Sebelum solat Isyak semalam, imam bangun dan membuat satu pengumuman. Katanya, solat jenazah akan diadakan selepas selesai solat Isyak nanti. Ada jenazah yang baru selesai disempurnakan. Semua jemaah akur. Usai sahaja, imam terus ke ruang luar masjid dan masuk semula dengan mendukung jenazah seorang bayi. Kecil sahaja, elok dalam balutan kain batik lepas. Semua mata memandang sayu. Suasana masjid agak tenang. Dibaringkan jenazah di hadapan semua jemaah. Jenazah ialah seorang bayi perempuan yang baru sahaja berusia tiga bulan. Kemudian semua jemaah mengambil tempat dan memulakan solat jenazah. Selesai. Para jemaah bersedia untuk bertarawih pula.
Seingat saya, belum pernah saya turut bersama-sama solat jenazah dalam waktu tarawih sepanjang hidup saya. Semalam ialah kali pertama. Kalau di luar waktu tarawih, ada sahaja. Malah di asrama dahulu kerap kali kami akan melakukan solat jenazah ghaib. Secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada kami semua untuk mempelajari dan mempraktikkan ilmu fardu kifayah tersebut.
Seperti kebiasaan di masjid itu, satu tazkirah ringkas akan disampaikan oleh ustaz dan penceramah jemputan selepas selesai empat rakaat pertama tarawih yang mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja. Semalam, ustaz tersebut menyentuh perihal solat jenazah yang baru sahaja dilakukan. Perkongsian olehnya cukup menarik dan membuka mata. Perkongsiannya lebih kurang begini:
"Kita dah solatkan jenazah tadi. Tapi lepas selesai kita tak rasa apa-apa sangat. Tak sedih, tak sebak. Sebab apa? Sebab jenazah tu tak ada kaitan dengan kita. Tak ada hubungan dengan kita. Tak ada memori dengan kita. Bukan keluarga kita, kita tak kenalpun dia. Malah kadang-kadang, apabila orang yang kita kenal meninggal pun, kita tak rasa apa-apa. Kenapa sebenarnya? Sebab kita tak ada kenangan, kita tak ada apa-apa yang istimewa dengannya."
"Samalah macam Ramadan. Kurang sepuluh hari lagi, Ramadan akan meninggalkan kita. Kita sedih tak? Kita berduka tak? Atau kita gembira? Memang hari raya untuk kita bergembira. Gembira kerana berjaya melakukan sebanyak mungkin ibadat dalam bulan Ramadan. Gembira sebab hari kemenangan dan keraian. Kalau orang yang betul-betul menikmati Ramadan, dia akan sedih sebab Ramadan akan pergi dan gembira dengan usahanya dalam bulan tersebut. Kalau yang sebaliknya, dia tak akan rasa apa-apa bila Ramadan nak pergi. Sebab dia tak bina hubungan dengan Ramadan. Dia tak mencipta kenangan manis dalam bulan Ramadan. Jadi, penuhkanlah 10 malam terakhir ni. Bina hubungan, bina kenangan supaya kita akan sentiasa ingat dan rindu dengan Ramadan ini."
Ya, benar apa yang ustaz tersebut kongsikan. Kita selalu risau jika inilah Ramadan terakhir, tetapi sudahkah kita memastikan Ramadan ini menjadi yang terbaik dan sentiasa lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Sebenarnya apa yang kita rindukan dalam Ramadan? Bazar, makanan, pakaian baru, persiapan raya? Atau kita rindukan peluang untuk memenuhkan ruang keberkatan yang Allah kurniakan? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.
Setiap hari ada sahaja berita kematian yang kita lihat dan dengar. Baik yang secara lumrah kehidupan (penyakit) mahupun secara takdir yang mengejutkan (kemalangan dan sebagainya). Terlalu banyak pengajaran yang kita boleh jadikan iktibar, ambil dan sematkan dalam diri. Kisah-kisah yang tular, komen-komen yang ditulis, cerita yang dikongsikan, semuanya penuh dengan kebaikan sahaja. Disebut-disebut oleh ramai orang sehingga kita menjadi kagum dengan kebaikan yang mereka lakukan.
Esok lusa, akan tiba masa kita pula. Yang masih menjadi rahsia ialah cara pengakhirannya.
singgah selasa
BalasPadam