“Awak kerja sini sebenarnya sebab nak cari pengalaman atau cari rezeki?” tiba-tiba saya ditujah dengan soalan itu semasa saya sedang ralit menyusun beberapa helaian dokumen ke dalam fail. Urusan saya terhenti. Soalan itu menjentik kuat perhatian saya. Terkelu saya seketika. Saya tidak dapat menjawab secara terus kerana saya tiada jawapan untuk soalan yang tidak diduga itu.
“Kenapa?” saya cuba memancingnya dengan persoalan lain supaya saya mendapat sedikit gambaran tentang tujuannya bertanyakan soalan itu kepada saya.
“Tak adalah. Kalau awak sekadar nak cari pengalaman, oklah. Kerja dulu, kumpul pengalaman. Tapi kalau awak betul-betul nak cari rezeki, Insyaallah kerja ni ok je. Awak boleh kerja lama sampailah dapat peluang yang lagi baik,” jawabnya panjang.
Ligat saya mencari jawapan yang sesuai untuk dijawab. Sebenarnya bukan untuk memuaskan hatinya yang bertanyakan soalan, tetapi cuba mencari jawapan untuk diri saya sendiri. Mungkin kerana asyik melayankan emosi yang tidak stabil, rasa syukur yang tidak sedalam-dalamnya, reda yang sekadar pada ucapan, lalu Allah ketuk hati saya pada hari ini.
Dalam kegelisahan mendapatkan kerja seusai menghabiskan latihan industri tempoh hari, saya terlalu berpegang kepada pasak pencarian pengalaman. Tidak dinafikan, pastinya saya mengharapkan rezeki yang terbaik semasa melalui proses yang cukup mencabar itu. Namun, rupa-rupanya saya terlalai jua. Mengharapkan rezeki jatuh ke riba, kemudian terlupa tentang rezeki-rezeki lain. Sepatutnya rezeki itu dicari dengan kesungguhan dan keredaan yang tulus dari hati. Benar, saya mendapat rezeki bekerja tanpa sempat menganggur, tetapi saya terlupa mencari rezeki dalam pekerjaan yang sedang saya lakukan ini. Allah. Betapa manusia ini lalai dan pelupa.
Kadang-kala sengaja dipujuk hati, “Tak apalah, cari pengalaman je ni. Nanti dapat kerja lain, berhentilah”. Semudah itu pemikiran yang ada. Walhal dalam Islam ini mengajarkan kita erti kesyukuran, keredaan dan kepasrahan yang menjanjikan keberkatan sebagai hikmahnya. Malah saya berkali-kali diingatkan oleh rakan sekerja yang lain tentang kepercayaan dan keyakinan terhadap jalan yang Allah tentukan sekarang. Mereka sentiasa menyokong, tidak sekalipun mereka merendahkan saya, apatah lagi menggalakkan saya untuk mengikut kata hati yang memberontak dengan takdir.
Saya cuba, malah sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tidak riak, tidak memandang rendah kepada orang lain, tidak berasa iri hati dengan rezeki yang orang lain terima, juga mendoakan kebaikan dan kemudahan buat teman-teman yang masih bertungkus-lumus mencari kehidupan. Juga, saya pupuk diri ini untuk yakin, yakin dan terus yakin dengan haluan berliku yang tersurat dalam sebahagian halaman kehidupan saya. Insyaallah, saya akan ingat setiap bait nasihat dan kata-kata semangat yang ditaburkan kepada saya walau dalam apa jua bentuknya.
Betullah, saya mencari pengalaman malah saya juga mencari rezeki yang diharapkan suatu hari nanti memungkinkan rezeki yang lebih baik hendaknya. Semuanya dengan izin Allah dan berkat doa serta usaha yang berterusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan