Khamis, 21 Jun 2018

MELIHAT CERMIN KEHIDUPAN

Syukur. Ramadan akhirnya berjaya dilalui dengan satu pengalaman dan suasana baharu. Tentu sahaja kita semua, malah saya sendiri mengharapkan Ramadan itulah yang terbaik berbanding yang sebelum-sebelum ini. Bahkan mengimpikan perubahan dan kebaikan yang berpanjangan, istiqamah sampai bila-bila. Biarlah walau ada naik turunnya iman, asalkan Tuhan kurniakan kesedaran dan jiwa yang kekal berpasak pada jalan-Nya, cinta yang tulus kepada-Nya, sudah menjadi nikmat yang sangat berharga. Insya-Allah. 

Raya juga sudah masuk hari ketujuh. Banyak kegembiraan yang hadir, berpadananlah dengan makna kemenangan Syawal yang seharusnya diraikan. Sempatlah saya berhari raya bersama-sama saudara-mara, kenalan-kenalan dan para guru. Kalau masih ada kelapangan, akan diusahakan ziarah yang seterusnya ke rumah yang lain. Besarlah hajat saya mahu bertemu dengan lebih ramai kenalan. Mungkin ada rindu yang terbit, yang perlu dilunaskan sehabis-habisnya. 

Dalam perbualan dengan teman-teman tempoh hari, saya begitu terkesan dengan satu topik yang begitu dekat dengan diri saya – atau lebih tepat yang segenerasi dengan saya. Golongan muda, para siswazah yang baru sahaja mahu melangkah ke dunia luar memulakan sebuah kehidupan penuh pancaroba. 

“Ramai yang demand nak kerja yang setaraf dengan ijazah.” 
“Graduan tidak boleh memilih kerja. Kerja je dulu, ambil pengalaman.” 
“Aku tak kisah kerja apa, asalkan kerja.” 
“Aku tak nak la kerja tu, gaji kecil sangat.” 
“Kerja tu langsung tak ada kaitan dengan bidang yang aku belajar.” 

Dialog begini atau yang hampir serupa, kerap kali kita dengar. Malah mungkin kita juga ada mengungkapkan yang sedemikian rupa. Paling tidak pun, terdetik juga dalam hati kita tentang semua ini. Sangat mudah untuk kita ucapkan. Namun begitu sukar untuk kita menghadapinya. Sebenarnya susunan dialog di atas seperti satu turutan yang perlu kita teliti. 

Dialog ketiga menjadi ungkapan penyedap hati yang paling kerap disebut. Ada yang benar-benar memaksudkannya, tetapi ada yang sekadar mahu menunjukkan kononnya dia tidak memilih, dia boleh berhadapan dengan cabaran alam pekerjaan nanti. Padahal dia bukan begitu. Cabaran sebenar bukan semasa kita masih duduk menulis resume, atau berborak dengan kawan-kawan tetapi ketika kita mahu mencari kerja dan setelah mendapat tawaran mana-mana kerja yang bukan pilihan. 

Apabila memiliki ijazah (walaupun belum bergraduasi), kita pasti sahaja akan mencari kerja yang setaraf, gajinya besar, skop kerjanya dalam bidang yang kita pelajari. Mahukah kita memilih kerja yang gajinya sekadar gaji minimum di Malaysia? Mahukah kita memilih kerja yang tidak berada dalam bidang ijazah kita? Mahukah kita bekerja sebagai pekerja di pasar raya? Atau bekerja sebagai pekerja di restoran makanan segera? 

Fikir sahaja sendiri. Jawablah sendiri. Kalau benar tidak kisah dengan sebarang kerja, mengapa tidak mahu memilih kerja-kerja sebegitu? Mengapa sanggup membiarkan diri menganggur untuk tempoh yang lama sehingga mendapat kerja yang benar-benar dimahukan sahaja? Mengapa tidak cuba untuk bekerja walaupun dengan pendapatan yang paling minimum? 

Setidak-tidaknya, tiadalah kita membuang masa. Tidaklah kita menganggur sahaja. Pendapatan juga akan diperoleh untuk digunakan sehari-harian. Tetapi tidak bermakna kita perlu terus bekerja di tempat yang sama sampai bila-bila. Perlulah menjadi proaktif. Dalam masa bekerja, carilah peluang dan kesempatan untuk mendapatkan kerja lain yang lebih baik. Bukankah itu lebih elok? Maknanya, usaha mencari itu tidak terhenti sebaliknya berterusan sehingga berjaya. Jika sudah berusaha begini, tidak ada masalah untuk memilih kerja yang dimahukan. Asalkan berusaha sehabis daya. Lalu barulah boleh berpegang kepada ungkapan “tidak memilih kerja”. 

Kalau dari awal sudah menolak kerja-kerja orang bawahan, hanya mahu kerja dengan darjat pelajaran, maka kamu memang generasi graduan yang manja. Oh ya. Cermin ini bukan untuk orang lain sahaja, tetapi untuk diri saya juga. Doakan yang baik-baik hendaknya. Insya-Allah.


Isnin, 11 Jun 2018

PULANGLAH RINDU


Oleh: Wan Hanif Wan Hamid

AWAL pagi lagi Rosnah sudah keluar dari rumah, berbaju kurung Kedah, berkain batik dan berselendang putih yang dililitkan pada kepala. Sebuah bakul rotan coklat yang dibuatnya sendiri dijinjing pada tangan. Rosnah hendak ke pasar membeli bahan keperluan untuk memasak juadah Hari Raya Aidilfitri esok. Jarak pasar dari rumahnya tidaklah jauh, lebih kurang satu kilometer. Rosnah akan berjalan kaki sahaja ke sana. Lagipun, memang begitulah rutin harian Rosnah. Walaupun sudah menginjak usia emas, dia masih bertenaga untuk ke sana ke mari. Dia masih kuat untuk melakukan tugasan rencam di rumah secara sendiri.
Selalunya pada pagi hari raya, Rosnah hanya menyediakan ketupat dan rendang ayam kampung. Tidak perlu dimasak banyak-banyak, sekadar untuk dijamah dan menjamu tetamu yang datang. Lagipun Rosnah tinggal seorang sahaja. Tidak ada orang lain di rumahnya. Gemulah suaminya, Akob sudah lama bertemu Tuhan. Akob pergi tidak bertanda. Tidak juga meninggalkan sebarang pesan buatnya.
Sudah seharian dia menanti kepulangan Akob, namun tidak juga kelihatan. Pada malam pemergian Akob itulah dia melahirnya satu-satunya zuriat mereka, Ahmad. Kelahiran Ahmad hanya bertemankan gemulah bidan Timah yang memang terkenal di Kampung Pindang sebagai penyambut kelahiran bayi. Berhari-hari Akob tidak pulang, sehinggalah akhirnya Samad datang ke rumahnya memberitahu sampan kolek Akob ditemui di pinggiran pantai.
Nafasnya seolah-olah terhenti mendengar khabar itu, jantungnya bagi terjatuh dan berkecai di tanah, mulutnya terkunci rapat tidak bersuara, mengalir laju air mata syahdunya. Dia tidak menyangka, Akob akhirnya pergi tanpa sempat melihat dan mengazankan Ahmad. Tidak sempat meraikan kegembiraan mereka mendapat cahaya mata dan lebih memilukan, lautan tempat Akob mencari rezeki akhirnya menjadi pusaranya. Rosnah merenung tubuh kecil Ahmad yang nyenyak tidur, tidak banyak meragam. Mungkin dia faham, ayahnya sudah tiada. Mungkin juga Ahmad sudah bertemu ayahnya dalam setiap mimpi yang hadir ketika lenanya.
Jasad gemulah suaminya tidak pernah dijumpai sehingga kini. Bersemadi di dalam laut dalam bersama-sama ikan-ikan dan seluruh makhluk lautan. Mujurlah ada ihsan dan belas gemulah bidan Timah. Rosnah dijaga sebaiknya sepanjang tempoh berpantang. Gemulah bidan Timah tahu, emosi dan kesihatan Rosnah perlu dijaga serapi yang mungkin bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, meroyan misalnya.
Rosnah ke belakang rumah untuk memotong beberapa batang serai, mengambil beberapa helai daun kunyit dan mengupas kelapa tua yang gugur. Semuanya diambil sahaja daripada hasil tanamannya yang dijaga kemas dan elok. Dengan kelapa tua yang ada, dapatlah Rosnah memarut kelapa itu untuk mendapatkan santannya. Diambil juga kelapa parut yang sudah siap untuk dibuat kerisik. Bahan-bahan mentah sebegini semuanya diperoleh segar dan percuma sahaja. Berbudi kepada tanah, itulah anugerah yang dikembalikan, penjimatan.
“Mirul, kautolong Mak Nah sembelihkan ayam jantan dua ekor dalam reban tu. Aku nak masak rendang untuk esok,” Rosnah menyapa Amirul, anak jirannya yang cukup rapat dengan dirinya. Amirul juga pernah menjadi rakan satu sekolah dan rakan sepermainan dengan Ahmad semasa mereka masih kecil.
“Wah, bolehlah saya merasa rendang ayam kampung Mak Nah esok. Tapi kenapa  dua ekor? Banyak sangat,” Amirul kelihatan teruja. Memang Mak Nah sudah dianggap seperti saudaranya sendiri. Dia faham tanggungjawabnya sebagai jiran, dia membantu Mak Nah seadanya. Pada Amirul, tidak rugi walau sedikitpun tenaga dan masa yang dia korbankan untuk membantu Rosnah yang hidup sebatang kara.
“Kautolong sajalah. Jangan banyak tanya. Nanti kau juga boleh makan sepuas-puasnya,” Rosnah cuba berdalih. Senyuman dilemparkan kepada Amirul setelah anak jirannya itu sanggup membantu menyembelih ayam-ayam kampungnya.
Rosnah bersimpuh di atas pangkin di halaman rumahnya. Tangannya tangkas menganyam daun kelapa muda untuk dibuat sarung ketupat sebelum dimasukkan beras dan direbus sehingga masak setelah berbuka malam nanti. Sewaktu muda dahulu, ramai penduduk kampung yang suka menempah ketupat daripada Rosnah. Kata mereka, ketupat Rosnah yang paling sedap. Kalau dahulu, Ahmad akan selalu membantu dirinya menyiapkan ketupat. Ahmadlah yang akan mencari daun kelapa muda dan mengutip kayu-kayu api untuk merebus ketupat. Pada tengah malam hari raya pula, Ahmad jugalah yang akan ke hulu ke hilir menghantar tempahan ketupat kepada penduduk kampung. Rosnah cukup senang dengan sikap Ahmad yang ringan tulang itu.
Takbir raya jelas kedengaran dari surau di hujung kampung. Bunyi mercun meletup-letup menjadikan kawasan kampung itu riuh rendah sama seperti dahulu. Setiap rumah pasti dipasang pelita, lampu lip-lap dan perhiasan-perhiasan yang dapat menambah lagi kemeriahan hari raya. Kalau sekarang, anak-anak kampung akan pulang dengan kereta mewah, membawa anak-anak dan isteri untuk berhari raya di kampung.
Rosnah bersandar di tepi jendela. Daun tingkap sengaja dibiarkan terbuka membenarkan angin malam mengelus lembut wajahnya. Dia memerhati telatah dan gelagat anak cucu jirannya bermain bunga api, bergelak ketawa dan berkejar-kejaran penuh kegembiraan. Hatinya sayu, mengenangkan Ahmad yang sudah bertahun-tahun tidak pulang ke kampung. Bertahun-tahun juga dia menanti dengan penuh harapan agar anak tunggalnya itu kembali bertemu dirinya. Dia begitu rindu akan Ahmad, tetapi hanya dikulum rindu itu di dalam kalbu, diterjemahkan melalui air mata yang jatuh mengalir selalu.
“Entah apalah yang kaurajukkan Ahmad. Mak tak marah. Mak dah maafkan kau. Baliklah Ahmad, baliklah…” Rosnah berbisik sendiri, teresak-esak, sebak dadanya. Sejak kali terakhir Ahmad keluar dari rumah, sejak itulah dia tidak pernah pulang lagi. Meninggalkan Rosnah sendirian tanpa khabar dan berita.
“Mak dah buatkan rendang ayam kampung yang kausuka. Kaumakan la banyak-banyak. Kalau tak cukup, mak suruh Amirul sembelihkan lagi ayam tu, mak masak untuk kau,” air matanya kian laju. Butir katanya juga sudah tidak jelas lagi, bercampur-baur dalam tangis dan kesedihan.
“Mak dah lama izinkan kauberkelana ke Kuala Lumpur sana. Mak tak pernah halang, pergilah cari rezeki yang halal,” Rosnah masih bermonolog. Hanya itu yang dapat dia ungkapkan dalam penantian yang tidak berkesudahan itu. Akhirnya malam itu, Rosnah terlena dalam kerinduan yang teramat dalam. Sekian lama dia memendam rasa itu, sekian lama dia menderita jiwa dan raganya.
Tangga rumah baru sahaja dipijak sebaik pulang daripada menunaikan solat sunat Aidilfitri. Dia cukup bersyukur dengan rezeki berjaya menyempurnakan Ramadan sekali lagi dan merayakan hari kemenangan pada 1 Syawal. Amirul menghampiri Rosnah, bersalaman dan bermaaf-maafan.
“Jom Mak Nah, saya dengan ibu nak ziarah tanah perkuburan,” ajak Amirul bersahaja.
“Kubur siapa?” Rosnah bertanya hairan. Amirul mengerutkan dahi.
“Kubur arwah Ahmad, arwah atuk dan nenek saya, arwah ayah saya. Jom, saya tunggu dalam kereta,” Amirul terus berjalan menuju kereta, meninggalkan Rosnah terpinga-pinga. Rosnah terkelu, diam seribu bahasa. Dia seperti baru terkejut daripada lena.
“Astagfirullahal’azim” panjang Rosnah beristighfar.

CERPEN INI TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA,
SABTU 09 JUN 2018