamannya yang dijaga kemas dan elok. Dengan kelapa tua yang ada, dapatlah Rosnah memarut kelapa itu untuk mendapatkan santannya. Diambil juga kelapa parut yang sudah siap untuk dibuat kerisik. Bahan-bahan mentah sebegini semuanya diperoleh segar dan percuma sahaja. Berbudi kepada tanah, itulah anugerah yang dikembalikan, penjimatan.
“Mirul, kautolong Mak Nah sembelihkan ayam jantan dua ekor dalam reban tu. Aku nak masak rendang untuk esok,” Rosnah menyapa Amirul, anak jirannya yang cukup rapat dengan dirinya. Amirul juga pernah menjadi rakan satu sekolah dan rakan sepermainan dengan Ahmad semasa mereka masih kecil.
“Wah, bolehlah saya merasa rendang ayam kampung Mak Nah esok. Tapi kenapa  dua ekor? Banyak sangat,” Amirul kelihatan teruja. Memang Mak Nah sudah dianggap seperti saudaranya sendiri. Dia faham tanggungjawabnya sebagai jiran, dia membantu Mak Nah seadanya. Pada Amirul, tidak rugi walau sedikitpun tenaga dan masa yang dia korbankan untuk membantu Rosnah yang hidup sebatang kara.
“Kautolong sajalah. Jangan banyak tanya. Nanti kau juga boleh makan sepuas-puasnya,” Rosnah cuba berdalih. Senyuman dilemparkan kepada Amirul setelah anak jirannya itu sanggup membantu menyembelih ayam-ayam kampungnya.
Rosnah bersimpuh di atas pangkin di halaman rumahnya. Tangannya tangkas menganyam daun kelapa muda untuk dibuat sarung ketupat sebelum dimasukkan beras dan direbus sehingga masak setelah berbuka malam nanti. Sewaktu muda dahulu, ramai penduduk kampung yang suka menempah ketupat daripada Rosnah. Kata mereka, ketupat Rosnah yang paling sedap. Kalau dahulu, Ahmad akan selalu membantu dirinya menyiapkan ketupat. Ahmadlah yang akan mencari daun kelapa muda dan mengutip kayu-kayu api untuk merebus ketupat. Pada tengah malam hari raya pula, Ahmad jugalah yang akan ke hulu ke hilir menghantar tempahan ketupat kepada penduduk kampung. Rosnah cukup senang dengan sikap Ahmad yang ringan tulang itu.
Takbir raya jelas kedengaran dari surau di hujung kampung. Bunyi mercun meletup-letup menjadikan kawasan kampung itu riuh rendah sama seperti dahulu. Setiap rumah pasti dipasang pelita, lampu lip-lap dan perhiasan-perhiasan yang dapat menambah lagi kemeriahan hari raya. Kalau sekarang, anak-anak kampung akan pulang dengan kereta mewah, membawa anak-anak dan isteri untuk berhari raya di kampung.
Rosnah bersandar di tepi jendela. Daun tingkap sengaja dibiarkan terbuka membenarkan angin malam mengelus lembut wajahnya. Dia memerhati telatah dan gelagat anak cucu jirannya bermain bunga api, bergelak ketawa dan berkejar-kejaran penuh kegembiraan. Hatinya sayu, mengenangkan Ahmad yang sudah bertahun-tahun tidak pulang ke kampung. Bertahun-tahun juga dia menanti dengan penuh harapan agar anak tunggalnya itu kembali bertemu dirinya. Dia begitu rindu akan Ahmad, tetapi hanya dikulum rindu itu di dalam kalbu, diterjemahkan melalui air mata yang jatuh mengalir selalu.
“Entah apalah yang kaurajukkan Ahmad. Mak tak marah. Mak dah maafkan kau. Baliklah Ahmad, baliklah…” Rosnah berbisik sendiri, teresak-esak, sebak dadanya. Sejak kali terakhir Ahmad keluar dari rumah, sejak itulah dia tidak pernah pulang lagi. Meninggalkan Rosnah sendirian tanpa khabar dan berita.
“Mak dah buatkan rendang ayam kampung yang kausuka. Kaumakan la banyak-banyak. Kalau tak cukup, mak suruh Amirul sembelihkan lagi ayam tu, mak masak untuk kau,” air matanya kian laju. Butir katanya juga sudah tidak jelas lagi, bercampur-baur dalam tangis dan kesedihan.
“Mak dah lama izinkan kauberkelana ke Kuala Lumpur sana. Mak tak pernah halang, pergilah cari rezeki yang halal,” Rosnah masih bermonolog. Hanya itu yang dapat dia ungkapkan dalam penantian yang tidak berkesudahan itu. Akhirnya malam itu, Rosnah terlena dalam kerinduan yang teramat dalam. Sekian lama dia memendam rasa itu, sekian lama dia menderita jiwa dan raganya.
Tangga rumah baru sahaja dipijak sebaik pulang daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri. Dia cukup bersyukur dengan rezeki berjaya menyempurnakan Ramadan sekali lagi dan merayakan hari kemenangan pada 1 Syawal. Amirul menghampiri Rosnah, bersalaman dan bermaaf-maafan.
“Jom Mak Nah, saya dengan ibu nak ziarah tanah perkuburan,” ajak Amirul bersahaja.
“Kubur siapa?” Rosnah bertanya hairan. Amirul mengerutkan dahi.
“Kubur arwah Ahmad, arwah atuk dan nenek saya, arwah ayah saya. Jom, saya tunggu dalam kereta,” Amirul terus berjalan menuju kereta, meninggalkan Rosnah terpinga-pinga. Rosnah terkelu, diam seribu bahasa. Dia seperti baru terkejut daripada lena.
“Astagfirullahal’azim” panjang Rosnah beristighfar.

CERPEN INI TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA,
SABTU 09 JUN 2018



Khamis, 31 Mei 2018

MENYINGKAP CABARAN DAN HARAPAN GADIS DI JENDELA JINGGA

Oleh: Wan Hanif Wan Hamid



JUDUL BUKU:
KUMPULAN CERPEN REMAJA : GADIS DAN CERMIN MASA DEPAN

PENGARANG:
MOHD HELMI AHMAD

NO. ISBN:
 978 - 967 - 460 - 767 - 8

HARGA:
RM 25 (SM) / RM30 (SS)


1.0       PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “remaja” didefinisikan sebagai mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan muda. Setiap orang akan melalui dan menghadapi fasa menjadi remaja yang cukup mencabar sebelum mencapai usia dewasa. Dalam Islam, “remaja” itu lebih menjurus kepada pendefinisian akil baligh iaitu cukup umur – peralihan daripada alam kanak-kanak kepada alam remaja. Kanak-kanak yang sudah akil baligh bertanggungjawab untuk menanggung dosa dan pahala sendiri, boleh membezakan antara yang baik dengan yang buruk serta mampu berfikiran secara matang dan rasional dalam membuat sesuatu keputusan. Selalunya tempoh akil baligh bagi seorang kanak-kanak perempuan adalah dari usia 10 hingga 12 tahun manakala bagi kanak-kanak lelaki pula, tempoh mencapai akil baligh adalah dari usia 12 hingga 15 tahun.

Dari sudut perundangan berdasarkan Akta Umur Dewasa 1971 (Age of Majority 1971), ukuran umur dewasa telah ditetapkan pada usia 18 tahun. Pada usia ini seseorang individu itu akan tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta boleh dan layak dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut akta dan peruntukan yang telah ditetapkan di Malaysia. Hal ini bermaksud bahawa sebaik sahaja seseorang kanak-kanak lelaki mahupun perempuan itu mencapai umur akil baligh, mereka akan dikategorikan sebagai remaja sehinggalah mereka mencapai umur dewasa iaitu 18 tahun.

Semasa fasa awal keremajaan, banyak perubahan ketara yang akan berlaku sama ada pada fizikal mahupun mental kanak-kanak tersebut. Sebagai contoh pertumbuhan bulu-bulu pada tubuh badan dan perubahan saiz anggota badan akibat pertambahan hormon-hormon kedewasaan di dalam tubuh. Pendedahan yang terperinci berkenaan perkara ini oleh para penjaga khususnya ibu bapa amatlah penting untuk memastikan kanak-kanak melalui alam remaja yang lebih baik dan tidak terdedah dengan persekitaran yang boleh mengganggu emosi dan fikiran mereka. Perkongsian maklumat dan perhatian ibu bapa juga dapat memberikan mereka pengetahuan sebagai persediaan menjadi dewasa.

Oleh itu, menjadi remaja bukan suatu pilihan tetapi suatu perjalanan yang perlu ditempuh dengan sebaiknya. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah perumpamaan yang selalu didengari dan digunakan oleh masyarakat kita pada hari ini dalam membentuk generasi yang lebih berwawasan dan bertatasusila. Maka, remaja menjadi aset yang umpama mutiara berharga kepada negara dalam mencapai kesejahteraan kehidupan masa depan. Kata-kata daripada Soekarno ini memperlihatkan peri pentingnya anak muda dalam mendepani sebuah perjuangan kerana semangat dan kekuatan jiwa anak muda amatlah murni dan luar biasa.

“Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia.”
“Berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia.”


2.0       GADIS DI JENDELA JINGGA

“Don’t judge book by its cover.”
“Jangan menilai buku daripada kulitnya.”

Peribahasa Inggeris ini begitu popular apabila memperkatakan tentang penilaian awal (first impression) terhadap sesuatu perkara atau lebih tepat prasangka – membuat penilaian tanpa menyelidiki keseluruhannya terlebih dahulu. Tidak dinafikan kebenaran tentang peribahasa ini apabila selalunya penilaian awal yang dilakukan adalah silap dan tidak tepat. Sama sahaja seperti buku. Kulitnya sahaja belum boleh menggambarkan keseluruhan isi kandungannya. Maka, wajarlah peribahasa itu sendiri meletakkan buku dan kulit sebagai objeknya.

Namun, masih relevankah peribahasa ini? Ya, masih relevan tetapi, perlulah dilakukan penyesuaian kepada keadaan dan persekitaran moden yang serba canggih ini. Sudah menjadi fitrah manusia untuk menyukai sesuatu yang cantik, menarik, jelita, menawan dan apa-apa sahaja yang enak dipandang. Keserlahan pada sesuatu perkara itu mampu menambah daya tarikan dan perhatian orang ramai. Hal ini penting, lebih-lebih lagi dalam bidang perniagaan dan jualan yang memerlukan pemasaran produk secara efisen supaya dibeli oleh pelanggan. Oleh sebab itu, kulit buku sudah menjadi antara keutamaan yang perlu dititikberatkan di samping isi kandungan yang mantap dan berkesan.

Gadis dan Cermin Masa Depan (GDCMD) telah diangkat menjuduli buku kumpulan cerpen ini. Buku perseorangan keempat daripada pengarang prolifik yang kian melonjak namanya, Mohd Helmi Ahmad, seorang guru kelahiran jati negeri Kedah menjadi buah tangan terbaharu kepada penggiat sastera yang sentiasa mengikuti perkembangan beliau. Sebagai rujukan, buku pertama beliau, Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa telah diiktiraf sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (HSPM 2014) manakala buku kedua beliau, Kumpulan Puisi Remaja : Madu di Tangan pula diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 (HSPM 2015/2016). Melihatkan kepada ketelitian pengarang dalam menyusun dan menerbitkan buku-bukunya serta kekuatan mesej yang terkandung dalam setiap karyanya, tidak mustahil jika buku terbaharunya juga bakal diangkat menerima anugerah sastera yang berprestij di Malaysia pada masa akan datang. Selain daripada faktor nama penulis yang terkenal, kualiti dan keunggulan karya itu sendiri adalah perlu dalam menjamin keberhasilan karya bermutu yang akan menerangi landskap sastera di tanah air kita.

Selain itu, judul buku kumpulan cerpen ini cukup menarik dan menggambarkan gadis itu sebagai seorang remaja. Pastinya ada keistimewaan dalam cerpen GDCMD sehingga dipilih sebagai judul buku oleh pengarang. Ilustrasi gadis sebagai penyambut tetamu di jendela mula buku ini amatlah bertepatan dengan konsep buku kumpulan cerpen remaja. Gadis, wanita, perempuan, puspa dan srikandi, semuanya membawa pengertian jantina yang serupa. Namun, yang paling tepat dan bersesuaian dengan kriteria remaja ialah gadis. Sungguhpun begitu, judul buku ini tidak boleh menjadi kayu pengukur kepada keseluruhan cerpen yang ada. Hal ini demikian kerana terdapat 15 buah cerpen dalam GDCMD yang tentunya telah diolah dan digarap daripada pelbagai perspektif dan kisah oleh pengarang. Kesemua cerpen yang dimuatkan dalam GDCMD merupakan cerpen eceran yang pernah disiarkan dalam media arus perdana seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa, dan sebagainya bermula dari tahun 2011 hingga 2015.

Campuran warna asas antara kuning dengan merah akan menghasilkan warna jingga sebagai warna sekunder. Warna inilah yang digunakan sebagai latar kulit buku GDCMD dengan dua tona warna iaitu jingga gelap dan jingga terang yang menyerlah. Warnanya pula tidak sekadar sekata, tetapi seperti dihiasi renjisan jingga gelap yang mempunyai corak seakan-akan tompokan kecil yang menghasilkan kesan menarik pada kulit buku. Tona warna yang ada telah menyeimbangkan latar kulit buku GDCMD daripada terlihat bosan dan sekata. Secara konseptualnya, jingga itu merupakan suatu warna garang yang boleh diertikan sebagai semangat dan kesungguhan pada seseorang. Warnanya kelihatan berani dan menyala walaupun dilihat dari jauh. Begitulah jiwa dan semangat pembaca apabila melihat kulit buku ini, jiwanya membara dan membuak-buak untuk mengetahui kisah di sebalik kulit jingga berkenaan. Walau bagaimanapun, pembahagian antara jingga gelap dengan jingga terang yang dipisahkan dengan garisan lurus seperti menjadi satu gangguan. Mungkin sekiranya kedua-dua tona warna itu di gabungkan tanpa pembahagian garisan atau hanya salah satu tona warna dikekalkan dengan rekaan corak abstrak, GDCMD akan kelihatan lebih menarik.

Beralih pula kepada ilustrasi GDCMD yang memaparkan bayangan hitam seorang gadis berpayung warna ungu gelap dan telah menjadikannya cukup kontra kepada latar kulit jingganya. Jika diteliti, terlihat tudung atau selendang dengan corak bunga-bunga kecil pada ilustrasi tersebut. Bayangan gadis yang seolah-olah memakai baju kurung juga sudah cukup menarik perhatian. Jelas terpancar kesopanan dan kepatuhan gadis berkenaan kepada agama apabila pakaian yang dikenakan menepati syarak dan tuntutan cara berpakaian dalam Islam. Gadis yang digambarkan melalui ilustrasi itu boleh dianggap sebagai seorang yang anggun, baik dari segi penampilan mahupun sahsiahnya. Walau bagaimanapun, pemilihan warna ungu gelap pada payung tidak banyak membantu daya tarikan kulit buku GDCMD. Sebaliknya apabila dilihat dari jauh, warnanya kelihatan hitam sahaja dan ilustrasi gadis berkenaan sukar dikenal pasti. Mungkin dengan pemilihan warna kontra yang lebih terang seperti biru atau hijau dapat menyerlahkan lagi ilustrasi gadis berkenaan apabila dilihat. Hal ini amat perlu diberikan perhatian kerana pembaca akan lebih tertarik dengan ilustrasi yang cantik dan jelas serta berkaitan dengan judul buku yang tertinta.

Kedudukan judul buku pada bahagian atas, ilustrasi di tengah-tengah dan nama pengarang di bahagian bawah merupakan reka letak yang klise dan terlalu biasa. Namun, tidak bagi GDCMD. Reka letak dan susun atur judul buku, nama pengarang serta ilustrasi dilihat unik dan kreatif. Frasa “Kumpulan Cerpen Remaja” dengan tulisan hitam yang lebih kecil dapat difahami bahawa itu bukanlah judul buku, sebaliknya jenis buku tersebut. Perkataan “Gadis” yang ditekankan dengan saiz besar serta kedudukan yang sedikit senget berjaya menonjolkan perkataan tersebut. Pemilihan warna putih dengan sedikit bayangan di belakangnya pada keseluruhan judul “Gadis dan Cermin Masa Depan” pula dilihat bersesuaian dan membantu dalam mempamerkan judul buku kepada umum. Nama pengarang pada bahagian bawah sebelah kiri buku juga dapat dilihat dengan jelas. Ilustrasi gadis yang menghiasi tepi judul buku pula menjadi pemangkin kepada daya tarikan sedia ada yang akan membantu pembaca mengaitkan judul dan ilustrasi dengan cepat. Perkara ini tentunya dapat memikat hati para pembaca untuk membeli buku GDCMD tanpa berfikir panjang.

Berkenaan saiz buku GDCMD pula, sudah memadai saiz kecil biasa yang mudah untuk dibawa ke mana-mana dan senang pula apabila hendak dipegang semasa dibaca. Saiz tulisan (topografi) yang sederhana besar serta jenis tulisan (font) yang jelas amatlah baik bagi membantu pembacaan yang lebih lancar dan tidak mengganggu fokus pembaca semasa membaca. Jika tulisan terlalu kecil, pembaca akan terganggu kerana sukar untuk dibaca sehingga boleh membantutkan proses pembacaan. Lama-kelamaan minat dan keinginan untuk membaca buku tersebut juga boleh terhakis dan menjadi kian pudar. Jenis kertas ringan yang digunakan juga adalah baik, namun tidak dinafikan dengan kertas yang kurang berkualiti, buku akan lebih cepat kelihatan usang dan buruk, kertasnya juga akan kekuningan dan bertompok-tompok setelah suatu tempoh yang lama lebih-lebih lagi apabila tidak disimpan secara elok (tidak bersampul / rak terbuka yang mudah berhabuk).

Penyediaan prakata adalah satu kemestian. Prakata yang baik bukanlah dengan sekadar mencoretkan kata penghargaan semata-mata, tetapi dimasukkan mesej yang menjadi medium komunikasi antara pengarang dengan pembaca. Dalam GDCMD, prakata yang disediakan oleh pengarang dapat memberikan gambaran awal kepada pembaca sebelum memulakan pembacaan. Dapatlah difahami tujuan, kehendak dan harapan sebenar pengarang apabila terhasil dan terbitnya sesebuah buku yang beliau karangi. Lebih menyeronokkan sekiranya dimasukkan juga proses kreatif yang dikongsikan oleh pengarang dalam prakata yang disediakan. Berkenaan biodata pengarang pula, perkara ini menjadi satu bonus yang harus dibanggakan. Usaha penerbit dalam menyediakan ruang berkenaan secara tidak langsung dapat memperkenalkan pengarang dengan lebih rapat kepada pembaca serta mempromosikan nama pengarang melalui pencapaian dan penglibatannya dalam bidang-bidang yang diceburi.

Selain daripada kulit buku hadapan, kulit buku belakang juga perlu dimanfaatkan sebaiknya. Meletakkan rangsang sari (blurb) merupakan satu bentuk promosi awal kepada pembaca. Hal ini demikian kerana dalam ruangan rangsang sarilah menjadi tempat untuk mengangkat keistimewaan buku yang dijual dalam susunan kata-kata yang paling ringkas, tepat dan berkesan malah lebih baik jika rangsang sari berkenaan merangkumkan tema buku secara keseluruhan. Rangsang sari GDCMD dilihat sebagai rumusan kepada keseluruhan buku dan berupaya menarik minat pembaca yang membacanya. Ruangan ini memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya untuk mempromosikan GDCMD kepada para pembaca.

Harga GDCMD sebanyak RM25 untuk Semenanjung Malaysia dan RM30 untuk Sabah dan Sarawak bagi sebuah buku dengan ketebalan 158 muka surat dirasakan bukanlah harga mampu milik terutama sekali apabila sasaran pembacanya ialah golongan remaja. Walaupun harga tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk membeli dan membaca buku yang bagus, namun ada kalanya kuasa beli pembaca juga perlu diambil kira demi memastikan buku yang diterbitkan terjual dan mampu menembusi pasaran secara meluas. Tentunya pihak penerbit mempunyai garis panduan tersendiri dalam menentukan harga sesebuah buku yang diterbitkan. Namun begitu, sekiranya harga yang ditetapkan ialah RM20 untuk Semenanjung Malaysia dan RM25 untuk Sabah dan Sarawak tentunya berupaya menarik lebih banyak pembeli dan pembaca khususnya golongan remaja.


3.0       REMAJA SEBAGAI ENTITI PEMBUDAYAAN ILMU

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun ini sentiasa basah pada bibir sesiapa sahaja yang melalui proses pendidikan di Malaysia. Bahkan dalam lagu kanak-kanak berjudul “Rasa Sayang” yang selalu dinyanyikan juga turut diselang-selikan antara lirik lagu dengan pantun-pantun Melayu yang penuh dengan hikmah dan pedoman. Pantun buah cempedak ini menjadi satu tanda, menunjukkan kerendahan hati seseorang yang jujur dalam menimba ilmu. Keinginan untuk mempelajari sesuatu yang baharu sentiasa akan tumbuh dalam diri setiap manusia. Walau bagaimanapun, tidak dapat pula dielakkan daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Maka asbab itulah perlunya menjadi orang yang berilmu dan tahu beradab. Carilah guru yang akan membantu mengajar erti kehidupan, bukannya menjadi kera sumbang yang angkuh dengan ilmu dan kehebatan diri. Bak kata peribahasa, malu bertanya sesat jalan. Ilmu yang ada hanyalah setitis sahaja berbanding ilmu Tuhan yang selautan.

Dalam usia meniti remaja, pelbagai perkara baharu ingin dicuba dan diteroka. Ada kalanya baik, namun ada juga yang menyalahi lumrah kehidupan. Oleh sebab itu, GDCMD ini sewajarnya ditujukan kepada golongan remaja untuk dijadikan sebagai panduan. Banyak perkara baharu yang perlu diamati dan boleh dipelajari. Remaja akan sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu dan mereka mahukan kebebasan dalam mendalami ilmu. Remaja tidak suka dikongkong, juga tidak gemar terikat dengan sistem yang susah dan merumitkan. Kecenderungan remaja dalam menekuni ilmu baharu menjadikan mereka sebagai satu entiti yang boleh menyumbangkan kepada pembudayaan ilmu kerana ilmu itu sendiri luas, malah tidak pernah habis untuk dipelajari.

Sikap kecintaan remaja kepada ilmu boleh dilihat dalam cerpen Pinang nan Sebatang. Adin seorang remaja berusia 16 tahun yang sedar akan kepentingan menuntut ilmu telah menggores hati neneknya, Nek Pah apabila dia mahu menebang pokok pinang neneknya bagi menggantikan titi lama yang telah roboh. Adin tetap menaruh harapan dan berusaha untuk membina titi baharu supaya dapat menghubungkan semula antara dua kawasan yang menjadi laluan utama anak-anak di kampung itu untuk ke sekolah. Nilai bertolak ansur demi kepentingan ilmu sangat jelas ditonjolkan oleh pengarang apabila Nek Pah akhirnya membenarkan Adin untuk menebang pokok pinangnya yang satu. Dalam cerpen ini, semangat dan jati diri Adin terhadap pegangannya kepada kepentingan ilmu telah membudayakan ilmu secara tidak langsung dalam kalangan anak-anak kampung di situ dan menyedarkan pembaca bahawa tiada sebarang alasan untuk tidak pergi menuntut ilmu.

Melalui cerpen Samad Menulis Surat Cinta pula memaparkan watak Samad yang berhasrat mahu menulis cerpen. Pengarang dengan cukup bertanggungjawab turut memperkenalkan beberapa nama penulis mapan tempatan seperti Faisal Tehrani, Nisah Haron, Salina Ibrahim dan A. Samad Said. Secara tidak langsung, pengarang mengajar para pembaca untuk mengenali sebahagian penulis tempatan yang ada di negara kita tanpa perlu mengagung-agungkan penulis dari luar negara. Oleh sebab keinginan Samad yang membuak-buak mahu menulis, akhirnya usaha Samad membuahkan hasil apabila cerpen yang dihantarnya berjaya menembusi majalah Dewan Siswa dan tersiar buat kali pertama. Disebabkan kejayaannya itu, guru Samad telah menjadikan dirinya sebagai contoh teladan kepada rakan-rakannya sekali gus mengangkat dirinya sebagai satu entiti kepada pembudayaan ilmu dalam bidang penulisan di sekolahnya.

Cerpen Melakar Cinta di Dada Watan tampak lebih patriotik melalui judulnya. Walau bagaimanapun, plot penceritaan dan isu yang dibawa sebenarnya lebih berat apabila polemik berkaitan novel Interlok karya Abdullah Hussain dijadikan tema utama yang diketengahkan oleh pengarang. Novel tersebut dikatakan mempunyai unsur perkauman yang melampau dan telah menyebabkan berlaku banyak pertikaian. Pembaziran juga turut berlaku terutama sekali dalam aspek pencetakan dan masa para pelajar yang terlibat bagi mengkaji novel tersebut sebagai Komponen Sastera (KOMSAS) di sekolah khususnya pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2011 dan 2012 di zon tengah iaitu di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Dalam cerpen ini, Hasrul telah menjadi entiti yang membudayakan ilmu apabila dia cuba mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berdasarkan perkongsian yang dilakukan oleh pensyarahnya. Walaupun Hasrul hanya menyiapkan sebuah tugasan, namun semangat dan kesungguhannya dalam menyediakan tugasan berkualiti patut dicontohi oleh golongan remaja pada masa kini. Ketelitiannya dalam mendengar penjelasan daripada pensyarahnya turut memaparkan kepekaan Hasrul terhadap perkara yang dibincangkan kerana padanya, setiap maklumat yang dikongsikan itu sangat bermakna dan berharga.


4.0       REMAJA PEWARIS KEPEMIMPIN MASA HADAPAN

“Waspada
Jangan mudah terpedaya
Oleh hasutan dunia
Yang bisa merosakkan hidupmu”
(Petikan lirik lagu “Remaja” nyanyian UNIC)

Remaja akan selalu memberontak dan penuh dengan ketidaktentuan emosi dalam menjalani kehidupan seharian. Melalui petikan lirik lagu di atas, sebenarnya remaja ini perlu sentiasa diingatkan, dinasihati dan dipantau perlakuan mereka agar tidak tergelincir ke lembah yang memusnahkan. Remaja merupakan generasi yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan masa hadapan. Remajalah yang akan memegang tampuk kepimpinan tanah air suatu hari nanti setelah perginya tokoh-tokoh ternama kelak. Jika remaja hari ini tidak dibentuk dengan sempurna, bagaimanalah mereka hendak mentadbir negara apabila mereka dewasa nanti.

Cerpen Usain Bolt dari Kampung Kami cuba mengetengahkan remaja yang sanggup memilih jalan hitam demi kepentingan dirinya untuk bergelar juara. Yusop yang bergelora jiwanya akibat sering diejek dek perbezaan fizikalnya menjadi tidak tentu arah. Dia mahu membuktikan bahawa dia juga mampu berjaya sehingga sanggup meminum air ketum sebelum meneruskan acara olahraga yang disertainya. Akhirnya dia bergelar juara, namun tidak semudah itu. Jiwanya didesak dengan dongkolan rasa bersalah atas ketidakjujuran itu. Mujur sahaja tindakannya telah dipatahkan lebih awal oleh gurunya yang begitu peduli terhadap prestasi Yusop. Yusof ialah watak remaja yang kerap kali tersilap langkah. Hanya dengan melakukan kesilapan, remaja mendapatkan pedoman, menginsafi diri atas kekhilafan dan mendalami pengajaran yang dihadirkan kepada diri mereka dalam setiap pengalaman. Seharusnya remaja ini perlu diperkukuhkan jiwanya dengan ketelusan dan integriti kerana menjadi pemimpin bukan sekadar untuk bermegah dengan nama sebagai ketua, tetapi perlunya kefahaman dan kebijaksanaan dalam menguruskan serta mengendalikan sesuatu perkara.

Azizi dalam cerpen Kekabu Mimpi pula sentiasa mengharapkan keseronokan setiap kali ayahnya mendapat pulangan daripada hasil jualan bantal kekabu. Permintaan Azizi yang mahukan itu dan ini telah membuatkan ayahnya sentiasa berusaha keras bagi memenuhi hasrat anaknya itu. Suatu hari permintaan dan tempahan bantal kekabunya menjadi semakin banyak sehingga dia tidak perlu menjualnya secara sendiri lagi, sebaliknya hanya dijual kepada Tauke Leman sebagai orang perantara. Namun, pasti ada sahaja orang yang cuba mengambil kesempatan terhadap orang lain. Sungguhpun begitu, ayah Azizi seorang yang kuat pegangannya. Dia sanggup menghampakan hasrat Azizi yang mahu melancong dan lebih rela kerugian apabila dia membawa bantal-bantalnya ke balai polis sebagai bahan bukti kepada kerja jahat Tauke Leman. Daripada cerpen ini, Azizi diajarkan supaya bersikap jujur, tetap dengan pendirian dan tidak memandang harta sehingga sanggup menggadaikan maruah diri dan keluarganya. Jika sedari awal lagi nilai-nilai sebegini sudah dipupuk dalam diri remaja, pasti suatu hari nanti mereka akan menjadi dewasa dalam integriti dan kehidupan yang bermoral.

Keresahan jiwa remaja yang terkesan dek kesibukan ibunya setelah berjaya dapat dilihat dalam diri Gadis melalui cerpen Gadis dan Cermin Masa Depan. Gadis ialah watak yang penuh dengan harapan, watak yang terpaksa akur kepada perubahan kehidupan dan watak yang turut tewas dengan kekecewaan. Dia cekal dalam menutupi segala kekesalan terhadap ibunya, malah tidak pula dia bersikap dingin atau menderhakai ibunya. Pergelutan jiwa yang hampir serupa turut boleh dilihat dalam cerpen Sepucuk Rindu di Aidilfitri apabila Shamsul tidak menerima ibu tirinya dan sentiasa menghamburkan rasa benci dan dendam seolah-olah wanita itu memang sengaja merancang mahu menggantikan gemulah ibu kandungnya. Shamsul ialah watak yang lemah dengan ujian kehidupan sehingga dikuasai oleh pemikiran negatif yang tersemat dalam jiwanya walhal ibu tirinya itu sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik demi mengambil hati Shamsul, anak tirinya.

Hafis dalam cerpen Lelaki di Atas Kuburan pula merupakan watak remaja yang memberontak dan tidak berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan. Akibat kelemahan jati dirinya dalam mendepani masyarakat yang asyik mencemuh dirinya kerana penyakit HIV yang dihidapi oleh ahli keluarganya, dia memilih untuk membawa diri dengan melarikan diri jauh dari tempat tinggalnya sedangkan dia tidak sedar bahawa dunia ini penuh dengan pancaroba. Thomas juga hampir serupa nasibnya dalam cerpen Pulang Tanggang Memuliakan Cinta. Thomas telah dijaga oleh ibu angkatnya setelah dibuang semasa kecil. Kehadiran ibu kandungnya menemui dirinya setelah dia mencapai usia remaja seperti satu peluang untuk dia membalas perbuatan ibu kandungnya itu. Dia tidak dapat menerima ibu kandungnya kerana telah dikuasai oleh rasa marah dan dendam. Sebenarnya, pergelutan jiwa seperti empat cerpen ini akan mengajar remaja untuk menjadi lebih matang, bersedia dengan kemungkinan masalah yang bakal melanda dan bertindak secara rasional dan waras tanpa dikawal oleh emosi. Segala pengalaman yang diperoleh akan menjadikan remaja lebih berani, lebih kental jiwanya dan lebih memahami liku-liku kehidupan untuk menjadi pemimpin yang akan disegani pada suatu masa nanti. Sebenarnya, jiwa remaja ini lembut dan penuh dengan kebaikan. Namun, mereka memerlukan kasih sayang, perhatian dan keadaan persekitaran yang sihat untuk mereka terus membesar menjadi manusia yang besar jiwanya.


5.0       REMAJA CERMINAN BAHASA, ADAT DAN BUDAYA

Cerpen Dengarkan Bahasa Gadis Tionghua mendatangkan watak persahabatan antara Jefri dengan Kam Jie Yan melalui persilangan bahasa, adat dan budaya. Jefri ialah cerminan remaja yang dahagakan ilmu apabila dia bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Mandarin, setia kepada bahasa Melayu dan berkemahiran juga dalam bahasa Inggeris. Manakala Kam Jie Yan pula merupakan watak yang gemarkan cabaran. Dia mahu mempelajari cara mendeklamasikan sajak untuk dipersembahkan semasa majlis perpisahan guru mereka. Persilangan bahasa, adat dan budaya ini bukan diwujudkan untuk menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia semata-mata, tetapi sebagai teguran halus pengarang kepada pembaca bahawa bahasa itu penting walau berbeza-beza lenggok dan bunyinya. Lebih menarik, cerpen ini merupakan cerpen yang dihasilkan oleh pengarang dengan menjadikan puisi Pemuda dan Gadis Tionghoa karya Usman Awang sebagai tulang belakang yang menjadi tonggak perjalanan cerita yang unik. Hanya dengan menggunakan watak remaja, bahasa, adat dan budaya antara dua kaum boleh dikongsi dan diraikan bersama-sama.

Persilangan adat dan budaya yang seterusnya dalam cerpen Kolam boleh dikaitkan dengan adat dan budaya Islam dengan Hindu. Pelita dan cahaya menjadi objek yang sama, tetapi digunakan dalam dua agama yang berbeza bagi tujuan dan makna tertentu. Pengarang meletakkan Kolam sebagai elemen utama yang menjadi penyebab kepada penantian Auntie Renuga terhadap anaknya, Rama yang telah dipenjarakan tanpa dapat dibela kerana faktor ketiadaan duit.  Salwa pula ialah watak remaja yang menjadi penghubung dalam menjalinkan ukhwah dua kaum yang berbeza agama dan amalannya. Turut digambarkan dalam cerpen ini ialah keharmonian masyarakat majmuk yang sudah lazim dengan perkongsian perayaan di Malaysia seperti “Kongsi Raya” dan “Deepa Raya”.

Kudrat Sanai pula menampilkan watak Aku dan Tat Seng yang cuba menjernihkan kembali persahabatan ayah mereka yang berselisih faham suatu ketika dahulu akibat masing-masing mempertahankan ego dan tidak mahu mengalah. Perbezaan agama dan bangsa tidak pernah menghalang Aku dan Tat Seng bersahabat, malah menjadikan mereka lebih matang dalam membantu menyatukan ayah mereka menjadi sahabat semula. Watak-watak yang dicipta oleh pengarang ini cukup bijak sifatnya. Setiap seorang mewakili kaum tersendiri. Maka merekalah wakil dan duta kepada kaum mereka. Walaupun pengarang mewujudkan perang dingin antara ayah-ayah mereka, tetapi dipulihkan semula dengan keakraban anak-anak mereka yang berusaha mencari penyelesaian terbaik kepada konflik yang berlaku. Maka benarlah, remaja itu cerminan bahasa, adat dan budaya yang begitu tinggi nilainya.


6.0       REMAJA DAN PILIHAN

Menjadi remaja juga sentiasa perlu membuat pilihan secara tepat. Tersilap membuat pilihan, meranalah hidup sampai bila-bila. Cerpen Sayur Keladi di Atas Bukit memberikan pilihan kepada Mulya sama ada mahu meneruskan hasrat ibunya memberikan sayur keladi kepada Tuan Muslim atau mahu berterus terang sahaja kepada ibunya bahawa pemberiannya itu tidak dihargai, malah dihebahkan pula di media sosial dengan penghinaan yang menyakitkan. Mulya juga memilih untuk berdepan dengan Tuan Muslim dan meluahkan segala-galanya yang terbuku di hatinya tanpa berselindung lagi. Sebenarnya, pengarang cuba untuk mengangkat isu penggunaan media sosial dalam kalangan remaja sama ada digunakan untuk kebaikan ataupun sebaliknya. Dalam cerpen ini, penyalahgunaan media sosial telah melukakan hati Mulya sehingga menyebabkan dia berprasangka terhadap Tuan Muslim. Pilihan-pilihan yang dibuat oleh Mulya sebenarnya menggambarkan bahawa dirinya mempunyai pendirian yang teguh. Dia tidak teragak-agak dalam membuat keputusan dan sentiasa yakin dengan apa-apa yang dilakukannya.

Begitu juga dengan cerpen Pekasam Siti Rubaiyah Terbang ke London. Watak Zarif dan Munirah ialah dua remaja yang saling berselisih faham. Namun Zarif telah cuba merendahkan ego demi kepentingan tugasan tentang ikan pekasam yang perlu disiapkan olehnya. Zarif boleh memilih sama ada dia mahu terus dengan egonya atau dia terus berusaha untuk mendapatkan maklumat tanpa mengambil mudah tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya. Pilihan-pilihan yang ada membuatkan Zarif terpaksa memberanikan diri untuk membuat keputusan dengan tepat dan bersedia dengan apa jua kemungkinan yang berlaku kelak. Dek kerana kesungguhannya, dia akhirnya berjaya mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih untuk dimuatkan dalam tugasannya nanti.

Akhir sekali, cerpen Cikgu menampilkan watak Aziz dan bapanya yang tidak sehaluan walaupun pekerjaan mereka adalah bawah bidang yang serupa. Pengarang tidak pernah terlepas daripada menjadikan profesyen kerjayanya sebagai guru menjadi latar dan perencah untuk cerpen-cerpen beliau. Hanya cerpen ini yang tidak menghadirkan watak remaja sebagai penggerak utama jalan cerita. Aziz, mungkin sudah dewasa kerana dia sudah bekerjaya dan menjadi seorang guru. Namun, keangkuhan memiliki pendidikan dan kelayakan menjadi seorang guru telah menyebabkan dia memandang rendah ayahnya yang hanya sekadar menjadi guru mengaji. Aziz ini bukanlah contoh remaja masa kini, tetapi dia ialah gambaran anak muda yang sudah terhakis luhur budinya, kian pudar adab sopannya malah semakin luntur budi bahasanya. Menjadi anak yang baik juga merupakan satu pilihan. Tidak berguna jika berjaya tetapi tiada restu dan keredaan.


7.0       KEKUATAN GDCMD

GDCMD ialah sebuah kumpulan cerpen yang jauh lebih matang dengan isu dan persoalan yang lebih berat untuk dihadami oleh para pembaca. Perkara ini turut dinyatakan sendiri oleh pengarang dalam prakata GDCMD.

“Gadis dan Cermin Masa Depan yang mengemukakan 15 cerpen remaja yang saya sifatkan lebih matang garapannya berbanding cerpen yang termuat dalam Tetamu Istimewa.”

Maka wajarlah sekiranya GDCMD dibandingbezakan dengan Tetamu Istimewa (TI) memandangkan kedua-duanya ialah buku kumpulan cerpen remaja yang dihasilkan oleh pengarang yang sama. Kekuatan GDCMD terletak pada kepelbagaian isu dalaman remaja yang cuba diangkat oleh pengarang untuk tatapan para pembaca. Sentuhan-sentuhan jiwa remaja yang begitu dekat dengan pembaca telah menjadikan kisah dan penceritaannya mudah difahami dan tidak terlalu kompleks. Namun, untuk mengeluarkan mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh pengarang, pembaca perlulah meluangkan lebih banyak masa untuk meneliti dan memperhalusi setiap bait kata yang dicoretkan oleh pengarang.

Pengarang merupakan seorang yang cukup teliti dalam memerihalkan setiap objek yang dijadikan elemen dalam cerpen beliau. Sebagai contoh perihal pinang dalam cerpen Pinang nan Sebatang.

“Tangan kirinya memegang kuat batang gobek. Tangan kanannya pula sedia menggobek pinang yang telah dikacip halus bersama sepiak sireh yang dicaliti kapur putih, sedikit kapur merah dan sekutil gambir.”

Hal sebegini juga dapat dilihat dalam cerpen Kolam.

“Itu bukan lukisan Salwa. Itu Kolam. Kebiasaannya pada pintu masuk rumah penganut agama Hindu terdapat hiasan Kolam – hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas lantai yang lazimnya dibuat daripada bijirin pelbagai warna.”

Jika diteliti dan diamati TI dan Bila Ayah Berkaca Mata Hitam (BABMH), kedua-dua buku ini juga pasti ada terkandung pemerihalan elemen-elemen sebegini yang dimasukkan oleh pengarang. Kebijaksanaan pengarang ini mampu membuatkan pembaca faham akan gambaran perihal pekerjaan yang sedang dilakukan, atau objek yang sedang ditunjukkan. Begitulah hebatnya kuasa penulisan, menjadikan sesuatu yang tiada secara nyata, tetapi boleh wujud dalam ilusi.

Kesepaduan yang ditonjolkan dalam GDCMD ialah watak utama yang pastinya dilantik dalam kalangan remaja mahupun anak muda. Perkara ini menjadikan pembaca terus kekal menjiwai semangat remaja dari awal pembacaan sehinggalah ke akhirnya. Apabila pembaca sudah memasuki zon selesa semasa membaca, apa-apa sahaja mesej dan pengajaran yang dibawakan oleh pengarang akan dirasakan begitu dekat dengan diri masing-masing khususnya apabila remaja yang membaca GDCMD. Hal ini dapat membuatkan pembaca fokus dan memahami keseluruhan buku dengan lebih cepat dan mendalam.

Pengarang juga amat mementingkan semangat perpaduan dalam setiap karya beliau. Hal ini jelas terlihat dalam GDCMD apabila watak yang ditonjolkan terdiri daripada watak pelbagai kaum dan latar suasana perayaan berbilang bangsa. Cerpen yang dihasilkan akan digabungjalinkan dengan kepelbagaian adat dan budaya yang menampilkan keharmonian dalam plot dan penceritaannya sekali gus menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejahtera. Unsur-unsur keagamaan juga turut diselitkan dengan berhikmah dalam kebanyakan cerpen yang digarap agar tidak menyentuh sensitiviti sesiapa. Misalnya dalam cerpen Pulang Tanggang Memuliakan Cinta, pengarang meletakkan cinta itu sebagai cinta kepada Tuhan untuk kembali kepada fitrah sebagai seorang Islam. Hal ini digarap melalui watak Thomas yang mahu pergi ke surau kerana hendak bertemu Allah SWT demi mendoakan kesejahteraan ibunya. Kewujudan ungkapan-ungkapan seperti “Alhamdulillah” dan “Astagfirullahal’azim” serta kata-kata yang menggambarkan Islam seperti nama “Tuan Muslim”, “muqaddam”, “al-Quran”, “Aidilfitri” dan “Allah SWT” juga banyak dimasukkan oleh pengarang sekali gus memperlihatkan bahawa karya-karya pengarang ialah karya yang cukup rencahnya. Sastera ada, ilmu kehidupan ada, ilmu akhirat juga ada.

Penggunaan bahasa yang baik dengan laras bahasa yang mudah serta ringkas menyebabkan plot cerita bergerak dengan lancar. Tiada kesalahan ejaan dan bahasa yang ketara menggambarkan buku ini telah ditukangi dengan cermat oleh pengarang dan editor. Pengarang memang cukup dikenali sebagai seorang yang mempunyai lenggok bahasa yang baik dan mudah difahami. Tidak ada perkataan-perkataan bombastik yang tidak difahami melainkan bait-bait kata yang mudah dihadam oleh pembaca khususnya golongan remaja. Penguasaan bahasa yang baik turut membantu pengarang dalam penjudulan setiap cerpen beliau sehingga dilihat “catchy” dan mampu menarik minat pembaca untuk membacanya. Sebagai contoh judul cerpen yang menarik ialah Dengarkan Bahasa Gadis Tionghua, Kekabu Mimpi dan Pulang Tanggang Memuliakan Cinta.

Sejumlah 15 buah cerpen yang dimuatkan dalam GDCMD pula merupakan satu jumlah yang cukup ideal. Sudah memadai jumlah yang tidak terlalu banyak dan tidak pula terlalu sedikit. Jumlah tersebut dapat mempengaruhi psikologi pembaca apabila hendak membaca. Masa yang diambil untuk membaca pula tidak akan menjadi terlalu lama kerana pembaca boleh menghabiskan cerpen yang ada satu per satu sebelum berhenti dan berehat jika sudah terlalu penat membaca. Para pembaca pastinya tidak akan berhenti membaca di sekerat jalan seperti membaca novel, sebaliknya akan dihabiskan pembacaan sebuah cerpen sebelum disambung cerpen yang berikutnya. Kesemua 15 cerpen tersebut dirasakan telah disusun dengan cukup rapi dan teliti. Isu-isu yang diketengahkan dapat dibahagikan kepada tiga pembahagian iaitu ringan-sederhana-berat. Pengarang berjaya memanipulasikan minda pembaca apabila cerpen-cerpen awal dalam GDCMD bersifat lebih mudah dan ringan. Diikuti pula cerpen-cerpen yang menuntut ketelitian di pertengahan buku. Seterusnya, cerpen-cerpen pada bahagian akhir buku bukan sahaja memerlukan pembaca berfikir, malah ada kalanya perlu dibaca ulang berkali-kali untuk memahami mesej sebenar yang cuba disampaikan. Maka susunan cerpen yang sebegini sebenarnya amat membantu pembaca untuk meneruskan pembacaan secara lancar tanpa halangan yang mengganggu.


8.0       CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Sungguhpun GDCMD bersifat lebih matang, namun masih ada beberapa perkara yang boleh ditambahbaik untuk menghasilkan karya pada masa akan datang, lebih-lebih lagi sekiranya ada manuskrip untuk buku baharu yang sedang disusun bagi tujuan penerbitan. Kebanyakan cerpen pengarang seolah-olah begitu statik dengan format permulaan-konflik-peleraian dan kurangnya kepelbagaian dalam olahan plot cerpen. Teknik seperti imbas kembali dan monolog dalaman begitu kurang dalam cerpen-cerpen yang ada malah ada cerpen yang hampir sama bentuk ceritanya. Sebagai contoh cerpen Sepucuk Rindu di Aildilfitri dan cerpen Kolam membawa pengakhiran yang hampir serupa iaitu kepulangan ke dakapan keluarga tersayang. Walaupun isu dan ceritanya berbeza, namun kesan pembacaan yang seolah-olah sama boleh mendatangkan rasa bosan dan mendatar kepada pembaca. Perihal kepulangan ini juga boleh dilihat dalam TI melalui cerpen Kuih Bakul Limau Mandarin. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa cerpen-cerpen yang berlatarkan perayaan akan menjadikan kepulangan sebagai peleraian kepada konflik yang berlaku.

GDCMD juga lebih banyak dimuatkan dengan konflik individu yang berkaitan dengan pergelutan jiwa dan perasaan remaja. Hal ini boleh dilihat dalam cerpen Usain Bolt dari Kampung Kami, cerpen Gadis dan Cermin Masa Depan, cerpen Sayur Keladi di Atas Bukit dan Lelaki di Atas Kuburan. Konflik individu dengan peleraian dalam skop yang kecil tidak akan memberikan impak yang begitu berkesan kepada pembaca. Mungkin lebih menarik jika pengarang boleh memasukkan fungsi masyarakat sebagai peleraian kepada sesuatu konflik atau masalah yang melanda.

Cerpen-cerpen yang berlatarkan ‘pesta kampung’ seperti hampir tiada dalam GDCMD berbanding TI. Jika dilihat dalam TI, cerpen-cerpen sebegini begitu menarik dan seronok untuk dibaca. Sebagai contoh cerpen Bunga Telur Kenduri Kahwin dan Rombongan Masuk Jawi. Begitu juga cerpen yang berbentuk serupa dalam BABMH seperti cerpen Pesta Bendang dan cerpen Kenduri di Kampung Pisang.

Terdapat juga tema cerpen-cerpen remaja yang jarang disentuh oleh kebanyakan pengarang pada hari ini. Antara temanya ialah tema yang berkaitan dengan perhubungan adik-beradik, remaja yang menjadi yatim piatu, percintaan golongan remaja, kecelaruan identiti remaja dan teknologi maklumat seperti penggunaan gajet dan media sosial yang membawa kesan positif kepada remaja. Dengan mempelbagaikan lagi tema-tema yang lebih dekat dengan proses tumbesaran remaja, tentunya boleh menarik lebih banyak pembaca untuk membaca sesebuah buku itu.

Sungguhpun demikian, kekurangan-kekurangan ini tidak sedikit pun menjejaskan kekuatan sebenar GDCMD sebaliknya hanyalah sebagai suatu pandangan penambahbaikan yang boleh diambil kira sebagai rujukan dalam penerbitan-penerbitan seterusnya.


9.0       PENUTUP


Trouble will find you no mater where you go, oh oh
No Matter if you're fast no matter if you're slow, oh oh
The eye of the storm and the cry in the morn, oh oh
Your fine for a while but then start to loose control
(Petikan lirik lagu “Trouble is a Friend” nyanyian Lenka)

Menjadi remaja ialah cabaran yang perlu ditempuhi dengan keintelektualan akal dan fikiran serta kekuatan dan kecekalan emosi yang tinggi. Masalah tidak akan pernah hilang dan lesap begitu sahaja. Namun dengan kepandaian memanipulasikan masalah dan kepintaran menukarkannya kepada penyelesaian pastinya akan membentuk sebuah kehidupan yang lebih bahagia. Petikan lirik lagu “Trouble is Friend” nyanyian Lenka menunjukkan bahawa masalah itu seperti kawan-kawan. Sentiasa ada, sentiasa hadir di sisi kita. Masalah yang tidak pernah sudah selagi mana manusia itu bernyawa dan hidup di atas muka bumi ini.

Mencelikkan remaja yang sedang lena. Begitulah hasrat pengarang dalam GDCMD yang sebenarnya cuba mencungkil seberapa banyak konflik dan masalah dalam diri remaja untuk digubah menjadi cerpen-cerpen dengan plot yang mendatangkan kesan positif serta pedoman kepada pembaca. Apabila membaca melalui hati, pasti akan ditemui pelbagai pengajaran yang benar-benar mampu memupuk kefahaman dalam menjadi seorang insan yang berakhlak mulia dan juga baik budi pekertinya.  

Membaca GDCMD memberikan kesan yang cukup mendalam. Selain daripada dapat mengenali sikap dan perwatakan remaja, pembaca juga dapat mengetahui sebahagian besar konflik dan permasalahan yang selalu membelenggu kehidupan remaja. Remaja selalunya akan merahsiakan dan memendam sahaja masalah yang melanda diri mereka. Namun, melalui GDCMD pengarang telah memberikan gambaran bagaimana remaja berhadapan dengan sesuatu konflik dan bagaimana pula mereka mencari jalan penyelesaian yang akan mendatangkan kesan positif kepada diri mereka. 

Oleh itu, sangatlah wajar jika GDCMD dijadikan bahan bacaan untuk semua peringkat umur tanpa mengira agama dan bangsa. Buku ini sesuai dijadikan sebagai rujukan untuk menambah ilmu tentang cara penghasilan cerpen yang baik dan berkesan. GDCMD patut dipromosikan kepada kawan-kawan untuk dibaca dan boleh dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah dalam tugasan-tugasan di universiti kerana buku ini mengadunkan resipi kehidupan yang secukup rasa, bervariasi kisah dan isunya, menggunakan bahasa yang baik, memaparkan watak dalam kehidupan majmuk yang saling menghormati dan penuh dengan pengajaran serta pedoman. 

Sebagai kesimpulan, Gadis dan Cermin Masa Depan ialah cabaran dan harapan remaja yang hidup dengan rencam masalah, dibelenggu dengan konflik dalaman diri serta diuji dengan persekitaran yang cukup mencabar. Maka, warga di sekeliling yang ada perlulah memainkan peranan menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya dalam membantu para remaja membentuk jati diri yang utuh dan kukuh pada pasak keluhuran budi demi menjadi generasi remaja yang berilmu, beradab dan elok pekertinya.


10.0    RUJUKAN

BUKU
Kamus Dewan. (4th Ed.). (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Mohd Helmi Ahmad. (2014). Kumpulan Cerpen Remaja : Tetamu Istimewa. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Mohd Helmi Ahmad. (2016). Kumpulan Cerpen : Bila Ayah Berkaca Mata Hitam. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Mohd Helmi Ahmad. (2018). Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis dan Cermin Masa Depan. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan & Buku Malaysia

ORANG SUMBER
Mohd Helmi bin Ahmad,
Pengarang Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa, Kumpulan Cerpen : Bila Ayah Berkaca Mata Hitam dan Kumpulan Cerpen Remaja: Gadis dan Cermin Masa Depan

INTERNET
Akta Umur Dewasa (2006). Diambil daripada http://www.agc.gov.my/agcportal/uplo ads/files/ Publications/LOM/MY/Akta%2021.pdf
Muhammad Sabran. (2012). Psikologi remaja dalam Islam. Diambil daripada http://www. muhammad-sabran.com/2012/10/psikologi-remaja-menurut-islam.html

LIRIK LAGU
Mike Elizondo. (2008). Trouble is a Friend dalam Lenka Album diambil daripada https://www.azlyrics.com/lyrics/lenka/troubleisafriend.html
UNIC. (2004). Remaja dalam See U D IPT diambil daripada https://www.azlyrics. com/lyrics/lenka/troubleisafriend.html


(Ulasan dan kritikan ini adalah sebagai penyertaan dalam Peraduan Jom Kritik Buku ITBM anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia 2018)