Sabtu, 24 Februari 2018

PEPERIKSAAN DAN KEPUTUSAN AKHIR

Sebenarnya, saya meletakkan satu harapan yang sangat tinggi untuk peperiksaan terakhir tempoh hari. Cuma saya tidak pasti apakah usaha saya sudah setanding dengan harapan saya itu. Seboleh-bolehnya saya mahu merasai walau sekali sahaja kebahagiaan yang tidak pernah saya rasai lagi. Mungkin percaturan saya silap, rancangan saya tidak betul. Paling penting, mungkin niat saya yang terpesong. Saya meletakkan harapan itu pada kepentingan diri semata-mata. Mungkin juga semasa perkongsian saya tentang harapan saya itu kepada beberapa orang teman, ada yang terasa hati dan tidak menyukainya – lalu menampakkan seperti saya sedang berbangga diri dan menunjuk-nunjuk.

Saya akur. Pada tahap pencapaian saya sekarang, definisi kegagalan itu berbeza dan tidak sama dengan definisi kegagalan orang lain. Keputusan peperiksaan akhir tempoh hari – menoktahkan saya pada definisi kegagalan itu. Tidaklah saya sedih, malah tidak pula saya kecewa. Saya cuma terkilan dengan diri saya, saya kesal dengan niat saya dahulu (sekarang baru saya sedar niat itu salah, dahulu saya merasakan niat itu satu perjuangan dan galakan).

Tidak ada yang boleh saya lakukan lagi melainkan saya terus melangkah menuju penghabisannya. Melalui tempoh ini, menjadi pengajaran yang harus saya pegang dan tekuni semula.

Ada harapan yang saya gantungkan sekali lagi pada langit!


Rabu, 7 Februari 2018

SUDAH SEBULAN RUPA-RUPANYA

Dari siang hari tadi saya merasakan sesuatu yang tidak kena. Semacam saya terlupa sesuatu yang penting pada hari ini. Saya biarkan, tidak terlalu melayan perasaan. Semua urusan dan tugasan saya laksanakan seperti biasa. Namun perasaan itu masih hadir. Mengetuk-ngetuk jiwa saya supaya saya sedar dan celik semula. Patutlah. Rupa-rupanya hari ini sudah genap sebulan saya meninggalkan segala jejak kenangan di bumi tempat saya berkelana menggeledah ilmu dahulu, tempat saya mencipta persahabatan yang indah-indah dan tempat saya membentuk diri saya menjadi manusia yang dewasa.

Mengingati tarikh-tarikh sebegini tidaklah begitu penting, tetapi ada kisahnya, ada maknanya. Saya masih ingat momen-momen terakhir sebulan yang lalu. Betapa saya cuba memastikan pelukan dan lambaian terakhir hanya berhias senyuman dan kerelaan. Saya hulurkan hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda kenangan. Beratnya rasa hati, saya gagahkan jua. Saya tidak mahu kesedihan yang menguasai atmosfera dan memerangkap kami dengan kedukaan.

Sepanjang perjalanan saya di dalam bas, laju air mata ini mengalir tanpa saya pinta, tidak henti-henti. Saya kawal, tetap tidak berjaya sehingga saya terpaksa berselindung di sebalik tirai agar tiada yang melihat saya. Renungan saya ke luar tingkap kaku. Ada pita memori yang terpasang dan terbayang-bayang wajah teman-teman dalam minda saya. Ah, apa yang saya sedihkan ini? Mengapa alam seolah-olah tidak merelakan pemergian saya untuk pulang ke kampung halaman?  Pohon-pohon seperti melambai-lambai sayu. Rumput-rumput seperti menangis pilu. Padi-padi turut tertunduk syahdu. Awan berduka, langit mendung sahaja. Saya menjadi kelu.

Lama saya terseksa dengan rasa ini, semahunya saya menjerit agar saya berasa lega. Akhirnya saya memilih untuk memejamkan mata, membiarkan diri diulit lena. Kalau benar air mata tadi ialah tanda rindu, biarkan saya tertidur. Saya mahu tukarkan setiap butir air mata itu dengan lembaran mimpi yang lebih membahagiakan. Yang akan membuatkan saya dan teman-teman kembali bertemu walaupun buat seketika waktu.