Khamis, 28 Mei 2020

KEJANGGALAN PASCARAMADAN

Alhamdulillah. Dalam fasa PKPB ini, Ramadan akhirnya sudahpun melabuhkan tirai. Ailfilfitri juga telah diraikan dengan cara yang benar-benar tidak sama seperti sebelum-sebelumnya. Semua ini bukan suatu bentuk pembaharuan, tetapi hanyalah cara kehidupan yang lebih berdisiplin, teratur dan berperaturan. Kita semua akur menurut apa sahaja arahan, patuh kepada perintah malah tidak berlebih-lebihan dalam apa jua tindakan. Memang benar, banyak yang renyah dan melecehkan. Namun, percayalah bahawa ada hikmah yang kita semua bakal nikmati kelak - kembali kepada kehidupan normal yang dahulu.

Melewati sehari demi sehari, sebenarnya kita sedang distrukturkan semula untuk kembali kepada fitrah (sebenar-benar fitrah). Virus yang dihadirkan ini sebenarnya bencana ghaib. Cuma kita tidak melihat kemusnahan harta benda seperti bencana taufan ataupun Tsunami yang melanda. Maka inilah peluang untuk kita meneliti banyak perkara. Iktibar dalam setiap yang terjadi, ibrah dalam semua yang berlaku.

Sekarang, setiap tingkah laku kita seolah-olah dikawal dengan segala SOP dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Jika ingkar, adalah menjadi kesalahan dan wajar dikenakan tindakan. Melihat kepada diri kita sebagai seorang Muslim pula, bukankah selama ini juga hidup kita sudah dikawal dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah? Malah sudah cukup sempurna perintah Allah buat kita sebagai hamba-Nya. Yang wajib, yang sunat, yang makhruh, yang diberikan rukhsah (kelonggaran) dan sebagainya lengkap untuk kita ikuti sebagai panduan kehidupan.

Rutin kini bukanlah suatu kejanggalan lagi, tetapi hanya perkara yang diamalkan semula setelah sekian lama dilupakan (lalai). Benar, istiqamah itu tidak mudah. Namun tidak pula mustahil untuk diteruskan dan menjadi pegangan selama hanyat dipinjamkan Tuhan.

Memasuki Syawal ke-5 hari ini, saya masih terkenangkan momen kami sekeluarga berjemaah melakukan solat sunat terawih di rumah. Ya, inilah kali pertama kami berjemaah terawih di rumah (sebelum-sebelum ini hanya di surau dan di masjid). Juga pada pagi hari raya tempoh hari, kami berjemaah melakukan solat sunat Aildilfitri dan bertakbir di rumah sahaja. Sungguh, PKP mengubah pelbagai rutin seharian manusia termasuk kami sekeluarga.

Tentunya, Ramadan tahun hadapan dan yang mendatang masih tidak diketahui untung nasib kita. Cuma saya sentiasa berharap semoga kita dilorongkan ke arah yang lebih baik di mata Allah dan sesama manusia. Amin.

Rabu, 6 Mei 2020

PUASA DAN NORMA BAHARU

Hampir setiap tahun saya melalui Ramadan yang berbeza-beza (sudah tentulah). Maksud saya pengalaman menghadapi bulan puasa dalam suasana yang lain dan di lokasi yang pelbagai. Pada saya, semua ini sesuatu yang indah. Walaupun mungkin tiada apa-apa makna kepada orang lain, tetapi sebenarnya sangat bermakna buat saya. Saya sudah lupa sejak bila saya mula berpuasa. Sama ada sejak umur enam tahun ataupun sesudah memasuki darjah satu. Jadi, di bawah ini ialah jalur masa pengalaman puasa saya;

2001/2002-2007 : Berpuasa di rumah sepenuhnya.
2008-2012 : Sebahagian besar waktunya, berpuasa di asrama dan hanya pulang ke kampung seminggu sebelum raya. Pernah juga terlibat dengan latihan rowing semasa bulan puasa serta berpuasa di rumah kawan di Negeri Sembilan sewaktu balik bermalam.
2013 : Berpuasa di UiTM Shah Alam. Waktu ini kami banyak menghabiskan waktu berbuka di masjid universiti kerana disediakan makanan percuma.
2014 : Tahun ini cukup mencabar. Abah kemalangan semasa bulan puasa dan kami berulang alik ke Kuala Terengganu setiap minggu untuk melawat abah dan umi di hospital. Tahun ini juga saya sedang bekerja di 7-11 (Seven Eleven) dan merasai pengalaman berpuasa semasa bekerja pada shif malam dan petang yang melibatkan waktu bersahur dan berbuka.
2015-2017: Pengalaman berpuasa di UUM lebih menarik. Kami berniaga air teh hijau, memasak juadah untuk berbuka, bersahur ala kadar dan kerap berbuka puasa di luar kolej.
2018: Saya sedang menjalani latihan praktikum di PKNP dan sempat berpuasa di organisasi tersebut. Praktikum saya tamat setelah memasuki hari raya.
2019: Sempat saya berpuasa di Utusan (kerja kedua saya) dan menghadiri jemputan berbuka puasa yang banyak.
2020: Sepatutnya saya berpuasa di PKNP lagi (kali ini saya sebagai kakitangan di sini dan merupakan kerja keempat saya). Walau bagaimanapun, puasa kali ini hadir semasa kita semua sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan yang telahpun memasuki fasa 4 bermula 28 April hingga 12 Mei 2020. Pun begitu, sudah ada banyak kelonggaran untuk fasa kali ini dan berkemungkinan PKP akan ditamatkan dan digantikan pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk suatu tempoh yang lebih panjang.

Kurang lebih sudah 19 kali saya berpuasa merangkumi zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa. Tentu sekali terlalu banyak perbezaan saban tahun dan apa yang saya harapkan ialah penambahbaikan dalam amalan berpuasa saya untuk setiap tahun mendatang. Dengan kata lain, puasa yang lebih baik daripada sebelumnya. 

Yang paling ketara, tahun ini. Bulan puasa yang langsung tidak sama. Tiada kemeriahan seperti sebelum-sebelumnya. Bazar tiada, terawih di masjid tiada, solat di surau dan masjid tiada, orang bekerja juga hampir tiada, malah zakat pun hanya dibayar secara dalam talian. 

Pada saya ada baiknya juga. Pertama kali solat terawih diadakan secara berjemaah di rumah-rumah sahaja. Insya-Allah membawa keberkatan buat seisi rumah. Paling penting, Ramadan tetap diraikan dengan melaksanakan segala suruhan-Nya seperti biasa, cuma dalam norma baharu. Hari ini sudah memasuki hari ke-13 berpuasa. Semoga kita semua diberikan kesempatan menghabiskan Ramadan kali ini sesempurna yang mungkin. Kalau keadaan negara sudah agak stabil, mungkin esok lusa kita semua akan memulakan semula rutin harian seperti sedia kala. Insya-Allah. Salam Ramadan.