Tentunya saya tidak akan melupakan sebuah peluang yang pernah saya terima dahulu. Waktu itu, saya belum cukup dewasa malah saya sedar banyak yang saya kurang fahami tentang kehidupan. Apabila saya imbau semula, sesekali saya rasa terlalu bersyukur untuk kurniaan tersebut. Namun, saya turut menyesali diri ini kerana saya tidak memanfaatkan sepenuhnya masa yang ada ketika itu.
Lima tahun lalu, dalam tempoh waktu sebegini saya tidak menyangka akhirnya saya boleh berpijak di tanah Eropah sana – mengharungi hampir dua minggu tempoh pengembaraan yang cukup sarat dengan pelbagai ilmu dan pengalaman luar biasa yang tidak ada di bumi tanah tumpah darah sendiri. Saya juga diberi kesempatan untuk mengenali beberapa orang insan hebat dalam banyak perkara terutamanya untuk mendepani kehidupan yang terlalu sukar serta berselirat dengan masalah yang tidak diduga.
Sehingga hari ini, saya belum pernah berkongsi sepenuhnya pengalaman yang saya kutip di sana kepada sesiapa. Sekadar memuat naik beberapa keping gambar, menulis coretan ringkas dan menghasilkan beberapa buah cerpen dan puisi berlatarkan negara kembara saya, saya masih belum puas sebenarnya. Setiap kali saya melihat semula koleksi gambar ketika di sana, hati saya seperti meraung-raung mahu menceritakan semula apa yang pernah saya alami. Namun saya tahu, siapalah yang hendak tahu tentang kisah saya yang dahulu.
Lima tahun lalu, terlalu lama garis masa itu. Saya bergelut dengan kebimbangan untuk mengambil keputusan SPM. Antara mahu pulang ke Malaysia dengan kegembiraan kisah kembara atau berduka dengan keputusan yang mungkin tidak seperti yang diharapkan. Satu perkara yang sangat saya syukuri, saya tiba di Malaysia benar-benar sehari sebelum keputusan diumumkan – bemakna saya sempat untuk ke sekolah dan bertemu teman-teman. Tetapi tetap ada kekesalan yang tidak dapat saya lupakan - menjadi budak tidak pandai di sebuah sekolah budak-budak pandai, bukanlah mudah. Tidak mahu saya ceritakan lagi.
Lima tahun lalu, bukanlah penyebab utama kepada siapa saya pada hari ini tetapi tidak saya nafikan, pengalaman dan perjalanan itulah yang mendorong kepada kedudukan serta pencapaian saya pada hari ini. Andai rezeki berpanjangan, saya pasti akan terus melakar keindahan di sebalik apa sahaja kedukaan yang tidak terlihat dek mata-mata orang sekeliling.
Lima tahun akan datang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan