Sabtu, 29 Disember 2018

PULUT KUNING DAN TANDA KESYUKURAN

Sebenarnya sudah lebih sebulan sejak saya menghadiri majlis konvokesyen yang berlangsung pada 13 November 2018 yang lalu. Mungkin itulah majlis pertama dan terakhir saya yang seumpama itu. Hatta semasa zaman persekolahan pun, saya tidak pernah merasa memakai jubah, mortar dan sebagainya. Mengapa terakhir? Asbab saya belum pernah terfikir untuk meneruskan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi (lagipun pembelajaran sepanjang hayat itu tidak semestinya hanya diukur melalui peringkat pengajian sahaja kan). Malah saya turut percaya, belajar itu juga memerlukan 'passion'. Cukuplah untuk saya mengharungi sebuah jalan kehidupan yang 'diaturkan'. Kini masanya untuk saya membina kehidupan. Saya yakin, saya akan turut belajar lebih banyak perkara baharu dalam fasa kedewasaan sebenar ini.

Alhamdulillah, semuanya sudah selesai walaupun banyak juga cabaran dan halangan yang perlu dihadapi. Mungkin suatu hari nanti, saya akan coretkan tentang kisah tersebut kerana saya masih belum pasti, apakah yang saya mahu kongsikan sebenarnya. Terlalu banyak yang berlegar-legar dalam kepala, tentang perjalanan ke sana, tentang insan yang berhati mulia, tentang sahabat yang besar jiwanya, tentang air mata yang tumpah sentiasa, tentang pilihan, tentang pengakhiran dan macam-macam lagi. Entahlah. Boleh jadi juga, semuanya hanya tersimpan kemas dalam memori ingatan tanpa penzahiran kepada bentuk kata-kata dan tulisan.

Berbalik kepada tajuk entri ini. Pulut kuning dan tanda kesyukuran. Kali terakhir Umi membuat pulut kuning sebagai tanda kesyukuran adalah pada sekitar tahun 2013. Hampir lima tahun yang lalu, selepas saya menerima keputusan peperiksaan SPM. (Maksud saya yang dibuat untuk diagih-agihkan. Kalau yang dibuat untuk makan, banyak kali.) Waktu itu, keputusan yang saya peroleh tidaklah begitu baik. Namun Umi tetap mahu membuat pulut kuning sebagai tanda kesyukuran. Saya turutkan sahaja. Malah saya sendiri perlu memupuk diri untuk belajar bersyukur dengan apa sahaja yang telah saya perolehi. Baik atau tidak, cemerlang atau tidak, meraikan usaha itu adalah perlu kerana kita sendiri tahu tahap dan kemampuan diri kita.

Kali ini, saya pula yang meminta Umi untuk menyediakan pulut kuning sebagai tanda kesyukuran setelah berakhirnya perjalanan panjang saya dalam mendapatkan segulung ijazah dan adik saya yang kebetulan menamatkan diplomanya pada masa yang hampir sama. Sesi konvoksyen kami juga hanya berselang beberapa hari sahaja. Syukur tidak bertembung. Saya berikan sebahagian duit gaji yang memang saya peruntukan untuk tujuan ini bagi membeli segala bahan mentah yang diperlukan. Kami bersama-sama menyediakan pulut, rendang dan membungkus semuanya sebelum diagihkan. Menjelang petang, kami bersama-sama ke rumah jiran-jiran dan saudara-mara untuk diberikan pulut kuning tersebut. Insyaallah, niatnya sebagai meraikan kami adik beradik dan sebagai sedekah agar kegembiraan itu boleh disebarluaskan kepada orang lain.

Mungkin bagi sesetengah orang lain, tidak ada yang istimewa pada pulut kuning itu. Mungkin juga orang sekarang memandang pulut kuning sebagai sekadar juadah untuk dimakan. Benar, saya tidak menafikan. Pulut kuning itu hanyalah makanan. Bukanlah simbol atau lambang kepada apa-apa upacara pun. Malah kalau digantikan pulut kuning itu dengan juadah lain seperti nasi minyak ataupun bihun goreng misalnya, tidak ada masalah pun. Boleh sahaja. Keberkatan itu bukannya terletak pada pulut kuning tetapi pada niat dan keredaan Allah.

Kami sekadar mengusahakan sedikit peluang bersedekah dengan cara pemberian pulut kuning. Harapan kami, semoga Allah kurniakan keberkatan dalam tindakan kami dan memberikan rahmat buat seluruh umat manusia yang sentiasa mendoakan kebaikan buat saudara seagama mereka. Ya, lain orang lain caranya. Ada yang tidak melakukan apa-apa. Ada yang mengadakan kenduri kesyukuran. Ada yang mengadakan majlis doa selamat. Terpulanglah. Tiada kewajipan dan tiada pula pengharaman untuk melakukannya.

Semoga langkah seterusnya nanti sentiasa dipermudahkan walaupun ujian akan hadir sebagai tanda peringatan kepada hamba-hamba-Nya. Oh ya, pulut kuning dan rendang ayam yang Umi buat tidaklah setaraf chef terkemuka, tetapi sudah cukup istimewa dan ekslusif untuk kami sekeluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan