Assalamualaikum teman-teman yang budiman. Sudah terlalu lama
saya tidak hadir ke sini, tidak coretkan sesuatu di sini. Tempat yang paling
tenang untuk saya titipkan tinta rasa dari hati yang terdalam. Kalau disoal
tentang rindu, benar saya rindukan tulisan-tulisan saya yang terdahulu. Kalau
ditanya tentang sayang, benar saya sayang dengan semua yang pernah saya mulakan.
Namun saya terpaksa akur dengan segala yang berlaku. Pernah beberapa kali saya
mahu memulakan semula blog ini setelah mengharungi kekecewaan yang teramat
perit, pernah beberapa kali saya cuba sorokkan perihal rasa daripada ungkapan
dan kata-kata, pernah saya mahu hidupkan identiti baharu yang bukan lagi
seperti dahulu.
Akhirnya keinginan saya menjadi nyata apabila nama asal
blog ini yang menjadi url atau alamatnya telah tinggal kenangan semata-mata.
Saya sudah tidak mampu mempertahankan nama itu asbab perkara itu berada di luar
kuasa dan kawalan saya. Banyak sebenarnya yang saya lalui dengan nama dahulu.
Banyak yang saya ingati, baik yang elok mahupun yang buruk. Dengan nama itu,
ada ukhwah yang terjalin. Dengan nama itu juga, ada yang terputus di tengah
jalan. Kesal, tentunya itu yang terbuku dan terpendam saban hari. Saya sekadar
memujuk diri, ada hikmah yang belum terlihat lagi.
Syukur, sekarang saya sudah mempunyai sedikit kelapangan
waktu. Saya berkesempatan untuk mencari semula diri saya yang hilang ditelan
kata-kata duka. Saya mampu bernafas semula dengan udara tahun baharu yang
benar-benar berbeza. Kini saya sudah melangkah ke sebuah dunia nyata dalam
helaian fasa kehidupan yang baharu. Semua yang ada di belakang, tinggal menjadi
pedoman dan pengajaran. Saya hargai semua itu. Hari ini sudah hampir menjengah
pertengahan bulan pertama untuk tahun ini. Saya tidak akan berkira-kira hari
lagi kerana apa sahaja yang mendatang pada hari esok, akan saya hadapi jua
walau tidak rela kerana semua itu hakikat dan lumrah yang tidak boleh
dinafikan. Saya bukan lagi anak kecil yang perlukan pengawasan orang lebih
berusia, saya bukan lagi remaja yang baru mengenal erti cara berdikari, tetapi
saya sudah dewasa dalam menentukan hala tuju dan arah kehidupan saya.
Pada awal tahun baharu ini, saya tidak akan menanamkan apa
jua azam dan harapan. Malah tidak pernah saya memasang azam sebelum-sebelum
ini. Saya cuma mengharapkan sebuah perjalanan yang sentiasa penuh dengan
barakah. Saya mahukan langkah yang lebih baik, jiwa yang lebih berani dan hati
yang lebih murni kerana saya sedang cuba untuk mencantumkan dua hati yang bakal
sebati apabila saya sudah bersedia, dan saya hendak menggembirakan banyak hati
lain yang sudah lama saya tinggalkan dek kelana mempersiapkan masa depan.
Doakan saya supaya Allah mendengar hasrat saya ini. Amin.