Hari ini sudahpun memasuki 4 Ramadan 1439 Hijrah, hari keempat berpuasa. Tentunya saya merasakan suasana Ramadan yang berbeza pula pada tahun ini. Ada penambahbaikan, ada peningkatan. Baik dari segi perasaan mahupun tindakan. Perlulah untuk saya syukuri peluang ini dengan sepenuh rasa hati. Saya masih sempat menikmati lagi bulan mulia ini. Saya masih dikurniakan rezeki untuk membajai diri dengan amalan yang akan membuahkan pahala dengan percuma. Insya-Allah.
Tahun ini saya berpuasa di tempat kerja. Suasananya lain, perasaannya lain. Lebih-lebih lagi apabila dibenarkan pulang lebih awal setiap hari. Bermakna saya mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan berbuka puasa. Seronok rasanya apabila sudah lama tidak berpuasa di rumah sendiri. Kalau tiga tahun ke belakang, permulaan puasa saya adalah bersama-sama rakan di universiti. Kami memasak bersama-sama, merancang tempat berbuka di sana sini, malah sentiasa penuh dengan aktiviti. Benar, biarpun seronok dengan kawan-kawan, seronok lagi dengan keluarga sendiri.
Saya ada menghadiri ceramah Ramadan di tempat kerja pada hari pertama berpuasa tempoh hari. Kata ustaz (yang saya terlupa namanya), bulan ini ialah bulan rahmat. Allah turunkan rahmat-Nya buat seluruh makhluk di dunia sebanyak-banyaknya. Namun adakah semua orang akan mendapat rahmat itu? Jawapannya tidak. Biarpun rahmat itu luas, hanya yang mencari rahmat Allah akan mendapatnya. Bagi yang tidak mencari pula, kuranglah apa yang dia dapat.
Perumpamaannya seperti apabila kita ke laut. Allah sudah menjadikan jutaan ikan di dalam laut. Namun adakah semua orang yang pergi ke laut akan mendapat ikan itu? Jawapannya tidak. Hanya yang pergi ke laut dengan tujuan menangkap ikan sahaja yang akan mendapat ikan. Nelayan misalnya. Kalau kita sekadar pergi ke laut untuk bercuti di atas kapal mewah, bermain papan luncur, kita tidak akan mendapat ikan pun untuk dibawa pulang.
Maka benarlah bulan ini bulan rahmat. Klise bukan, apabila hanya bulan puasa sahaja manusia berpusu-pusu beribadah, beramal dan menjadi ‘baik’. Kalaupun memang itulah hajatnya manusia, setidak-tidaknya dia telah berusaha mengumpulkan pahala, menghapuskan dosa dan memaksa dirinya untuk meraikan Ramadan dengan sebaiknya. Berjaya memaksa diri untuk beramal ibadat dalam bulan ini, satu kejayaan juga.
Siapa tahu, rahmat dan hidayah Allah tertitis ke dalam hatinya untuk dia istiqamah selama hanyatnya kelak dan dia akan menjadi ahli syurga. Rahsia Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan