Sabtu, 23 November 2019

SETAHUN PASCAKONVOKESYEN

Dalam tidak sedar, hampir tiga bulan saya membiarkan laman ini sepi. Saya kira tempoh itu juga sebenarnya satu tempoh yang cukup mencabar. Pelbagai perkara yang terjadi baik yang menggembirakan ataupun yang mendukacitakan. Dari sehari ke sehari saya merencanakan sesuatu untuk ditulis, tetapi masa tidak berpihak kepada saya. Maka, saya akan sekadar mencoretkan rangkuman ringkas untuk setiap bulan yang telah ditinggalkan yang kini menjadi sejarah. Jalur cerita ini, hanyalah sebagai ingatan kepada diri saya sendiri. 

Ogos - kelapangan masa yang ada memberikan saya peluang yang amat saya syukuri. Saya memberikan tumpuan sepenuhnya dalam melakukan latihan untuk sayembara deklamasi puisi yang akan saya sertai. Apa-apa sahaja ilmu yang dikongsikan, saya pegang dan hadamkan. Terima kasih buat insan-insan yang banyak membantu. Natijahnya, rezeki menjadi milik saya. Dinobatkan sebagai johan dalam sayembara tersebut - secara automatik akan mewakili Pahang ke peringkat kebangsaan.

September - persiapan rapi dilakukan. Busana dicari. Teks sajak dihafal semampunya. Lalu berentaplah kami kami di bumi Melaka. Satu impian yang amat saya dambakan, cuma sayangnya belum dapat bertemu dengan insan-insan yang saya rindukan. Sungguhpun begitu, kali ini saya mempelajari erti penerimaan. Perlunya menghormati sesama sendiri dan lebih penting berlapang dadalah. 

Bulan kemerdekaan yang masih rancak disambut di sana sini memberi saya rezeki untuk dijemput ke beberapa buah sekolah bagi mendeklamasikan sajak. Saya amat menghargai jemputan-jemputan tersebut. Cukup dua bulan saya rasa terperangkap dalam satu momentum pertandingan yang amat mendebarkan.

Oktober - awalnya dirasakan begitu mendung. Saya amat kabur dengan hala tuju kerjaya saya. Kami semua seolah-olah menanti perkara yang tak akan kunjung tiba. Kerisauan saya ada benarnya. Suatu pagi yang tawar, kami menerima notis pemberhentian kerja serta-merta. Semuanya, seluruh negara, tak ada yang terkecuali. Detik hitam yang perit dan pedih. Tiada jaminan hatta sekecil-kecil biji sawi. Akur semuanya.

Dalam urusan akhir bekerja, takdir saya kehilangan telefon bimbit  akibat kecuaian dalam kesibukan. Tercicir dan dalam tempoh 15 minit sudah tiada - tidak dapat dihubungi. Waktu itu jugalah ada terlalu banyak urusan penting perlu diselesaikan dalam masa terdekat. Setelah empat tahun digunakan, kini saya memiliki sebuah telefon bimbit baharu. Rezeki juga. 

Sisa Oktober dihabiskan dengan penuh tanda tanya. Entah apa nasib kami. Hari ini bekerja, esoknya tak ada kerja. Setiap hari menjadi penantian tanpa jawapan. Runsing, amat runsing.

November - kami dikejutkan dengan kemalangan maut yang melihatkan seorang ayah saudara saya. Cukup menghibakan. Cuma yang akan saya ingat sampai bila-bila ialah buat pertama kami saya terlibat dalam pengurusan jenazah dari awal sehingga selesai dikebumikan. Satu ilmu yang amat bermakna dan Insya-Allah bermanfaat suatu hari nanti. Setiap kali berlaku kematian ahli keluarga, selalunya saya berada jauh di negeri orang.

Baru-baru ini pula, saya diuji apabila pitam di tempat awam. Mujurlah sudah sempat menghentikan motosikal. Mungkin saya hanya pitam beberapa saat kerana saat saya tersedar, saya sudah terbaring di tepi motosikal dan ada orang awam yang cuba membantu saya. Lalu saya bangun dan berehat dalam ruang pasar raya di situ sebelum ahli keluarga sampai dan membawa saya pulang. Luka di mulut dan kesakitan gigi akibat terhantuk masih belum sembuh sepenuhnya. Sungguh Allah menjaga saya. Alhamdulillah.

Hari ini sudah masuk minggu ketiga saya berkhidmat di tempat kerja baharu. Alhamdulillah. Banyak yang perlu saya pelajari lagi terutama sekali apabila memegang jawatan yang agak besar tanggungjawabnya. Untuk membiasakan diri di tempat kerja baharu, tentunya satu cabaran yang sentiasa menghantui diri setiap hari. Tetapi, alah bisa tegal biasa. Sedikit masa lagi, pasti saya akan okay semula. 

Saya tidak pernah menyangkakan permulaan karier saya begini. Mencabar dan penuh dengan liku-liku. Sungguh, semua ini menjadi pengalaman yang amat berharga buat diri saya. Tidak semua perkara yang kita mahu, kita akan dapat. Malah ada masanya, yang kita tidak minta pula yang hadir menyapa. Inilah fasa pengajaran terbesar untuk saya setakat ini - perlu berlapang dada selapang-lapangnya, perlu menerima seadanya. Ya, seadanya! 

Buat teman-teman lain, saya sentiasa mendoakan ada rezeki kerja juga buat kalian - atau paling tidak pun dipermudahkan urusan kehidupan mendatang kalian. Dalam kesempitan yang saya rasai, saya pasti teman-teman lain juga jauh lebih sempit dan terhimpit. Cuma, ingatlah jangan pernah berputus asa. Allah mendengar apa sahaja, mintalah.

Cukup dahulu setakat ini. Entah bila pula saya akan kembali. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tidak, tahun depan kita bersua semula jika Allah izinkan pinjaman hayat senafas dua lagi. Amin.


Khamis, 15 Ogos 2019

KATA-KATA PERLU BERNYAWA

Membaca kisah-kisah tular di media sosial dan perkongsian duka daripada individu-individu yang tidak dikenali lebih menyentuh hati sebenarnya. Rasa sedih, simpati, marah dan sebagainya hadir bersama-sama pembacaan tersebut. Kadang-kadang saya sendiri merasakan setiap cerita itu hidup dan setiap perkataannya bernyawa. 

Ada masanya, saya akan membaca semula tulisan-tulisan saya di medium-medium yang saya gunakan. Kemudian saya mula merasakan bahawa perkongsian saya cukup hambar. Rasanya tawar, malah tidak memberi pengajaran pun. Saya seolah-olah cuba untuk meluahkan, tetapi tetap bersembunyi dengan lapisan kata-kata yang entah difahami atau tidak. 

Namun, saya tidak menafikan. Apa sahaja yang saya cuba kongsikan hanya bersifat permukaan, terlalu umum dan langsung tidak mendalam. Pada saya, tidak perlu untuk saya ceritakan secara terperinci kerana saya tidak mahu orang tahu kebenaran. Cukuplah diri saya yang menyimpan apa jua kegembiraan mahupun kedukaan seorang diri. Kalau saya kongsikan pun, tidak sepenuhnya. 

Saya bukannya mahu menjadi public figure, influencer ataupun artis yang terkenal dengan tulisan-tulisan tular. Saya cuma menulis untuk diri saya - juga kepada mereka yang membacanya melalui medium-medium yang berbeza. Maka tidak perlulah saya berusaha untuk itu kan. Saya tahu khalayak pembaca tulisan saya biarpun tidak mengenali mereka. 

Saya sedar. Mungkin saya belum cukup jujur dalam menulis. Saya tidak begitu ikhlas berkongsi. Sebab itulah semuanya tampak biasa dan hambar sahaja. Jujur tidak bermakna segala-galanya perlu ditulis dan dikongsikan, tetapi jujur dengan diri. Apabila dibaca, ada nyawa yang menghidupkan perkataan-perkataan itu. Ada roh yang meresap ke dalam jiwa pembaca. 

Entahlah. Saya fikir, perjalanan kehidupan kedewasaan saya yang menghakis kejujuran itu kerana suatu masa dulu saya pernah menjadi penulis yang begitu jujur, saya juga pernah menjadi penulis yang tidak kisah dengan sesiapa pun, malah saya pernah menjadi penulis yang bertopengkan kata-kata. Kini, saya lebih berhati-hati dan terus berwaspada. 

Bulan lepas, genap usia saya 24 tahun. Ulang tahun hari kelahiran yang tidak semeriah dahulu, tetapi sentiasa bermakna dengan ingatan daripada ahli keluarga yang selama-lamanya. Terima kasih buat seluruh teman serta kenalan yang memberikan ucapan selamat, tentunya ingatan kalian itu merupakan satu penghargaan buat diri saya dan saya amat bersyukur untuk itu. Oh ya, Umi dan adik saya menghadiahi saya sebuah almari baru. Kakak saya memberi saya buku dan ada seorang teman yang menghantarkan sebiji kek sehingga ke depan rumah. Seperti biasa juga, kami sekeluarga pergi makan ikan bakar bersama-sama, meraikan hari jadi saya dan ulang tahun perkahwinan Abah dan Umi yang jaraknya hanya selang beberapa hari sahaja.

Insya-Allah, doa kami agar semuanya mendapat keberkatan hidup dan dikurniakan rahmat Allah sebanyak-banyaknya. Amin. 

Rabu, 3 Julai 2019

OF ADULTHOOD

This is my really first English posting in this blog. I don't know why, but I'm thinking of using English after a very long time not using it. Maybe the words I write are wrong, maybe the sentences are incorrect, but I'll try my best. Not to satisfy my readers, but to polish and improve my writing skill. Hopefully. 

The time had moved really fast. It's July already. I do really love July. Too much memories, sad stories, achievements and important events happened in July. Yesterday was marked as my first anniversary being an adult who had a job to live and start a life. I don't think my career path is too challenging to be compared with others. However, I still have my own story, need to face challenges and go through it with determination. Within the past twelve months, I experienced a few interview sessions which were still countable and not a scary one. I was offered for my first ever job after graduation as a general clerk in the account department. After three months, I passed the probation period excellently and got promoted to a better position. I was really grateful for the achievement. Being on a top while I'm still young is a lucky. I was planning to work there for a year or two just to get working experience. Unfortunately, I only served the company for nine months. Allah plan is better. I got a new job offer which is my recent job. Alhamdulillah. I do believe in my rezeki and my fate. 

Along this period of time, I can see a lot of my friends are struggling developing their life, seeking for a job, dealing with burden and problems, and accepting the fact that reality is hard and difficult. Somehow, I feel blessed because I'm surrounded by great and kind friends. Some of them are now being a doctor, a dentist, a lawyer, an officer, an architect, an entrepreneur, a photographer, an online seller, a wife, a husband, a responsible brother, a caring son, a polite daughter and even an active job seeker. I'm sure and hoping that they're all happy. Despite all the happiness shown, there must be bitterness that are hidden and kept in their heart. Just like me, and you. 

After one year, I'm still climbing the hill and cross the river. Just like ordinary person who jump into adulthood by following the flow of life. I can't afford to buy a house or even a car. I don't even plan to get married as early as now. I can't show my business legacy, I don't own any property, and I am nobody. Yet. What I can ensure now is, at least I've the ability to help Abah and Umi, to let them stay at home, to buy the household items, to pay the bills and to let Abah and Umi stay happy forever. Insya-Allah one day, I'll make them happier. 

Just to recap one of the most popular question during interview session, here it is. Who you are in the next five years from now?

Selasa, 18 Jun 2019

KELIRU

Apalah daya kita untuk mengetahui hal akan datang yang ghaib melainkan percaya dan yakin dengan rahsia Allah. Sehebat manapun kita, batas yang ditetapkan-Nya mengatasi segala-galanya. Cukuplah untuk bersyukur saat bangun pagi, masih hidup lagi dan insan-insan tersayang terus dipinjamkan di sisi. Memasuki hari ke-14 Syawal, suasana raya kian pudar. Rutin harian sudah kembali seperti sedia kala. Beruntung juga, semusim lagi Ramadan dapat dinikmati sehingga ke penghujungnya.

Setiap hari ketika saya ke tempat kerja, langit akan menemani saya dengan pelbagai rupa. Ada masanya cerah, ada masanya mendung dan redup sahaja. Kadang-kadang, matahari menyelit dan membuatkan saya begitu silau. Saya akan bertembung dengan ramai manusia lain yang turut berpusu-pusu ke tempat kerja dengan pakaian seragam yang tersendiri. Saya yakin, semuanya sedang berjuang untuk terus mendapatkan rezeki demi keluarga dan diri sendiri.

Sesekali, saya berasa begitu keliru. Keliru dengan hala tuju yang sedang saya lalui. Keliru dengan kehidupan yang sedang saya bina. Saya menjadi semakin keliru apabila melihat rakan-rakan lain yang seperti tiada masalah dan gembira dengan kerjaya mereka. Walhal saya tahu, yang terlihat itu ialah pembohongan mata yang menutupi segala realiti.

Zon-zon yang saya singgahi kini entah apa namanya. Bukan lagi zon selesa, bukan juga zon kritikal. Ini ialah zon kerunsingan yang penuh dengan kekeliruan. Saya seperti hilang hala tuju, tidak membangun dan terus terbantut begitu sahaja. Saya memujuk diri, agar bersabar dan carilah hikmahnya dengan bertahan. Tetapi apa yang saya mahu pertahankan? Saya bersabar daripada apa? Apa yang perlu saya hadapi sebenarnya? Ruang ini seolah-olah kotak putih yang kosong dan tidak berpenjuru. Tak mengapalah. Hujung bulan ini, saya mengharapkan sesuatu yang lebih mencelikkan, memberi nafas baru dan mencergaskan semula diri saya yang lesu. Haraplah!

Tempoh hari saya terbaca perkongsian seorang teman tentang konsep doa. Berdoa, bukan pasaknya pada tangan yang menadah semata-mata, tetapi memerlukan sokongan usaha yang jitu. Doa sekadar doa, sama sahaja seperti mengharapkan keajaiban dan magik datang secara tiba-tiba. Sebaliknya berusahalah untuk apa yang didoakan, carilah jalan penyelesaian, buatlah apa yang diharapkan, kemudian perindahkan usaha dengan doa. Insya-Allah, makbullah doa itu dengan kemanisan yang lebih magik dan tidak terjangka. Namun kita tetap perlu yakin, doa itu kunci dan jalan paling dekat untuk kita berbicara dengan Allah. 

Doakan saya bahagia ya teman-teman! (Selebihnya saya akan berusaha untuk mencipta kebahagiaan.)


Selasa, 28 Mei 2019

BINA MEMORI BERSAMA RAMADAN

Sebelum solat Isyak semalam, imam bangun dan membuat satu pengumuman. Katanya, solat jenazah akan diadakan selepas selesai solat Isyak nanti. Ada jenazah yang baru selesai disempurnakan. Semua jemaah akur. Usai sahaja, imam terus ke ruang luar masjid dan masuk semula dengan mendukung jenazah seorang bayi. Kecil sahaja, elok dalam balutan kain batik lepas. Semua mata memandang sayu. Suasana masjid agak tenang. Dibaringkan jenazah di hadapan semua jemaah. Jenazah ialah seorang bayi perempuan yang baru sahaja berusia tiga bulan. Kemudian semua jemaah mengambil tempat dan memulakan solat jenazah. Selesai. Para jemaah bersedia untuk bertarawih pula.

Seingat saya, belum pernah saya turut bersama-sama solat jenazah dalam waktu tarawih sepanjang hidup saya. Semalam ialah kali pertama. Kalau di luar waktu tarawih, ada sahaja. Malah di asrama dahulu kerap kali kami akan melakukan solat jenazah ghaib. Secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada kami semua untuk mempelajari dan mempraktikkan ilmu fardu kifayah tersebut.

Seperti kebiasaan di masjid itu, satu tazkirah ringkas akan disampaikan oleh ustaz dan penceramah jemputan selepas selesai empat rakaat pertama tarawih yang mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja. Semalam, ustaz tersebut menyentuh perihal solat jenazah yang baru sahaja dilakukan. Perkongsian olehnya cukup menarik dan membuka mata. Perkongsiannya lebih kurang begini:

"Kita dah solatkan jenazah tadi. Tapi lepas selesai kita tak rasa apa-apa sangat. Tak sedih, tak sebak. Sebab apa? Sebab jenazah tu tak ada kaitan dengan kita. Tak ada hubungan dengan kita. Tak ada memori dengan kita. Bukan keluarga kita, kita tak kenalpun dia. Malah kadang-kadang, apabila orang yang kita kenal meninggal pun, kita tak rasa apa-apa. Kenapa sebenarnya? Sebab kita tak ada kenangan, kita tak ada apa-apa yang istimewa dengannya."

"Samalah macam Ramadan. Kurang sepuluh hari lagi, Ramadan akan meninggalkan kita. Kita sedih tak? Kita berduka tak? Atau kita gembira? Memang hari raya untuk kita bergembira. Gembira kerana berjaya melakukan sebanyak mungkin ibadat dalam bulan Ramadan. Gembira sebab hari kemenangan dan keraian. Kalau orang yang betul-betul menikmati Ramadan, dia akan sedih sebab Ramadan akan pergi dan gembira dengan usahanya dalam bulan tersebut. Kalau yang sebaliknya, dia tak akan rasa apa-apa bila Ramadan nak pergi. Sebab dia tak bina hubungan dengan Ramadan. Dia tak mencipta kenangan manis dalam bulan Ramadan. Jadi, penuhkanlah 10 malam terakhir ni. Bina hubungan, bina kenangan supaya kita akan sentiasa ingat dan rindu dengan Ramadan ini."

Ya, benar apa yang ustaz tersebut kongsikan. Kita selalu risau jika inilah Ramadan terakhir, tetapi sudahkah kita memastikan Ramadan ini menjadi yang terbaik dan sentiasa lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Sebenarnya apa yang kita rindukan dalam Ramadan? Bazar, makanan, pakaian baru, persiapan raya? Atau kita rindukan peluang untuk memenuhkan ruang keberkatan yang Allah kurniakan? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri. 

Setiap hari ada sahaja berita kematian yang kita lihat dan dengar. Baik yang secara lumrah kehidupan (penyakit) mahupun secara takdir yang mengejutkan (kemalangan dan sebagainya). Terlalu banyak pengajaran yang kita boleh jadikan iktibar, ambil dan sematkan dalam diri. Kisah-kisah yang tular, komen-komen yang ditulis, cerita yang dikongsikan, semuanya penuh dengan kebaikan sahaja. Disebut-disebut oleh ramai orang sehingga kita menjadi kagum dengan kebaikan yang mereka lakukan. 

Esok lusa, akan tiba masa kita pula. Yang masih menjadi rahsia ialah cara pengakhirannya. 



Jumaat, 17 Mei 2019

MENGUBAT DUKA DENGAN GEMBIRA

Memasuki fasa sepuluh kedua Ramadan iaitu fasa pengampunan. Terlalu cepat masa berlalu. Setiap hari saya akan ke tempat kerja dengan sedikit kerisauan. Mengharapkan Allah mengurniakan kesembuhan dan kekuatan buat permaisuri hati kami. Sehingga hari ini pun, masih belum kebah sepenuhnya tetapi menunjukkan keadaan yang bertambah baik. Waktu berbuka puasa dan bersahur kami juga cukup sederhana. Juadah pun ala kadar sahaja tetapi memadai untuk mengenyangkan satu keluarga. Semoga ada hikmah dan ganjaran buat kami. 

Melalui situasi-situasi seperti ini cukup memberatkan jiwa. Namun kehidupan perlu diteruskan kerana Allah ada untuk menjaga dan doa menjadi peneman paling setia. Kata orang, kita akan gembira apabila orang lain gembira. Maka itulah yang saya sedang cuba lakukan malah sentiasa diamalkan. Tidaklah saya bersedih, cuma terpendam resah yang belum sudah.

Tahun ini, saya nekad untuk menghasilkan sendiri kad raya buat teman-teman dan kenalan. Saya lakarkan sendiri lukisan di atas kad tersebut dengan beberapa corak yang sesuai menggunakan warna air. Sungguh, satu kepuasan dicapai apabila saya dapat bermain dengan warna dan menghasilkan sesuatu yang saya suka. Memang setiap tahun, saya akan mengirimkan kad raya dalam suatu kuantiti kecil. Cuma, pernah juga ada tahun-tahun tertentu yang saya tidak sempat melakukannya. Mungkin atas faktor masa yang suntuk ketika itu. 

Tidaklah banyak kad yang dapat dikirimkan. Bahkan, hanya beberapa sahaja dan tentunya saya tidak mampu untuk menghantarkannya kepada semua kenalan saya yang mencecah ribuan orang. Saya juga perlu akur dengan kos untuk melakukan semua itu. Cukuplah sekadar ada dan mengikut bajet yang telah saya peruntukkan. Jika ada kenalan yang tidak menerima kad raya daripada saya, mohon maafkan saya seadanya. Bagi yang menerimanya pula, saya mengharapkan pemberian kecil itu mampu mengukir senyum dan menggembirakan kalian. Itulah yang saya mahu dan tidak lebih daripada itu.

Semoga kita dapat menghabiskan Ramadan dengan kegembiraan hendaknya. Salam ingatan buat semua.

Jumaat, 10 Mei 2019

MENILAI DIRI SEMASA BERPUASA

Syukur Alhamdulillah. Hari ini sudah masuk hari ke-5 berpuasa untuk tahun ini, 1440H/2019. Tidak banyak yang berubah berbanding tahun lepas. Cuma keseronokan kini ialah saya boleh berpuasa di rumah, bersahur dan berbuka bersama-sama keluarga. Tahun ini merupakan tahun ke-2 saya berpuasa dalam suasana bekerja setelah menamatkan pengajian di negeri orang. Mengikut pengalaman saya berpuasa yang saya ingat (tidak termasuk pada zaman sekolah rendah), lima tahun saya berpuasa di asrama - Putrajaya, setahun di kolej - Shah Alam, setahun dalam keadaan musafir dan bekerja separuh masa secara syif (tahun ini melalui ujian terbesar apabila abah mengalami kemalangan teruk pada hari ke-3 berpuasa), tiga tahun di universiti - Sintok, Kedah (saya mengalami batuk teruk sepanjang Ramadan dalam tahun ke-3) dan dua tahun di rumah sendiri semula.

Pengalaman berbuka dan bersahur saya lebih banyak dengan teman-teman berbanding keluarga sendiri memandangkan saya tinggal di asrama dan berhijrah semasa melanjutkan pengajian. Dua hari lepas, saya sekali lagi diuji dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik. Saya mengalami selesema dan batuk yang betul-betul menyesakkan dada. Badan terasa begitu lemah dan penat sepanjang tempoh berpuasa. Saya cukup risau sekiranya batuk saya berterusan seperti yang pernah saya alami di universiti dahulu. Mujurlah hari ini sedikit kebah. Selesema sudah hilang dan hanya batuk masih bersisa. 

Ternyata, nikmat kesihatan tersangatlah berharga. Sekali sahaja Allah uji dengan gangguan kesihatan, banyak perkara yang terganggu. Bangun pagi dalam keadaan lemah, nafas tercungap-cungap, tekak terasa kering dan sakit, malah untuk membaca al-Quran dan berterawih juga cukup menyeksakan tubuh yang lesu. Saya pasti, semua ujian ini hanyalah semata-mata untuk diampun dosa-dosa lalu dan sebagai pengajaran buat yang lain. Sentiasalah jaga kesihatan dan ingat kepada Allah dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Jika mahu dibandingkan ujian saya dengan orang lain, ujian orang lain jauh lebih berat dan membebankan. Bukan sahaja diuji dengan kesihatan, malah melibatkan nyawa insan tersayang. 

Ada kalanya saya terfikir, cukupkah amalan yang dibuat sepanjang bulan ini? Betulkah apa yang dilaksanakan? Sudah ikhlaskah niat saya dalam melakukan apa-apa sahaja ibadat sepanjang Ramadan? Saya sendiri tidak mampu menilai keikhlasan itu dan sebenarnya puasa itu ialah rahsia Allah dengan hamba-Nya. Cuma saya berdoa dan berharap Allah menerima setiap kebaikan yang kita semua lakukan. Allah memberkati setiap amalan yang kita laksanakan. Dan Allah mengampun dosa-dosa yang pernah kita lakukan. 

Melihat persekitaran Ramadan, banyak yang boleh kita pelajari. Ambil iktibar daripada apa sahaja yang ditunjukkan kepada kita dan berusahalah memperbaikinya. Walaupun kita ini menjadi Muslim sebaik sahaja dilahirkan, mudah-mudahan Allah pasakkan hati kita pada jalan Islam selama-lamanya tanpa dipesongkan sedikitpun. Meski sifat hati ini berbolak-balik, ada yang Maha Berkuasa yang mampu mengubah sifat itu. Berdoalah selalu. Insyaallah, kita sentiasa mencuba menjadi yang terbaik walaupun tersungkur berkali-kali kerana pintu taubat manusia tidak pernah tertutup melainkan mati dan kiamat.

Semoga kita menjadi orang yang bersabar dan terus istiqamah dalam setiap kebaikan yang kita amalkan. Takziah buat seorang teman yang baru sahaja kehilangan ayahnya beberapa hari yang lalu. Juga buat semua umat Islam yang pergi dalam bulan penuh kemuliaan ini.

Ahad, 7 April 2019

PERMULAAN BAHARU LAGI

Beberapa kali juga Umi bertanya tentang keputusan yang saya buat. Sedikit sebanyak menggugah keyakinan yang telah saya pasakkan dalam hati. Namun saya tekad. Saya perlu berani. Tidak ada berpatah semula melainkan terus ke hadapan dan hadapi apa sahaja yang mendatang.

"Betul ke nak terima kerja baru?"
"Tak sayang ke kerja sekarang?"

Begitulah antara soalan yang Umi lontarkan. Sungguh, ada juga kegusaran apabila diajukan soalan-soalan begitu. Iyalah, saya sendiri belum tahu ketika itu tentang suasana kerja baharu nanti. Entah baikkah, entah selesakah? Saya menjawab dalam keadaan bersahaja. Dua dalam satu, biar Umi yakin dengan keputusan saya dan saya sendiri terpujuk agar yakin dan berserah pada takdir. 

Menghabiskan sebulan terakhir di tempat kerja lama dirasakan cukup bermakna. Terlalu banyak yang difikirkan, tentang masa depan yang belum tentu dan tentang segala-galanya. Sembilan bulan untuk sebuah kerja pertama sebaik sahaja menghabiskan latihan industri adalah satu pengalaman yang cukup mencabar. Malah saya amat menghargai pengalaman itu. Pengajaran yang saya peroleh juga terlalu banyak. Baik daripada pengalaman diri sendiri mahupun daripada perkongsian rakan-rakan tentang jalan dan pilihan yang mereka buat. 

Apapun, cukuplah saya berada di zon selesa yang teramat selesa. Kalau saya teruskan lagi, mungkin nanti saya lupa diri dan akhirnya takut untuk melangkah lagi. Biarlah saya merasai cabaran-cabaran seterusnya yang boleh meningkatkan lagi kematangan dan persediaan saya dalam meneruskan kehidupan sebagai manusia yang dewasa. 

Sudah habis seminggu pertama di tempat kerja baharu. Ketakutan memulakan sesuatu yang baharu telahpun saya tempuhi lagi. Insyaallah, sedikit masa lagi pasti saya akan biasa dengan persekitaran kerja itu. Mendapat rakan sekerja baharu yang rata-ratanya jauh lebih berusia berbanding saya membuatkan saya berasa begitu kerdil. Mereka hebat, malah sudah berkhidmat lebih sepuluh tahun di situ. Sedangkan saya cuma setahun jagung.

Tak mengapalah. Ini perjalanan karier yang saya sedang bina. Semoga semuanya, sentiasa dipermudahkan dan tentunya lebih mudah dengan restu Abah dan Umi yang terus percaya dengan apa sahaja pilihan saya. Amin. 

Ahad, 24 Februari 2019

PELUANG TIDAK HADIR DUA KALI

Saya yakin kepada rezeki, saya juga percaya kepada peluang. Baru sahaja minggu lepas, satu peluang dihadirkan kepada saya dalam waktu yang begitu suntuk. Saya tidak perlu berfikir panjang untuk membuat keputusan. Maka, saya kira alasan untuk saya menolak peluang itu sangatlah kukuh. Saya pasti, ada rezeki lain yang akan menyusul dengan pilihan saya itu. 

Pada hari yang sama, peluang itu datang sekali lagi mengetuk pintu diri saya menjelang tengah hari. Seolah-olah peluang kedua diberikan walaupun saya cuba menolaknya seawal pagi. Kali ini saya pasti, rezeki saya untuk mendapat peluang kedua yang jarang terjadi sebenarnya. Maka tanpa berfikir panjang juga, saya memilih untuk menerima peluang itu dengan hati yang terbuka. 

Saya berharap pilihan saya itu menjadi satu sebab untuk Allah lorongkan perjalanan dan langkah saya ke suatu laman kehidupan yang lebih baik. Insyaallah. Saya masih menunggu sehingga tiba masanya. Moga-moga, langkah saya itu diberkati. Kalaupun tidak sekarang, satu masa nanti saya akan pergi jua kerana kita sentiasa mahukan penambahbaikan dan peningkatan taraf kehidupan diri kita ini. 

Doa-doakan rezeki Allah itu meluas dan tempiasnya dianugerahkan buat seluruh teman yang membaca coretan ini. Amin.

Ahad, 27 Januari 2019

PERCAYALAH SEMUANYA CUKUP

Beberapa hari lepas, saya ada terbaca tentang satu perkara yang cukup menarik. Namun tidak pula saya endahkan sehinggalah saya tersedar, apa yang telah saya baca itu sebenarnya terkena pada diri saya sendiri. Jarang sekali (teramat jarang) saya menukilkan sesuatu yang cukup peribadi dalam ruang sosial yang terlalu meluas capaiannya. Tetapi kali ini saya merasakan keperluan untuk saya berbuat begitu. Tidak kisahlah jika ada yang membacanya, saya harapkan manfaat buat mereka. Jika tidak ada sekalipun, saya cuma mahu menyimpan memori ini sebagai ingatan untuk diri saya suatu masa nanti.

"Dan sesungguhnya Dialah yang memberikan kekayaan dan kecukupan."
Surah an-Najm (53), ayat 48 
(Boleh juga merujuk ayat 43,44 dan 45)

Sekiranya dibuat perbandingan dengan ayat 43,44 dan 45, pastinya kita akan menyatakan pasangan kekayaan ialah kemiskinan walhal firman Allah ini sebaliknya. Lalu fahamlah saya bahawa kita sebenarnya tidak miskin, tetapi kita diberikan kecukupan. Mungkin ada yang masih belum faham situasi kecukupan itu bagaimana. Nanti saya akan ceritakan.

Saya pernah juga membaca kisah-kisah yang tular di Facebook misalnya tentang individu yang diuji dengan ketiadaan wang untuk menyara keluarganya sehinggakan dalam beg duit pun cuma ada wang yang cukup-cukup untuk mengisi minyak kereta sahaja. Kemudian diuji lagi dengan peminta sedekah yang datang secara tiba-tiba. Dek rasa simpati, dihulurkan juga duit yang ada itu. Dia pergi pula ke mesin ATM untuk menyemak baki kalau-kalau cukup untuk dikeluarkan nanti walaupun dia tahu masih terlalu awal untuk menerima gaji pada tarikh berkenaan. Seperti magik yang terjadi selepas doa yang tidak putus-putus, baki duitnya banyak dan cukup untuk digunakan. (Banyak lagi contoh kisah tular yang hampir sama dan yang saya tulis itu hanyalah rangkuman bagi menggambarkan situasinya sahaja.)

Kadang-kadang saya juga tidak percaya dengan magik yang mereka ceritakan. Saya tetap cuba mencari logik yang ada dan bagaimana magik itu berlaku. Pada saya, tidak mungkin semuanya hadir tiba-tiba entah dari mana kan. Lagipun, selalunya tidak diceritakan pula asbab magik itu boleh berlaku. Jadi saya akur. Mungkin penulis sekadar mahu mengangkat iktibar perihal pentingnya berdoa, berkatnya sedekah dan sucinya keikhlasan dalam kehidupan.

Kali ini merupakan kali ketiga saya merasakan kecukupan dan 'sedar' dengan kecukupan yang dikurniakan kepada saya. Sekali lagi saya tegaskan, kisah ini terlalu peribadi dan bukan mahu menuntut sebarang rasa bangga dengan apa yang telah saya lakukan sebelum ini. Saya cuma berkongsi untuk memperlihatkan sisi kecukupan yang dihadiahkan kepada diri saya.

SATU

Sekitar Oktober 2018 yang lalu, saya telah mengumpulkan sedikit simpanan untuk kegunaan semasa majlis konvokesyen saya nanti. Namun ditakdirkan saya terpaksa menggunakan wang simpanan berkenaan untuk urusan adik saya yang lebih penting, lalu menjadikan simpanan saya kembali sifar. Padahal majlis berkenaan hanya lagi sebulan. Saya sendiri tidak tahu dari mana lagi saya boleh kumpulkan semula duit untuk digunakan nanti dalam tempoh yang sangat singkat.

Allah menciptakan kecukupan. Pada bulan berkenaan juga, saya telah disahkan jawatan dan dinaikkan pula ke posisi jawatan yang lebih baik berkuat kuasa serta merta. Syukur. Hanya dengan gaji bulan berkenaan sahaja saya dapat gantikan semula wang yang telah dikumpulkan sebelum ini, malah lebih pula. 

DUA

Bulan seterusnya, saya terpaksa gunakan pula separuh daripada gaji saya untuk urusan Abah yang lebih penting. Baki lagi separuh saya gunakan untuk urusan-urusan rumah yang juga lebih penting daripada keperluan diri saya sendiri sehingga akhirnya saya tidak ada simpanan sementara menunggu gaji bulan seterusnya. Saya tidak pernah pula mengurangkan jumlah wang perbelanjaan untuk Abah dan Umi walaupun saya merasakan cukup terdesak pada waktu itu.

Allah menciptakan kecukupan. Bayaran kerja lebih masa (OT) pada dua bulan sebelum ini dimasukkan ke dalam akaun pada saat saya betul-betul tidak ada sumber perbelanjaan lagi. Syukur. Sempatlah saya gunakan wang yang ada itu sementara menunggu gaji seterusnya.

TIGA

Bulan ini lebih mencabar. Saya perlu mengasingkan sejumlah wang untuk kegunaan keluarga yang seperti yang telah dijanjikan. Tiba-tiba pula ada seorang teman yang meminta untuk meminjam wang. Saya hulurkan sahaja atas rasa percaya yang mendalam. Dan bulan ini juga saya menjangkakan komitmen bayaran bulanan saya akan bermula. Lalu saya telah asingkan semuanya. Menjadikan baki yang tinggal nanti benar-benar menyesakkan nafas saya.

Allah menciptakan kecukupan. Hari ini saya menerima SMS menyatakan komitmen bulanan saya hanya akan bermula pada bulan hadapan. Leganya rasa hati kerana wang yang telah saya asingkan itu boleh saya simpan dan gunakan sekiranya perlu dalam meneruskan hari-hari mendatang.

Ternyata semua ini seperti satu magik! Jujurnya saya sentiasa runsing memikirkan nombor-nombor yang kian berkurang setelah ditolak itu dan ini tetapi saya yakin, Allah ada dan Allah penuh dengan rahman dan rahim-Nya. Saya juga pasti, doa Abah Umi menjadikan kecukupan itu dirasai walaupun pada saat paling getir melanda. 

Setelah saya 'sedar' dengan semua kecukupan ini, saya amat berharap agar Allah terus menjentik hati saya untuk terus bersyukur dengan apa adanya. Dalam usaha pasti ada halangan, dalam halangan akan ada bantuan, dalam bantuan tentu ada penyelesaiannya. Allah yang mengatur semua, menghalang dan memudahkan. 

Percayalah, tidak ada yang 'tidak pernah cukup' melainkan kecukupan yang sebenar-benarnya (dan wang bukanlah satu-satunya elemen kecukupan di dunia ini).