Sabtu, 26 Mei 2018

SEPULUH HARI DALAM FASA PERTAMA

Sudahpun menjangkau hari kesepuluh berpuasa. Bermakna sudah sampai ke penghujung fasa pertama bulan mulia ini - fasa kerahmatan. Allah telah turunkan sebanyak-banyaknya rahmat buat seluruh makhluk yang ada. Yang tidak pernah ke masjid, pergi ke masjid. Yang tidak cukup kiraan waktu solatnya, menjadi cukup lima waktu. Yang jarang mengaji, kerap kali membuka dan membaca al-Quran. Yang tidak pernah bersedekah, menjadi pemurah dan dermawan. Yang jualannya tidak laku, mendapat pulangan lumayan. Allah, rahmat itu ada melata di mana-mana sahaja malah kita mampu melihat dengan nyata untuk mengambil ibrah daripadanya. 

Kalau mahu saya sebut lagi, terlalu banyak. Hatta sekecil-kecil perkara sunat yang sebelum-sebelum ini tidak diamalkan selalu menjadi rutin dan amalan. Makanan-makanan sunnah menjadi pilihan pada bulan ini, sedangkan tidak pada bulan-bulan lain. Masjid dan surau meriah dengan kehadiran penduduk sehingga melimpah ruang jemaah. Benar, semua ini ialah fenomena biasa pada bulan Ramadan dan kita menganggapnya normal sahaja. 

“Habis bulan puasa nanti tak adanya nak buat semua tu lagi.” 
“Alah, bulan puasa je semangat lebih.” 
“Alah, kita tengok la nanti lepas puasa.” 

Biarlah. Biar orang mahu kata kita menjadi baik setahun sekali. Biar orang mahu kata kita ini hipokrit dan sebagainya. Lagipun memang hadirnya Ramadan itu setahun sekali. Lebih baik menjadi baik setahun sekali daripada langsung lupa untuk menjadi hamba yang tunduk dan patuh kepada Tuhan. Mungkin banyak dosa yang telah kita kumpul, mungkin banyak amalan yang lompong. Jadi ketika inilah masanya. 

Pernah terfikir kenapa kita mampu melakukan semua itu walaupun hanya ketika Ramadan? Sebabnya Allah masih ada dalam hati dan jiwa kita. Allah masih mengutuskan hidayah untuk kita ingat kepada-Nya. Allah nak suruh kita berubah dan sedar makna ber-Tuhan. Jadi, kumpullah pahala mudah sebanyak-banyak dan semampu yang mungkin. Buatlah apa sahaja amalan yang mampu mendatangkan kebaikan. Insyaallah, terhapus juga dosa-dosa lalu. Hanya Allah yang tahu. Kita berusaha sahaja. 

Dalam tazkirah ringkas semalam, disuruh kita melihat semula sepuluh hari ke belakang. Apakah ada penambahbaikan dalam kehidupan kita berbanding sebelum datangnya bulan Ramadan? Kalau ya, teruskan istiqamah. Kalau tidak, tambahlah lagi dan perbaiki diri. Kita masih mempunyai dua puluh hari ke hadapan untuk kita hadapi. Pastinya kita belum tahu bagaimana kemampuan kita untuk menghadapi baki Ramadan yang bersisa. 

Kalau kita mahu membandingkan amalan yang kita lakukan dengan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, mungkin tidak termampu menandingi mereka. Namun kita masih ada pilihan lain, beramallah seikhlas hati seperti ini ialah Ramadan terakhir!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan