Oleh:
Wan Hanif Wan Hamid
AWAL pagi lagi Rosnah sudah keluar dari rumah, berbaju kurung
Kedah, berkain batik dan berselendang putih yang dililitkan pada kepala. Sebuah
bakul rotan coklat yang dibuatnya sendiri dijinjing pada tangan. Rosnah hendak
ke pasar membeli bahan keperluan untuk memasak juadah Hari Raya Aidilfitri
esok. Jarak pasar dari rumahnya tidaklah jauh, lebih kurang satu kilometer.
Rosnah akan berjalan kaki sahaja ke sana. Lagipun, memang begitulah rutin
harian Rosnah. Walaupun sudah menginjak usia emas, dia masih bertenaga untuk ke
sana ke mari. Dia masih kuat untuk melakukan tugasan rencam di rumah secara
sendiri.
Selalunya
pada pagi hari raya, Rosnah hanya menyediakan ketupat dan rendang ayam kampung.
Tidak perlu dimasak banyak-banyak, sekadar untuk dijamah dan menjamu tetamu
yang datang. Lagipun Rosnah tinggal seorang sahaja. Tidak ada orang lain di
rumahnya. Gemulah suaminya, Akob sudah lama bertemu Tuhan. Akob pergi tidak
bertanda. Tidak juga meninggalkan sebarang pesan buatnya.
Sudah
seharian dia menanti kepulangan Akob, namun tidak juga kelihatan. Pada malam
pemergian Akob itulah dia melahirnya satu-satunya zuriat mereka, Ahmad. Kelahiran
Ahmad hanya bertemankan gemulah bidan Timah yang memang terkenal di Kampung
Pindang sebagai penyambut kelahiran bayi. Berhari-hari Akob tidak pulang,
sehinggalah akhirnya Samad datang ke rumahnya memberitahu sampan kolek Akob
ditemui di pinggiran pantai.
Nafasnya
seolah-olah terhenti mendengar khabar itu, jantungnya bagi terjatuh dan
berkecai di tanah, mulutnya terkunci rapat tidak bersuara, mengalir laju air
mata syahdunya. Dia tidak menyangka, Akob akhirnya pergi tanpa sempat melihat
dan mengazankan Ahmad. Tidak sempat meraikan kegembiraan mereka mendapat cahaya
mata dan lebih memilukan, lautan tempat Akob mencari rezeki akhirnya menjadi
pusaranya. Rosnah merenung tubuh kecil Ahmad yang nyenyak tidur, tidak banyak
meragam. Mungkin dia faham, ayahnya sudah tiada. Mungkin juga Ahmad sudah
bertemu ayahnya dalam setiap mimpi yang hadir ketika lenanya.
Jasad
gemulah suaminya tidak pernah dijumpai sehingga kini. Bersemadi di dalam laut
dalam bersama-sama ikan-ikan dan seluruh makhluk lautan. Mujurlah ada ihsan dan
belas gemulah bidan Timah. Rosnah dijaga sebaiknya sepanjang tempoh berpantang.
Gemulah bidan Timah tahu, emosi dan kesihatan Rosnah perlu dijaga serapi yang
mungkin bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, meroyan misalnya.
Rosnah
ke belakang rumah untuk memotong beberapa batang serai, mengambil beberapa
helai daun kunyit dan mengupas kelapa tua yang gugur. Semuanya diambil sahaja
daripada hasil tanamannya yang dijaga kemas dan elok. Dengan kelapa tua yang
ada, dapatlah Rosnah memarut kelapa itu untuk mendapatkan santannya. Diambil
juga kelapa parut yang sudah siap untuk dibuat kerisik. Bahan-bahan mentah
sebegini semuanya diperoleh segar dan percuma sahaja. Berbudi kepada tanah,
itulah anugerah yang dikembalikan, penjimatan.
“Mirul,
kautolong Mak Nah sembelihkan ayam jantan dua ekor dalam reban tu. Aku nak
masak rendang untuk esok,” Rosnah menyapa Amirul, anak jirannya yang cukup
rapat dengan dirinya. Amirul juga pernah menjadi rakan satu sekolah dan rakan
sepermainan dengan Ahmad semasa mereka masih kecil.
“Wah,
bolehlah saya merasa rendang ayam kampung Mak Nah esok. Tapi kenapa dua ekor? Banyak sangat,” Amirul kelihatan
teruja. Memang Mak Nah sudah dianggap seperti saudaranya sendiri. Dia faham
tanggungjawabnya sebagai jiran, dia membantu Mak Nah seadanya. Pada Amirul,
tidak rugi walau sedikitpun tenaga dan masa yang dia korbankan untuk membantu
Rosnah yang hidup sebatang kara.
“Kautolong
sajalah. Jangan banyak tanya. Nanti kau juga boleh makan sepuas-puasnya,”
Rosnah cuba berdalih. Senyuman dilemparkan kepada Amirul setelah anak jirannya
itu sanggup membantu menyembelih ayam-ayam kampungnya.
Rosnah
bersimpuh di atas pangkin di halaman rumahnya. Tangannya tangkas menganyam daun
kelapa muda untuk dibuat sarung ketupat sebelum dimasukkan beras dan direbus sehingga
masak setelah berbuka malam nanti. Sewaktu muda dahulu, ramai penduduk kampung
yang suka menempah ketupat daripada Rosnah. Kata mereka, ketupat Rosnah yang
paling sedap. Kalau dahulu, Ahmad akan selalu membantu dirinya menyiapkan
ketupat. Ahmadlah yang akan mencari daun kelapa muda dan mengutip kayu-kayu api
untuk merebus ketupat. Pada tengah malam hari raya pula, Ahmad jugalah yang
akan ke hulu ke hilir menghantar tempahan ketupat kepada penduduk kampung. Rosnah
cukup senang dengan sikap Ahmad yang ringan tulang itu.
Takbir
raya jelas kedengaran dari surau di hujung kampung. Bunyi mercun meletup-letup
menjadikan kawasan kampung itu riuh rendah sama seperti dahulu. Setiap rumah
pasti dipasang pelita, lampu lip-lap dan perhiasan-perhiasan yang dapat
menambah lagi kemeriahan hari raya. Kalau sekarang, anak-anak kampung akan
pulang dengan kereta mewah, membawa anak-anak dan isteri untuk berhari raya di
kampung.
Rosnah
bersandar di tepi jendela. Daun tingkap sengaja dibiarkan terbuka membenarkan
angin malam mengelus lembut wajahnya. Dia memerhati telatah dan gelagat anak
cucu jirannya bermain bunga api, bergelak ketawa dan berkejar-kejaran penuh
kegembiraan. Hatinya sayu, mengenangkan Ahmad yang sudah bertahun-tahun tidak
pulang ke kampung. Bertahun-tahun juga dia menanti dengan penuh harapan agar
anak tunggalnya itu kembali bertemu dirinya. Dia begitu rindu akan Ahmad,
tetapi hanya dikulum rindu itu di dalam kalbu, diterjemahkan melalui air mata
yang jatuh mengalir selalu.
“Entah
apalah yang kaurajukkan Ahmad. Mak tak marah. Mak dah maafkan kau. Baliklah
Ahmad, baliklah…” Rosnah berbisik sendiri, teresak-esak, sebak dadanya. Sejak kali
terakhir Ahmad keluar dari rumah, sejak itulah dia tidak pernah pulang lagi.
Meninggalkan Rosnah sendirian tanpa khabar dan berita.
“Mak
dah buatkan rendang ayam kampung yang kausuka. Kaumakan la banyak-banyak. Kalau
tak cukup, mak suruh Amirul sembelihkan lagi ayam tu, mak masak untuk kau,” air
matanya kian laju. Butir katanya juga sudah tidak jelas lagi, bercampur-baur
dalam tangis dan kesedihan.
“Mak
dah lama izinkan kauberkelana ke Kuala Lumpur sana. Mak tak pernah halang,
pergilah cari rezeki yang halal,” Rosnah masih bermonolog. Hanya itu yang dapat
dia ungkapkan dalam penantian yang tidak berkesudahan itu. Akhirnya malam itu,
Rosnah terlena dalam kerinduan yang teramat dalam. Sekian lama dia memendam
rasa itu, sekian lama dia menderita jiwa dan raganya.
Tangga
rumah baru sahaja dipijak sebaik pulang daripada menunaikan solat sunat
Aidilfitri. Dia cukup bersyukur dengan rezeki berjaya menyempurnakan Ramadan
sekali lagi dan merayakan hari kemenangan pada 1 Syawal. Amirul menghampiri
Rosnah, bersalaman dan bermaaf-maafan.
“Jom
Mak Nah, saya dengan ibu nak ziarah tanah perkuburan,” ajak Amirul bersahaja.
“Kubur
siapa?” Rosnah bertanya hairan. Amirul mengerutkan dahi.
“Kubur
arwah Ahmad, arwah atuk dan nenek saya, arwah ayah saya. Jom, saya tunggu dalam
kereta,” Amirul terus berjalan menuju kereta, meninggalkan Rosnah
terpinga-pinga. Rosnah terkelu, diam seribu bahasa. Dia seperti baru terkejut
daripada lena.
“Astagfirullahal’azim”
panjang Rosnah beristighfar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan