Khamis, 21 Jun 2018

MELIHAT CERMIN KEHIDUPAN

Syukur. Ramadan akhirnya berjaya dilalui dengan satu pengalaman dan suasana baharu. Tentu sahaja kita semua, malah saya sendiri mengharapkan Ramadan itulah yang terbaik berbanding yang sebelum-sebelum ini. Bahkan mengimpikan perubahan dan kebaikan yang berpanjangan, istiqamah sampai bila-bila. Biarlah walau ada naik turunnya iman, asalkan Tuhan kurniakan kesedaran dan jiwa yang kekal berpasak pada jalan-Nya, cinta yang tulus kepada-Nya, sudah menjadi nikmat yang sangat berharga. Insya-Allah. 

Raya juga sudah masuk hari ketujuh. Banyak kegembiraan yang hadir, berpadananlah dengan makna kemenangan Syawal yang seharusnya diraikan. Sempatlah saya berhari raya bersama-sama saudara-mara, kenalan-kenalan dan para guru. Kalau masih ada kelapangan, akan diusahakan ziarah yang seterusnya ke rumah yang lain. Besarlah hajat saya mahu bertemu dengan lebih ramai kenalan. Mungkin ada rindu yang terbit, yang perlu dilunaskan sehabis-habisnya. 

Dalam perbualan dengan teman-teman tempoh hari, saya begitu terkesan dengan satu topik yang begitu dekat dengan diri saya – atau lebih tepat yang segenerasi dengan saya. Golongan muda, para siswazah yang baru sahaja mahu melangkah ke dunia luar memulakan sebuah kehidupan penuh pancaroba. 

“Ramai yang demand nak kerja yang setaraf dengan ijazah.” 
“Graduan tidak boleh memilih kerja. Kerja je dulu, ambil pengalaman.” 
“Aku tak kisah kerja apa, asalkan kerja.” 
“Aku tak nak la kerja tu, gaji kecil sangat.” 
“Kerja tu langsung tak ada kaitan dengan bidang yang aku belajar.” 

Dialog begini atau yang hampir serupa, kerap kali kita dengar. Malah mungkin kita juga ada mengungkapkan yang sedemikian rupa. Paling tidak pun, terdetik juga dalam hati kita tentang semua ini. Sangat mudah untuk kita ucapkan. Namun begitu sukar untuk kita menghadapinya. Sebenarnya susunan dialog di atas seperti satu turutan yang perlu kita teliti. 

Dialog ketiga menjadi ungkapan penyedap hati yang paling kerap disebut. Ada yang benar-benar memaksudkannya, tetapi ada yang sekadar mahu menunjukkan kononnya dia tidak memilih, dia boleh berhadapan dengan cabaran alam pekerjaan nanti. Padahal dia bukan begitu. Cabaran sebenar bukan semasa kita masih duduk menulis resume, atau berborak dengan kawan-kawan tetapi ketika kita mahu mencari kerja dan setelah mendapat tawaran mana-mana kerja yang bukan pilihan. 

Apabila memiliki ijazah (walaupun belum bergraduasi), kita pasti sahaja akan mencari kerja yang setaraf, gajinya besar, skop kerjanya dalam bidang yang kita pelajari. Mahukah kita memilih kerja yang gajinya sekadar gaji minimum di Malaysia? Mahukah kita memilih kerja yang tidak berada dalam bidang ijazah kita? Mahukah kita bekerja sebagai pekerja di pasar raya? Atau bekerja sebagai pekerja di restoran makanan segera? 

Fikir sahaja sendiri. Jawablah sendiri. Kalau benar tidak kisah dengan sebarang kerja, mengapa tidak mahu memilih kerja-kerja sebegitu? Mengapa sanggup membiarkan diri menganggur untuk tempoh yang lama sehingga mendapat kerja yang benar-benar dimahukan sahaja? Mengapa tidak cuba untuk bekerja walaupun dengan pendapatan yang paling minimum? 

Setidak-tidaknya, tiadalah kita membuang masa. Tidaklah kita menganggur sahaja. Pendapatan juga akan diperoleh untuk digunakan sehari-harian. Tetapi tidak bermakna kita perlu terus bekerja di tempat yang sama sampai bila-bila. Perlulah menjadi proaktif. Dalam masa bekerja, carilah peluang dan kesempatan untuk mendapatkan kerja lain yang lebih baik. Bukankah itu lebih elok? Maknanya, usaha mencari itu tidak terhenti sebaliknya berterusan sehingga berjaya. Jika sudah berusaha begini, tidak ada masalah untuk memilih kerja yang dimahukan. Asalkan berusaha sehabis daya. Lalu barulah boleh berpegang kepada ungkapan “tidak memilih kerja”. 

Kalau dari awal sudah menolak kerja-kerja orang bawahan, hanya mahu kerja dengan darjat pelajaran, maka kamu memang generasi graduan yang manja. Oh ya. Cermin ini bukan untuk orang lain sahaja, tetapi untuk diri saya juga. Doakan yang baik-baik hendaknya. Insya-Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan