Selasa, 17 Julai 2018

MENCARI PENGALAMAN ATAU MENCARI REZEKI

“Awak kerja sini sebenarnya sebab nak cari pengalaman atau cari rezeki?” tiba-tiba saya ditujah dengan soalan itu semasa saya sedang ralit menyusun beberapa helaian dokumen ke dalam fail. Urusan saya terhenti. Soalan itu menjentik kuat perhatian saya. Terkelu saya seketika. Saya tidak dapat menjawab secara terus kerana saya tiada jawapan untuk soalan yang tidak diduga itu. 

“Kenapa?” saya cuba memancingnya dengan persoalan lain supaya saya mendapat sedikit gambaran tentang tujuannya bertanyakan soalan itu kepada saya. 

“Tak adalah. Kalau awak sekadar nak cari pengalaman, oklah. Kerja dulu, kumpul pengalaman. Tapi kalau awak betul-betul nak cari rezeki, Insyaallah kerja ni ok je. Awak boleh kerja lama sampailah dapat peluang yang lagi baik,” jawabnya panjang.

Ligat saya mencari jawapan yang sesuai untuk dijawab. Sebenarnya bukan untuk memuaskan hatinya yang bertanyakan soalan, tetapi cuba mencari jawapan untuk diri saya sendiri. Mungkin kerana asyik melayankan emosi yang tidak stabil, rasa syukur yang tidak sedalam-dalamnya, reda yang sekadar pada ucapan, lalu Allah ketuk hati saya pada hari ini. 

Dalam kegelisahan mendapatkan kerja seusai menghabiskan latihan industri tempoh hari, saya terlalu berpegang kepada pasak pencarian pengalaman. Tidak dinafikan, pastinya saya mengharapkan rezeki yang terbaik semasa melalui proses yang cukup mencabar itu. Namun, rupa-rupanya saya terlalai jua. Mengharapkan rezeki jatuh ke riba, kemudian terlupa tentang rezeki-rezeki lain. Sepatutnya rezeki itu dicari dengan kesungguhan dan keredaan yang tulus dari hati. Benar, saya mendapat rezeki bekerja tanpa sempat menganggur, tetapi saya terlupa mencari rezeki dalam pekerjaan yang sedang saya lakukan ini. Allah. Betapa manusia ini lalai dan pelupa. 

Kadang-kala sengaja dipujuk hati, “Tak apalah, cari pengalaman je ni. Nanti dapat kerja lain, berhentilah”. Semudah itu pemikiran yang ada. Walhal dalam Islam ini mengajarkan kita erti kesyukuran, keredaan dan kepasrahan yang menjanjikan keberkatan sebagai hikmahnya. Malah saya berkali-kali diingatkan oleh rakan sekerja yang lain tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap jalan yang Allah tentukan sekarang. Mereka sentiasa menyokong, tidak sekalipun mereka merendahkan saya, apatah lagi menggalakkan saya untuk mengikut kata hati yang memberontak dengan takdir. 

Saya cuba, malah sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tidak riak, tidak memandang rendah kepada orang lain, tidak berasa iri hati dengan rezeki yang orang lain terima, juga mendoakan kebaikan dan kemudahan buat teman-teman yang masih bertungkus-lumus mencari kehidupan. Juga, saya pupuk diri ini untuk yakin, yakin dan terus yakin dengan haluan berliku yang tersurat dalam sebahagian halaman kehidupan saya. Insyaallah, saya akan ingat setiap bait nasihat dan kata-kata semangat yang ditaburkan kepada saya walau dalam apa jua bentuknya. 

Betullah, saya mencari pengalaman malah saya juga mencari rezeki yang diharapkan suatu hari nanti memungkinkan rezeki yang lebih baik hendaknya. Semuanya dengan izin Allah dan berkat doa serta usaha yang berterusan.


Isnin, 9 Julai 2018

MEMBINA KEHIDUPAN

Rupa-rupanya, melangkah ke fasa pembinaan kehidupan nyata ini cukup berat. Kaki seperti dirantai dengan ketulan dan bongkah besi yang menghadkan perjalanan untuk ke sana dan ke sini. Dilema yang melanda pula lebih parah rasanya. Tidak seperti dahulu lagi. Kalau sebelum ini, saya sudah tahu permulaan dan penamatnya. Saya sudah ada garis masa yang tetap dan jelas. Kini tidak lagi. Garis masa itu kabur dan persinggahannya seperti hampir tiada. Saya tidak tahu di mana noktah seterusnya, di mana pula lompong yang perlu saya elakkan supaya saya boleh terus menuju ke hadapan. 

Sebenarnya, ketika ada hati yang sedang digoncang kuat dengan ketidakpastian, ada pula hati yang sudah remuk berkecai dek kedukaan, malah tetap dicantum lagi walau darah mengalir terhiris tajamnya serpihan itu. Lalu syukur itu bagaimana? Tahap kesyukuran itu berbeza-beza bentuknya. Benar, kadang-kala kita sendiri tidak terlepas daripada berasa cemburu, iri hati dan tergugat dengan apa sahaja yang terlihat dek mata. Tambah-tambah lagi apabila media sosial menjadi medium terpantas dalam perkongsian setiap helaian kehidupan, setiap cebisan perlakuan dan tindakan. 

Hari ini, sudah masuk minggu kedua saya memulakan kehidupan yang baharu. Rentaknya cukup kontra dengan yang pernah saya alami sebelum-sebelum ini. Zon yang saya sedang diami ini bukanlah zon selesa, tetapi hanya sebagai satu ruang untuk saya bertapak sebagai pendatang baharu sebagai manusia bekerjaya. Tidak mudah untuk membina kehidupan kalau tiada tapak yang kukuh. Namun, kalau sudah dikurniakan kehidupan yang sempurna, itu rezeki dan anugerah yang perlu disyukuri sedalam-dalamnya. 

“Let’s take it as a challenge. Mana tahu future job kita nanti perlukan skill yang kita tengah belajar ni. Kira jangan underestimate peluang yang kita ada sekarang sebab kita tak tahu kalau peluang tu sebenarnya boleh bawa kita lebih tinggi.” 
Sahabat 1 

“When we learn in a hard way, it will mould us to be a better us. Allah letak kita dekat tempat atau situasi yang kita paling tak mahu, sebab dia tahu tempat tu paling baik untuk kita. Shine, Shine brighter. But if you can’t cope anymore, the choice is yours.” 
Sahabat 2 

“Mula dari bawah dan jadikan diri ada kelebihan ilmu. Mana tahu nanti ada jalan lain.” 
Sahabat 3 

Begitulah antara perkongsian sahabat-sahabat saya apabila saya cuba mendapatkan pandangan dan pendapat tentang permulaan kehidupan yang tidak seperti yang diharapkan. Benar juga kata-kata mereka, ada kelegaan apabila membacanya. Namun, keputusan itu tetap berada pada diri saya sendiri. Kehidupan itu, kehidupan saya. Mereka tidak dapat menentukan apa-apa melainkan sekadar membantu dan berkongsi pengalaman demi penambahbaikan. 

Untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik, pengorbanan itu perlu. Maka, saya memilih untuk mengorbankan sesuatu yang lebih baik itu demi kebaikan yang mungkin sukar diperolehi lagi suatu masa nanti. Semoga Allah memberkati pilihan saya ini dan melorongkan saya ke destinasi yang indah dan bercahaya. Amin.