Jumaat, 10 Mei 2019

MENILAI DIRI SEMASA BERPUASA

Syukur Alhamdulillah. Hari ini sudah masuk hari ke-5 berpuasa untuk tahun ini, 1440H/2019. Tidak banyak yang berubah berbanding tahun lepas. Cuma keseronokan kini ialah saya boleh berpuasa di rumah, bersahur dan berbuka bersama-sama keluarga. Tahun ini merupakan tahun ke-2 saya berpuasa dalam suasana bekerja setelah menamatkan pengajian di negeri orang. Mengikut pengalaman saya berpuasa yang saya ingat (tidak termasuk pada zaman sekolah rendah), lima tahun saya berpuasa di asrama - Putrajaya, setahun di kolej - Shah Alam, setahun dalam keadaan musafir dan bekerja separuh masa secara syif (tahun ini melalui ujian terbesar apabila abah mengalami kemalangan teruk pada hari ke-3 berpuasa), tiga tahun di universiti - Sintok, Kedah (saya mengalami batuk teruk sepanjang Ramadan dalam tahun ke-3) dan dua tahun di rumah sendiri semula.

Pengalaman berbuka dan bersahur saya lebih banyak dengan teman-teman berbanding keluarga sendiri memandangkan saya tinggal di asrama dan berhijrah semasa melanjutkan pengajian. Dua hari lepas, saya sekali lagi diuji dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik. Saya mengalami selesema dan batuk yang betul-betul menyesakkan dada. Badan terasa begitu lemah dan penat sepanjang tempoh berpuasa. Saya cukup risau sekiranya batuk saya berterusan seperti yang pernah saya alami di universiti dahulu. Mujurlah hari ini sedikit kebah. Selesema sudah hilang dan hanya batuk masih bersisa. 

Ternyata, nikmat kesihatan tersangatlah berharga. Sekali sahaja Allah uji dengan gangguan kesihatan, banyak perkara yang terganggu. Bangun pagi dalam keadaan lemah, nafas tercungap-cungap, tekak terasa kering dan sakit, malah untuk membaca al-Quran dan berterawih juga cukup menyeksakan tubuh yang lesu. Saya pasti, semua ujian ini hanyalah semata-mata untuk diampun dosa-dosa lalu dan sebagai pengajaran buat yang lain. Sentiasalah jaga kesihatan dan ingat kepada Allah dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Jika mahu dibandingkan ujian saya dengan orang lain, ujian orang lain jauh lebih berat dan membebankan. Bukan sahaja diuji dengan kesihatan, malah melibatkan nyawa insan tersayang. 

Ada kalanya saya terfikir, cukupkah amalan yang dibuat sepanjang bulan ini? Betulkah apa yang dilaksanakan? Sudah ikhlaskah niat saya dalam melakukan apa-apa sahaja ibadat sepanjang Ramadan? Saya sendiri tidak mampu menilai keikhlasan itu dan sebenarnya puasa itu ialah rahsia Allah dengan hamba-Nya. Cuma saya berdoa dan berharap Allah menerima setiap kebaikan yang kita semua lakukan. Allah memberkati setiap amalan yang kita laksanakan. Dan Allah mengampun dosa-dosa yang pernah kita lakukan. 

Melihat persekitaran Ramadan, banyak yang boleh kita pelajari. Ambil iktibar daripada apa sahaja yang ditunjukkan kepada kita dan berusahalah memperbaikinya. Walaupun kita ini menjadi Muslim sebaik sahaja dilahirkan, mudah-mudahan Allah pasakkan hati kita pada jalan Islam selama-lamanya tanpa dipesongkan sedikitpun. Meski sifat hati ini berbolak-balik, ada yang Maha Berkuasa yang mampu mengubah sifat itu. Berdoalah selalu. Insyaallah, kita sentiasa mencuba menjadi yang terbaik walaupun tersungkur berkali-kali kerana pintu taubat manusia tidak pernah tertutup melainkan mati dan kiamat.

Semoga kita menjadi orang yang bersabar dan terus istiqamah dalam setiap kebaikan yang kita amalkan. Takziah buat seorang teman yang baru sahaja kehilangan ayahnya beberapa hari yang lalu. Juga buat semua umat Islam yang pergi dalam bulan penuh kemuliaan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan