Ahad, 27 Januari 2019

PERCAYALAH SEMUANYA CUKUP

Beberapa hari lepas, saya ada terbaca tentang satu perkara yang cukup menarik. Namun tidak pula saya endahkan sehinggalah saya tersedar, apa yang telah saya baca itu sebenarnya terkena pada diri saya sendiri. Jarang sekali (teramat jarang) saya menukilkan sesuatu yang cukup peribadi dalam ruang sosial yang terlalu meluas capaiannya. Tetapi kali ini saya merasakan keperluan untuk saya berbuat begitu. Tidak kisahlah jika ada yang membacanya, saya harapkan manfaat buat mereka. Jika tidak ada sekalipun, saya cuma mahu menyimpan memori ini sebagai ingatan untuk diri saya suatu masa nanti.

"Dan sesungguhnya Dialah yang memberikan kekayaan dan kecukupan."
Surah an-Najm (53), ayat 48 
(Boleh juga merujuk ayat 43,44 dan 45)

Sekiranya dibuat perbandingan dengan ayat 43,44 dan 45, pastinya kita akan menyatakan pasangan kekayaan ialah kemiskinan walhal firman Allah ini sebaliknya. Lalu fahamlah saya bahawa kita sebenarnya tidak miskin, tetapi kita diberikan kecukupan. Mungkin ada yang masih belum faham situasi kecukupan itu bagaimana. Nanti saya akan ceritakan.

Saya pernah juga membaca kisah-kisah yang tular di Facebook misalnya tentang individu yang diuji dengan ketiadaan wang untuk menyara keluarganya sehinggakan dalam beg duit pun cuma ada wang yang cukup-cukup untuk mengisi minyak kereta sahaja. Kemudian diuji lagi dengan peminta sedekah yang datang secara tiba-tiba. Dek rasa simpati, dihulurkan juga duit yang ada itu. Dia pergi pula ke mesin ATM untuk menyemak baki kalau-kalau cukup untuk dikeluarkan nanti walaupun dia tahu masih terlalu awal untuk menerima gaji pada tarikh berkenaan. Seperti magik yang terjadi selepas doa yang tidak putus-putus, baki duitnya banyak dan cukup untuk digunakan. (Banyak lagi contoh kisah tular yang hampir sama dan yang saya tulis itu hanyalah rangkuman bagi menggambarkan situasinya sahaja.)

Kadang-kadang saya juga tidak percaya dengan magik yang mereka ceritakan. Saya tetap cuba mencari logik yang ada dan bagaimana magik itu berlaku. Pada saya, tidak mungkin semuanya hadir tiba-tiba entah dari mana kan. Lagipun, selalunya tidak diceritakan pula asbab magik itu boleh berlaku. Jadi saya akur. Mungkin penulis sekadar mahu mengangkat iktibar perihal pentingnya berdoa, berkatnya sedekah dan sucinya keikhlasan dalam kehidupan.

Kali ini merupakan kali ketiga saya merasakan kecukupan dan 'sedar' dengan kecukupan yang dikurniakan kepada saya. Sekali lagi saya tegaskan, kisah ini terlalu peribadi dan bukan mahu menuntut sebarang rasa bangga dengan apa yang telah saya lakukan sebelum ini. Saya cuma berkongsi untuk memperlihatkan sisi kecukupan yang dihadiahkan kepada diri saya.

SATU

Sekitar Oktober 2018 yang lalu, saya telah mengumpulkan sedikit simpanan untuk kegunaan semasa majlis konvokesyen saya nanti. Namun ditakdirkan saya terpaksa menggunakan wang simpanan berkenaan untuk urusan adik saya yang lebih penting, lalu menjadikan simpanan saya kembali sifar. Padahal majlis berkenaan hanya lagi sebulan. Saya sendiri tidak tahu dari mana lagi saya boleh kumpulkan semula duit untuk digunakan nanti dalam tempoh yang sangat singkat.

Allah menciptakan kecukupan. Pada bulan berkenaan juga, saya telah disahkan jawatan dan dinaikkan pula ke posisi jawatan yang lebih baik berkuat kuasa serta merta. Syukur. Hanya dengan gaji bulan berkenaan sahaja saya dapat gantikan semula wang yang telah dikumpulkan sebelum ini, malah lebih pula. 

DUA

Bulan seterusnya, saya terpaksa gunakan pula separuh daripada gaji saya untuk urusan Abah yang lebih penting. Baki lagi separuh saya gunakan untuk urusan-urusan rumah yang juga lebih penting daripada keperluan diri saya sendiri sehingga akhirnya saya tidak ada simpanan sementara menunggu gaji bulan seterusnya. Saya tidak pernah pula mengurangkan jumlah wang perbelanjaan untuk Abah dan Umi walaupun saya merasakan cukup terdesak pada waktu itu.

Allah menciptakan kecukupan. Bayaran kerja lebih masa (OT) pada dua bulan sebelum ini dimasukkan ke dalam akaun pada saat saya betul-betul tidak ada sumber perbelanjaan lagi. Syukur. Sempatlah saya gunakan wang yang ada itu sementara menunggu gaji seterusnya.

TIGA

Bulan ini lebih mencabar. Saya perlu mengasingkan sejumlah wang untuk kegunaan keluarga yang seperti yang telah dijanjikan. Tiba-tiba pula ada seorang teman yang meminta untuk meminjam wang. Saya hulurkan sahaja atas rasa percaya yang mendalam. Dan bulan ini juga saya menjangkakan komitmen bayaran bulanan saya akan bermula. Lalu saya telah asingkan semuanya. Menjadikan baki yang tinggal nanti benar-benar menyesakkan nafas saya.

Allah menciptakan kecukupan. Hari ini saya menerima SMS menyatakan komitmen bulanan saya hanya akan bermula pada bulan hadapan. Leganya rasa hati kerana wang yang telah saya asingkan itu boleh saya simpan dan gunakan sekiranya perlu dalam meneruskan hari-hari mendatang.

Ternyata semua ini seperti satu magik! Jujurnya saya sentiasa runsing memikirkan nombor-nombor yang kian berkurang setelah ditolak itu dan ini tetapi saya yakin, Allah ada dan Allah penuh dengan rahman dan rahim-Nya. Saya juga pasti, doa Abah Umi menjadikan kecukupan itu dirasai walaupun pada saat paling getir melanda. 

Setelah saya 'sedar' dengan semua kecukupan ini, saya amat berharap agar Allah terus menjentik hati saya untuk terus bersyukur dengan apa adanya. Dalam usaha pasti ada halangan, dalam halangan akan ada bantuan, dalam bantuan tentu ada penyelesaiannya. Allah yang mengatur semua, menghalang dan memudahkan. 

Percayalah, tidak ada yang 'tidak pernah cukup' melainkan kecukupan yang sebenar-benarnya (dan wang bukanlah satu-satunya elemen kecukupan di dunia ini).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan