Selasa, 28 Mei 2019

BINA MEMORI BERSAMA RAMADAN

Sebelum solat Isyak semalam, imam bangun dan membuat satu pengumuman. Katanya, solat jenazah akan diadakan selepas selesai solat Isyak nanti. Ada jenazah yang baru selesai disempurnakan. Semua jemaah akur. Usai sahaja, imam terus ke ruang luar masjid dan masuk semula dengan mendukung jenazah seorang bayi. Kecil sahaja, elok dalam balutan kain batik lepas. Semua mata memandang sayu. Suasana masjid agak tenang. Dibaringkan jenazah di hadapan semua jemaah. Jenazah ialah seorang bayi perempuan yang baru sahaja berusia tiga bulan. Kemudian semua jemaah mengambil tempat dan memulakan solat jenazah. Selesai. Para jemaah bersedia untuk bertarawih pula.

Seingat saya, belum pernah saya turut bersama-sama solat jenazah dalam waktu tarawih sepanjang hidup saya. Semalam ialah kali pertama. Kalau di luar waktu tarawih, ada sahaja. Malah di asrama dahulu kerap kali kami akan melakukan solat jenazah ghaib. Secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada kami semua untuk mempelajari dan mempraktikkan ilmu fardu kifayah tersebut.

Seperti kebiasaan di masjid itu, satu tazkirah ringkas akan disampaikan oleh ustaz dan penceramah jemputan selepas selesai empat rakaat pertama tarawih yang mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja. Semalam, ustaz tersebut menyentuh perihal solat jenazah yang baru sahaja dilakukan. Perkongsian olehnya cukup menarik dan membuka mata. Perkongsiannya lebih kurang begini:

"Kita dah solatkan jenazah tadi. Tapi lepas selesai kita tak rasa apa-apa sangat. Tak sedih, tak sebak. Sebab apa? Sebab jenazah tu tak ada kaitan dengan kita. Tak ada hubungan dengan kita. Tak ada memori dengan kita. Bukan keluarga kita, kita tak kenalpun dia. Malah kadang-kadang, apabila orang yang kita kenal meninggal pun, kita tak rasa apa-apa. Kenapa sebenarnya? Sebab kita tak ada kenangan, kita tak ada apa-apa yang istimewa dengannya."

"Samalah macam Ramadan. Kurang sepuluh hari lagi, Ramadan akan meninggalkan kita. Kita sedih tak? Kita berduka tak? Atau kita gembira? Memang hari raya untuk kita bergembira. Gembira kerana berjaya melakukan sebanyak mungkin ibadat dalam bulan Ramadan. Gembira sebab hari kemenangan dan keraian. Kalau orang yang betul-betul menikmati Ramadan, dia akan sedih sebab Ramadan akan pergi dan gembira dengan usahanya dalam bulan tersebut. Kalau yang sebaliknya, dia tak akan rasa apa-apa bila Ramadan nak pergi. Sebab dia tak bina hubungan dengan Ramadan. Dia tak mencipta kenangan manis dalam bulan Ramadan. Jadi, penuhkanlah 10 malam terakhir ni. Bina hubungan, bina kenangan supaya kita akan sentiasa ingat dan rindu dengan Ramadan ini."

Ya, benar apa yang ustaz tersebut kongsikan. Kita selalu risau jika inilah Ramadan terakhir, tetapi sudahkah kita memastikan Ramadan ini menjadi yang terbaik dan sentiasa lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Sebenarnya apa yang kita rindukan dalam Ramadan? Bazar, makanan, pakaian baru, persiapan raya? Atau kita rindukan peluang untuk memenuhkan ruang keberkatan yang Allah kurniakan? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri. 

Setiap hari ada sahaja berita kematian yang kita lihat dan dengar. Baik yang secara lumrah kehidupan (penyakit) mahupun secara takdir yang mengejutkan (kemalangan dan sebagainya). Terlalu banyak pengajaran yang kita boleh jadikan iktibar, ambil dan sematkan dalam diri. Kisah-kisah yang tular, komen-komen yang ditulis, cerita yang dikongsikan, semuanya penuh dengan kebaikan sahaja. Disebut-disebut oleh ramai orang sehingga kita menjadi kagum dengan kebaikan yang mereka lakukan. 

Esok lusa, akan tiba masa kita pula. Yang masih menjadi rahsia ialah cara pengakhirannya. 



Jumaat, 17 Mei 2019

MENGUBAT DUKA DENGAN GEMBIRA

Memasuki fasa sepuluh kedua Ramadan iaitu fasa pengampunan. Terlalu cepat masa berlalu. Setiap hari saya akan ke tempat kerja dengan sedikit kerisauan. Mengharapkan Allah mengurniakan kesembuhan dan kekuatan buat permaisuri hati kami. Sehingga hari ini pun, masih belum kebah sepenuhnya tetapi menunjukkan keadaan yang bertambah baik. Waktu berbuka puasa dan bersahur kami juga cukup sederhana. Juadah pun ala kadar sahaja tetapi memadai untuk mengenyangkan satu keluarga. Semoga ada hikmah dan ganjaran buat kami. 

Melalui situasi-situasi seperti ini cukup memberatkan jiwa. Namun kehidupan perlu diteruskan kerana Allah ada untuk menjaga dan doa menjadi peneman paling setia. Kata orang, kita akan gembira apabila orang lain gembira. Maka itulah yang saya sedang cuba lakukan malah sentiasa diamalkan. Tidaklah saya bersedih, cuma terpendam resah yang belum sudah.

Tahun ini, saya nekad untuk menghasilkan sendiri kad raya buat teman-teman dan kenalan. Saya lakarkan sendiri lukisan di atas kad tersebut dengan beberapa corak yang sesuai menggunakan warna air. Sungguh, satu kepuasan dicapai apabila saya dapat bermain dengan warna dan menghasilkan sesuatu yang saya suka. Memang setiap tahun, saya akan mengirimkan kad raya dalam suatu kuantiti kecil. Cuma, pernah juga ada tahun-tahun tertentu yang saya tidak sempat melakukannya. Mungkin atas faktor masa yang suntuk ketika itu. 

Tidaklah banyak kad yang dapat dikirimkan. Bahkan, hanya beberapa sahaja dan tentunya saya tidak mampu untuk menghantarkannya kepada semua kenalan saya yang mencecah ribuan orang. Saya juga perlu akur dengan kos untuk melakukan semua itu. Cukuplah sekadar ada dan mengikut bajet yang telah saya peruntukkan. Jika ada kenalan yang tidak menerima kad raya daripada saya, mohon maafkan saya seadanya. Bagi yang menerimanya pula, saya mengharapkan pemberian kecil itu mampu mengukir senyum dan menggembirakan kalian. Itulah yang saya mahu dan tidak lebih daripada itu.

Semoga kita dapat menghabiskan Ramadan dengan kegembiraan hendaknya. Salam ingatan buat semua.

Jumaat, 10 Mei 2019

MENILAI DIRI SEMASA BERPUASA

Syukur Alhamdulillah. Hari ini sudah masuk hari ke-5 berpuasa untuk tahun ini, 1440H/2019. Tidak banyak yang berubah berbanding tahun lepas. Cuma keseronokan kini ialah saya boleh berpuasa di rumah, bersahur dan berbuka bersama-sama keluarga. Tahun ini merupakan tahun ke-2 saya berpuasa dalam suasana bekerja setelah menamatkan pengajian di negeri orang. Mengikut pengalaman saya berpuasa yang saya ingat (tidak termasuk pada zaman sekolah rendah), lima tahun saya berpuasa di asrama - Putrajaya, setahun di kolej - Shah Alam, setahun dalam keadaan musafir dan bekerja separuh masa secara syif (tahun ini melalui ujian terbesar apabila abah mengalami kemalangan teruk pada hari ke-3 berpuasa), tiga tahun di universiti - Sintok, Kedah (saya mengalami batuk teruk sepanjang Ramadan dalam tahun ke-3) dan dua tahun di rumah sendiri semula.

Pengalaman berbuka dan bersahur saya lebih banyak dengan teman-teman berbanding keluarga sendiri memandangkan saya tinggal di asrama dan berhijrah semasa melanjutkan pengajian. Dua hari lepas, saya sekali lagi diuji dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik. Saya mengalami selesema dan batuk yang betul-betul menyesakkan dada. Badan terasa begitu lemah dan penat sepanjang tempoh berpuasa. Saya cukup risau sekiranya batuk saya berterusan seperti yang pernah saya alami di universiti dahulu. Mujurlah hari ini sedikit kebah. Selesema sudah hilang dan hanya batuk masih bersisa. 

Ternyata, nikmat kesihatan tersangatlah berharga. Sekali sahaja Allah uji dengan gangguan kesihatan, banyak perkara yang terganggu. Bangun pagi dalam keadaan lemah, nafas tercungap-cungap, tekak terasa kering dan sakit, malah untuk membaca al-Quran dan berterawih juga cukup menyeksakan tubuh yang lesu. Saya pasti, semua ujian ini hanyalah semata-mata untuk diampun dosa-dosa lalu dan sebagai pengajaran buat yang lain. Sentiasalah jaga kesihatan dan ingat kepada Allah dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Jika mahu dibandingkan ujian saya dengan orang lain, ujian orang lain jauh lebih berat dan membebankan. Bukan sahaja diuji dengan kesihatan, malah melibatkan nyawa insan tersayang. 

Ada kalanya saya terfikir, cukupkah amalan yang dibuat sepanjang bulan ini? Betulkah apa yang dilaksanakan? Sudah ikhlaskah niat saya dalam melakukan apa-apa sahaja ibadat sepanjang Ramadan? Saya sendiri tidak mampu menilai keikhlasan itu dan sebenarnya puasa itu ialah rahsia Allah dengan hamba-Nya. Cuma saya berdoa dan berharap Allah menerima setiap kebaikan yang kita semua lakukan. Allah memberkati setiap amalan yang kita laksanakan. Dan Allah mengampun dosa-dosa yang pernah kita lakukan. 

Melihat persekitaran Ramadan, banyak yang boleh kita pelajari. Ambil iktibar daripada apa sahaja yang ditunjukkan kepada kita dan berusahalah memperbaikinya. Walaupun kita ini menjadi Muslim sebaik sahaja dilahirkan, mudah-mudahan Allah pasakkan hati kita pada jalan Islam selama-lamanya tanpa dipesongkan sedikitpun. Meski sifat hati ini berbolak-balik, ada yang Maha Berkuasa yang mampu mengubah sifat itu. Berdoalah selalu. Insyaallah, kita sentiasa mencuba menjadi yang terbaik walaupun tersungkur berkali-kali kerana pintu taubat manusia tidak pernah tertutup melainkan mati dan kiamat.

Semoga kita menjadi orang yang bersabar dan terus istiqamah dalam setiap kebaikan yang kita amalkan. Takziah buat seorang teman yang baru sahaja kehilangan ayahnya beberapa hari yang lalu. Juga buat semua umat Islam yang pergi dalam bulan penuh kemuliaan ini.