Apalah daya kita untuk mengetahui hal akan datang yang ghaib melainkan percaya dan yakin dengan rahsia Allah. Sehebat manapun kita, batas yang ditetapkan-Nya mengatasi segala-galanya. Cukuplah untuk bersyukur saat bangun pagi, masih hidup lagi dan insan-insan tersayang terus dipinjamkan di sisi. Memasuki hari ke-14 Syawal, suasana raya kian pudar. Rutin harian sudah kembali seperti sedia kala. Beruntung juga, semusim lagi Ramadan dapat dinikmati sehingga ke penghujungnya.
Sesekali, saya berasa begitu
keliru. Keliru dengan hala tuju yang sedang saya lalui. Keliru dengan kehidupan
yang sedang saya bina. Saya menjadi semakin keliru apabila melihat rakan-rakan
lain yang seperti tiada masalah dan gembira dengan kerjaya mereka. Walhal saya
tahu, yang terlihat itu ialah pembohongan mata yang menutupi segala realiti.
Zon-zon yang saya singgahi kini
entah apa namanya. Bukan lagi zon selesa, bukan juga zon kritikal. Ini ialah
zon kerunsingan yang penuh dengan kekeliruan. Saya seperti hilang hala tuju,
tidak membangun dan terus terbantut begitu sahaja. Saya memujuk diri, agar
bersabar dan carilah hikmahnya dengan bertahan. Tetapi apa yang saya mahu
pertahankan? Saya bersabar daripada apa? Apa yang perlu saya hadapi sebenarnya?
Ruang ini seolah-olah kotak putih yang kosong dan tidak berpenjuru. Tak mengapalah.
Hujung bulan ini, saya mengharapkan sesuatu yang lebih mencelikkan, memberi
nafas baru dan mencergaskan semula diri saya yang lesu. Haraplah!
Tempoh hari saya terbaca
perkongsian seorang teman tentang konsep doa. Berdoa, bukan pasaknya pada tangan
yang menadah semata-mata, tetapi memerlukan sokongan usaha yang jitu. Doa
sekadar doa, sama sahaja seperti mengharapkan keajaiban dan magik datang secara
tiba-tiba. Sebaliknya berusahalah untuk apa yang didoakan, carilah jalan penyelesaian,
buatlah apa yang diharapkan, kemudian perindahkan usaha dengan doa.
Insya-Allah, makbullah doa itu dengan kemanisan yang lebih magik dan tidak
terjangka. Namun kita tetap perlu yakin, doa itu kunci dan jalan paling dekat untuk
kita berbicara dengan Allah.
Doakan saya bahagia ya teman-teman! (Selebihnya saya akan berusaha untuk mencipta kebahagiaan.)