Ahad, 7 April 2019

PERMULAAN BAHARU LAGI

Beberapa kali juga Umi bertanya tentang keputusan yang saya buat. Sedikit sebanyak menggugah keyakinan yang telah saya pasakkan dalam hati. Namun saya tekad. Saya perlu berani. Tidak ada berpatah semula melainkan terus ke hadapan dan hadapi apa sahaja yang mendatang.

"Betul ke nak terima kerja baru?"
"Tak sayang ke kerja sekarang?"

Begitulah antara soalan yang Umi lontarkan. Sungguh, ada juga kegusaran apabila diajukan soalan-soalan begitu. Iyalah, saya sendiri belum tahu ketika itu tentang suasana kerja baharu nanti. Entah baikkah, entah selesakah? Saya menjawab dalam keadaan bersahaja. Dua dalam satu, biar Umi yakin dengan keputusan saya dan saya sendiri terpujuk agar yakin dan berserah pada takdir. 

Menghabiskan sebulan terakhir di tempat kerja lama dirasakan cukup bermakna. Terlalu banyak yang difikirkan, tentang masa depan yang belum tentu dan tentang segala-galanya. Sembilan bulan untuk sebuah kerja pertama sebaik sahaja menghabiskan latihan industri adalah satu pengalaman yang cukup mencabar. Malah saya amat menghargai pengalaman itu. Pengajaran yang saya peroleh juga terlalu banyak. Baik daripada pengalaman diri sendiri mahupun daripada perkongsian rakan-rakan tentang jalan dan pilihan yang mereka buat. 

Apapun, cukuplah saya berada di zon selesa yang teramat selesa. Kalau saya teruskan lagi, mungkin nanti saya lupa diri dan akhirnya takut untuk melangkah lagi. Biarlah saya merasai cabaran-cabaran seterusnya yang boleh meningkatkan lagi kematangan dan persediaan saya dalam meneruskan kehidupan sebagai manusia yang dewasa. 

Sudah habis seminggu pertama di tempat kerja baharu. Ketakutan memulakan sesuatu yang baharu telahpun saya tempuhi lagi. Insyaallah, sedikit masa lagi pasti saya akan biasa dengan persekitaran kerja itu. Mendapat rakan sekerja baharu yang rata-ratanya jauh lebih berusia berbanding saya membuatkan saya berasa begitu kerdil. Mereka hebat, malah sudah berkhidmat lebih sepuluh tahun di situ. Sedangkan saya cuma setahun jagung.

Tak mengapalah. Ini perjalanan karier yang saya sedang bina. Semoga semuanya, sentiasa dipermudahkan dan tentunya lebih mudah dengan restu Abah dan Umi yang terus percaya dengan apa sahaja pilihan saya. Amin.