Dari siang hari tadi saya merasakan sesuatu yang tidak kena. Semacam saya terlupa sesuatu yang penting pada hari ini. Saya biarkan, tidak terlalu melayan perasaan. Semua urusan dan tugasan saya laksanakan seperti biasa. Namun perasaan itu masih hadir. Mengetuk-ngetuk jiwa saya supaya saya sedar dan celik semula. Patutlah. Rupa-rupanya hari ini sudah genap sebulan saya meninggalkan segala jejak kenangan di bumi tempat saya berkelana menggeledah ilmu dahulu, tempat saya mencipta persahabatan yang indah-indah dan tempat saya membentuk diri saya menjadi manusia yang dewasa.
Mengingati tarikh-tarikh sebegini tidaklah begitu penting, tetapi ada kisahnya, ada maknanya. Saya masih ingat momen-momen terakhir sebulan yang lalu. Betapa saya cuba memastikan pelukan dan lambaian terakhir hanya berhias senyuman dan kerelaan. Saya hulurkan hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda kenangan. Beratnya rasa hati, saya gagahkan jua. Saya tidak mahu kesedihan yang menguasai atmosfera dan memerangkap kami dengan kedukaan.
Sepanjang perjalanan saya di dalam bas, laju air mata ini
mengalir tanpa saya pinta, tidak henti-henti. Saya kawal, tetap tidak berjaya
sehingga saya terpaksa berselindung di sebalik tirai agar tiada yang melihat
saya. Renungan saya ke luar tingkap kaku. Ada pita memori yang terpasang dan
terbayang-bayang wajah teman-teman dalam minda saya. Ah, apa yang saya sedihkan
ini? Mengapa alam seolah-olah tidak merelakan pemergian saya untuk pulang ke kampung
halaman? Pohon-pohon seperti
melambai-lambai sayu. Rumput-rumput seperti menangis pilu. Padi-padi turut
tertunduk syahdu. Awan berduka, langit mendung sahaja. Saya menjadi kelu.
Lama saya terseksa dengan rasa ini, semahunya saya menjerit agar
saya berasa lega. Akhirnya saya memilih untuk memejamkan mata, membiarkan diri
diulit lena. Kalau benar air mata tadi ialah tanda rindu, biarkan saya
tertidur. Saya mahu tukarkan setiap butir air mata itu dengan lembaran mimpi
yang lebih membahagiakan. Yang akan membuatkan saya dan teman-teman kembali
bertemu walaupun buat seketika waktu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan